Oleh: Hafiz Zainuddin
Buku ini adalah pengenalan kepada seorang sufi agung yang
berjaya merungkai persoalan tuhan dan alam ketuhanan dalam dimensi yang
eksotik. Ia merupakan catatan perjalanan hidup, sejarah, pencarian dan
pengembaraan spiritual yang panjang. Penulis, Claude Addas
berjaya merangkumkan dengan baik kisah panjang pencarian Syeikhul Akbar ini
sejak dari Murcia yang bergolak sehinggalah menemukan keabadiannya di Damsyik.
Idea
dan konsep ketuhanan yang diketengahkan Ibn 'Arabi telah memberi nafas segar
yang membawa kepada perbahasan kritikal yang panjang dari kalangan cendekiawan
Islam sehingga kini. Sungguhpun kalangan
muwahhidun mungkin tidak bersetuju
dengan idea ketuhanan yang diketengahkan beliau, kemajmukan pendapat ini
merupakan sebahagian dari tradisi keilmuan Islam yang harus dihormati.
Ibn
Arabi atau nama sebenar beliau Muhammad bin Ali al-'Arabi al-Ta'i, telah banyak
menyumbang kepada perkembangan keilmuan tauhid malah menjadi rujukan
dalam banyak aliran sufi diseluruh dunia.
Kajian
mengenai konsep ketuhanan yang diketengahkan berkembang dengan begitu meluas di
Barat. Bahkan telah ditubuhkan apa yang dinamakan sebagai Ibn Arabi Society
pada tahun 1977 yang menjadi platform kajian, pembentangan dan perbahasan
khusus terhadap karya-karya beliau.
Selain
nama-nama seperti Osman
Yahia, Kautsar Azhari Noer, Denis Grill dan Annamarie Schimmel. Antara
tokoh besar pengkaji, penterjemah dan penulis yang menjalankan kajian serius
terhadap karya-karya Ibn 'Arabi adalah Michel Chodkiewicz yang telah banyak menghasilkan esei
dan buku-buku berkaitan antaranya Seal of the Saints: Prophethood and Sainthood in the Doctrine of Ibn
Arabi, An Ocean Without Shore: Ibn Arabi, the Book, and the Law dan beliau
juga sebagai editor kepada The Meccan
Revelations (Pembukaan Kota Mekah karya Ibn Arabi.)
Pemikir, penulis dan intelek sufi yang unggul
Sebagai
seorang pemikir, digelar Muhyi al-Din yakni penyegar kembali agama oleh
kalangan pengikut beliau, Ibn 'Arabi telah menghasilkan empat ratus buah karya
hasil komitmen spiritual yang bersungguh. Inisiasi spiritual, pemahaman dan
pemikiran beliau diabadikan dalam karya-karyanya sepanjang pengembaraan beliau 'terbang
menuju tuhan'.
Antara
karya beliau yang popular ialah Diwan al-Maarif (Himpunan Pengetahuan
Suci) yang mengandungi empat puluh ribu bait-bait puisi manakala karya paling
monumental beliau berjudul Futuhat al-Makkiyah (Pembukaan Kota Mekah).
Riwayat hidup
Ibn
'Arabi merupakan seorang berketurunan Arab Sepanyol yang lahir di Murcia, pada
29 Julai 1165 Masihi bersamaan 17 Ramadhan 560 Hijrah. Ayahnya berkhidmat
dengan Ibn Mardanish yang terkorban, kemudian berbai'ah taat setia
kepada Khalifah Abu Ya'kub Yusuf, Khalifah di Seville. Keluarga yang tergolong
dalam kelompok khassa ini merupakan mereka yang dihormati, mendapat
tempat tertinggi dalam pemerintahan dan ketenteraan apatah lagi keturunannya
telah berada di Andalusia sejak pemerintahan amir Umayyad yang pertama iaitu
sejak tahun 756 masihi.
Dalam
usia yang muda, Ibn Arabi telah mengunjungi hampir seluruh pusat-pusat
pengajian di Sepanyol sebelum memulakan perjalanan agung beliau mencari guru di
bandar-bandar seperti Tunis dan Fez di Afrika Utara. Sejak itulah beliau mula
mengarang karya-karya seperti Mawaqi'un Nujum, Insya'ud-Dawa'ir dan
beberapa buah lagi sehingga mendapat perhatian masyarakat dan ulama ketika itu.
Jalan Khusus yang diterokai beliau adalah
ketika berumur beliau 19 tahun semasa kematian Khalifah Yusuf yang dilalui
secara berseorangan. Mungkin, dengan dorongan dan pandangan-pandangan para sufi
dan wali utama di Andalusia dan Maghribi, Ibn 'Arabi menemukan langkah untuk
merenungi manifestasi Tuhan di dalam makhluk pada masa yang sama menemukan
gurunya yang pertama Syeikh Uryani, seorang buta tetapi mampu melontarkan
pandangan-pandangan beliau terhadap tulisan-tulisan Ibn al-Arif yang merupakan
seorang sufi terkenal dari Andalusia ketika itu.
Pada
tahun 1201 masihi, Ibn 'Arabi tiba di Mekah dan bermastautin disana selama 3
tahun. Disinilah karangan Futuhat al-Makkiyah dibuat dan dibukukan.
Kitab yang di kelaskan sehingga empat jilid ini mempunyai tujuh ratus mukasurat
setiap satunya.
Ibn
Arabi juga mengembara ke Mesopotamia dan sempat berguru di Baghdad dan Mosul,
bertemu dengan pelbagai aliran mazhab dan agama, ahli fikir dan ulama. Dalam
tahun 1206 masihi, beliau meneruskan
pencarian beliau ke Mesir dan sempat ke Konia di Asia Kecil kemudian meneruskan
perjalanan ke Armenia dan Anatolia sebelum kembali ke Baghdad sekitar tahun
1211 masihi. Ketika itu namanya sangat mahsyur dan mempunyai ribuan murid.
Selain
sebagai seorang sufi, Ibn Arabi juga dikenal sebagai ahli dalam bidang tafsir,
hadis, feqah, falsafah, astrologi dan sastera.
Claude
Addas dalam merujuk kepada kitab Futuhat tidak ketinggalan memuatkan
sebanyak mungkin kerangka pemikiran dalam teologi Ibn Arabi. Antara lain
mengetengah idea kontroversi beliau berkenaan kesatuan kewujudan yang sangat
jelas berbeza dengan idea Thomas Aquinas dan ahli teologi muslim yang lain.
Secara kolektif, Louis Massignon menyatakan bahawa pemikiran Ibn 'Arabi sebagai
mewariskan teologi mistikal Muslim kepada monisme sinkretik Qaramitah.
Meninggalkan lazat dunia- Terbang Menuju Tuhan
Visi
spiritual dan pengalaman metafizik telah memandu Ibn Arabi untuk terus berada di jalan yang diyakininya.
Samada dalam keadaan meditatif maupun sedar, beliau dipimpin dengan kehadiran guru-guru
spiritual seperti Isa Al-Masih, Khidir, Musa dan Muhammad S.A.W. sendiri.
Titik
tolak kepada inisiasi dan pembukaan visi-visi spiritual Ibn Arabi berlaku sejak
usianya cuma 15 tahun ketika pertemuannya dengan Ibn Rushd dalam sebuah
perjumpaan. Momen perbualan tanpa bicara diantara beliau dan Ibn Rushd, cuma
dengan jawapan 'ya' dan 'tidak' memungkinkan manifestasi hijab yang telah pun
terbuka dengan srana-sarana spiritua yang inspiratif.
Ibn
Arabi mengakhiri pengembaraan beliau di Damsyik kota yang digelar 'Santuari
Nabi-Nabi' ketika berumur 60 tahun. Beliau meninggal dunia sebagai seorang sufi
agung pada umur 78 tahun. Jasadnya disemadikan di Gunung Qasiyun dengan aman
setelah sekian lamanya mengembara.
Dalam
konteks masyarakat Islam Malaysia secara umum, konsep wahdatulwujud yang dibawa Ibn Arabi perlulah dilihat dari satu
sudut yang sederhana. Justifikasi terhadap doktrin wahdatulwujud secara melulu perlu dielakkan sama sekali kerana
pembacaan terhadap karya-karya beliau memerlukan pemahaman dan penelitian yang
tinggi berlandaskan latar belakang konteks, keilmuan, serta proses dan pengalaman-pengalaman
tasawuf.
Buku
ini harus dimiliki sebagai sebuah pengenalan kepada seorang tokoh sufi yang
menemukan kebenaran-kebenaran agung, memaknai semula kehidupan dan tuhan dalam
erti yang lebih kognitif. Sebagai salah satu cabang keilmuan yang terus
berkembang, pemikiran Ibn Arabi mungkin boleh kita jelaskan sebagai salah satu
jalan pantas dan pilihan buat umat
dalam mencari dan menyatu dengan keabadian.
Hafiz Zainuddin merupakan penulis bebas, bekas kolumnis
di Merdekareview dan salah seorang penggiat Komuniti Continuallybebas. kini berkhidmat sepenuhmasa sebagai wartawan dan penulis di Roketkini.com
No comments:
Post a Comment