30 December 2012

#KL112

“Sesiapa saja yang marah dengan kerajaan dijemput melepaskan kemarahan mereka secara aman dan demokratik, seperti yang diamalkan di seluruh dunia,”-Pengarah #KL112 Mohamad Sabu 

Rakyat Malaysia diseru bersama Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang akan diadakan di Stadium Merdeka mulai jam 2 hingga 5 petang, 12 Januari 2013.

Perhimpunan ini bertujuan mendesak kerajaan memenuhi beberapa tuntutan rakyat iaitu lapan tuntutan BERSIH, menghentikan pemusnahan dan pencemaran alam sekitar, membebaskan tahanan ISA, menyediakan pendidikan percuma, menyelamatkan Felda dan menuntut royalti petroleum dibayar kepada Kerajaan Negeri Kelantan.



25 December 2012

“Negaraku”, simbiosis seni melawan oleh kartunis Ronasina


Oleh: Hafiz Zainuddin

DIA tidak mahu mengakhiri hidupnya  menjadi seorang guru kejuruteraan automotif di sebuah sekolah vokasional sehingga pencen lantas mengambil keputusan lari meninggalkan kerjaya itu dan bermutasi menjadi pelukis kartun.


Mungkin, semangat zaman sekolahnya yang dilingkari majalah Senyum Pelajar, Gila-Gila, Gado-Gado, Jenaka dan Gelagat telah mempengaruhinya sehingga buat pertama kali mendapat platform bergiat secara bebas di akhbar Berita Keadilan yang kini sudah pun berkubur. Bagaimanapun, talian hayatnya terus bersambung di portal Merdekareview yang juga sudah menghentikan operasinya dan kini dengan akhbar Suara Keadilan.

“Negaraku-Koleksi kartun satira rakyat” adalah hasil karya kartunis Ronasina atau lebih manja dipanggil Abang Fendi. Karya setebal 96 muka surat itu tidak sama dengan siri kartun dalam majalah humor nasional lain yang membuatkan anda hanya letih ketawa berdekah-dekah.

Yang membezakannya dengan yang lain, koleksi Ronasina dalam “Negaraku” adalah sebuah simbiosis “seni untuk melawan”, sambil ketawa dan sambil menambah ilmu. Sebahagiannya dititip terus dari pengalaman sekolah jalanan bersama kanister, air asid, cota dan but polis.

Digarap dengan elemen hasutan untuk membenci kerajaan yang korup dan zalim, “Negaraku” mengetengahkan masalah semasa rakyat seperti kemiskinan, penindasan, salah guna kuasa, pembunuhan dan penahanan tanpa bicara selain telatah ahli politik di Malaysia.

“Sebagai kartunis, saya menyampaikan keluh kesah suara rakyat terhadap kebejatan sosial serta kezaliman pemerintah melalui lakaran kartun. Kalau ahli politik dengan tugas mereka, kartunis pula punya tugas mereka.“ kata Ronasina.

Menurut Hishamuddin Rais pula, kerjaya sebagai kartunis satira merupakan bidang kerja yang berbahaya. Samada kartunis di Barat sehingga ke Timur Tengah, karyawan kartun punya sejarah hitam samada dibunuh atau mendapat kecaman hebat.

“Pada 1978, seorang kartunis Palestin, Ali, ditembak mati akibat kritikan tajam dan sinis terhadap pentadbiran Yasser Arafat dan Shah Iran,” katanya ketika melancarkan Negaraku di KLSCAH.

Sesuatu yang menarik pada “Negaraku” ialah konsep lakaran dengan gabungan konteks di mana generasi 100 tahun daripada sekarang boleh mengetahui isu dalam kartun yang dilakar.

Misalnya pada muka surat 55 bertajuk PDRM, Ronasina meletakkan nota bahawa kartun itu berkaitan dengan jumlah kematian rakyat Malaysia dalam tahanan polis yang diilhamkan setelah kematian Kugan dibongkar.

Selain lakaran kartun, ia juga memuatkan tiga cerpen beliau yang berjudul “Hikayat Penyakit Kuning”, “Bengong vs Bangang” dan “Kak Ijat Kampung Lembah” yang merumuskan senario politik semasa negara yang penuh dengan birahi kuasa ahli-ahli politik.

Disebabkan Ronasina bersilat dalam bahasa yang ditakuti pemerintah; melalui lakaran manusia berkaki katak, bersongkok tinggi, buncit, di samping lakaran eksklusif seorang wanita gemuk yang seksi dan menakutkan, kita tertanya-tanya adakah mungkin “Negaraku” akan senasib dengan Gedung kartun dan Perak Darul Kartun hasil suntingan Ronasina yang diterbitkan kartunis Zunar yang selamat diharamkan kerajaan?

Dan, kita tidak perlu berasa hairan apabila Ronasina sendiri mengatakan bahawa pengharaman  buku kartun sebelum ini merupakan dalil ‘aqli’ yang membuktikan pemerintah takut dengan buku kartun.

Mudah-mudahan, “Negaraku” mampu menjadi satu daripada catalyst for change demi negara dan masyarakat yang lebih adil dan telus atau setidak-tidaknya mampu menjadikan kerajaan BN sedar bahawa apa yang mereka lakukan kini adalah lebih kartun daripada kartun sendiri.

Buku “Negaraku” terbitan Anak Kunci Production ini cuma berharga RM25. Bagi sesiapa yang berani untuk ketawa sambil melawan bolehlah terus memesan melalui emel kepada raja_uda@yahoo.com atau ronasina@gmail.com atau terus lawati blog http://kulupsakah.blogspot.com

# Telah diterbitkan dalam Roketkini.com
Print Friendly



 

27 November 2012

Masyarakat Jalan Pasar, asmara lelaki berahi, dan wartawan super


Oleh: Hafiz Zainuddin

Mahu merasa punya karier seperti orang lain, saya memilih untuk menjadi wartawan setelah bergelut dengan kecelaruan identiti dan menjadi mangsa obses Melayu Islam tipikal kelas menengah atas yang selesa dalam ruang lingkup kehidupan unik, berbuka puasa di Starbucks CafĂ© dan masuk MLM untuk cepat kaya. 

Apapun, saya disudahi dengan kesudahan yang kurang bagus di Shah Alam lalu membawa diri pulang semula ke kampung halaman dengan hati yang berparut.

Akhirnya, berpusat di Kuala Lumpur, kerja kewartawanan saya kini bukan sekadar apa yang mahu dirasakan tetapi menjadi sebahagian dari hidup dan minat saya biarpun berada dicelah sesak bingit kenderaan dan kumpulan-kumpulan kongsi gelap pelbagai nama dan panji beserta pelacur wanita dan maknyah kelas menengah dan bawahan yang masih mampu membuatkan ghairah ini tergamit. 

Lima bulan berlalu terasa begitu cepat. Seorang teman yang dulunya mengandung dua minggu, kini perutnya makin membesar dan kandungan sudah pun berusia enam bulan. Pengalaman lima bulan sebagai pelapor berita masih jauh dan belum cukup untuk dibanggakan. Malahan ia mengajar untuk saya lebih licik, berani melanggar segala protokol dan rasa malu di hati demi kepuasan kerja atau kerja saya sekadar kepuasan yang separa inzal.

Sebelum ini, mimpi menjadi wartawan tidak pernahpun menjelma dalam fantasi saya kerana ketika itu saya bercita-cita untuk menjadi sebagai penjawat awam selepas usaha niaga kecil saya di Shah Alam mengalami kejatuhan. Ketika itu, asal saja punya kelapangan, banyak masa dilaburkan melayari iklan-iklan jawatan kosong kerajaan di pelbagai agensi dan jabatan serta mengisi borang dalam talian mahupun secara konvensional melalui pos secara sistematik.  

Bahana pemerintahan Tun Mahathir. Saya kira, inilah juga pengalaman awal muda mudi Melayu tipikal lepasan universiti tempatan yang sangat dahagakan belas ehsan kerajaan, tidak tahu berdikari, mengharap agar diri dibantu, dibelai dan diberi kerja demi mengisi periuk nasi supaya mudah membuat pinjaman dengan Bank Rakyat untuk berkahwin atau membeli kereta impian dan modal menambah pendapatan sampingan dengan menjadi agen-agen produk kesihatan atau kontraktor kecil-kecilan. Rasanya, kejayaan idealisma muda mudi Melayu pasca DEB-Mahathir  dan Transformasi Najib ini harus kita cantingkan semula agar mereka menjadi anak jantan bersaing di arena yang adil dan terbuka.

Wartawan, guru, agen insuran atau pemandu lori, biarlah apapun cara pandang, cara hidup dan karier yang dipilih. Perkara utama harus diberi penekanan sekarang adalah bagaimana menjadikan diri serasi dengan persekitaran dan tuntutan nafsu kerja dan nafsu semasa kerana segalanya berubah dengan sebab dan tidak juga tanpa sebab perubahan datang tanpa diundang.

Segalanya telah berlalu begitu pantas. Dalam satu tempoh yang singkat, semuanya berubah mengikut ketentuan qada’ dan qadar. Saya percaya pada tuhan dan pada segala keajaiban yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Pesan mama, selalulah berdoa dan saya percaya, doa mama dan kesungguhan doa itulah yang membawa saya ke dunia baru ini. Alam kewartawnan yang menjadikan saya tak lekang dengan notebook siang dan malam.

Wilayah gelap Jalan Pasar

Tempat saya bekerja ini bukan di kawasan yang indah seperti di Shah Alam. Kecuali sisi gelap Shah Alam seperti di Sri Muda dengan segregasi kaum yang nyata dan percambahan kelompok komuniti luar yang tak terkata; keluar dari pejabat sudah terlihatkan tasik dan pohon-pohon rhu yang hijau merendang. Adakalanya pemandangan tasik Shah Alam dihiasi dengan migrasi beberapa jenis burung dari benua lain. Indahnya hidup di Shah Alam. Pesona Shah Alam sehingga kini umpama tarikan magnet buat saya. Tapi biarlah, kali ini giliran Kuala Lumpur.

Kota ini besar, pejabat saya bukan seperti di Jalan Yap Kwan Seng, jauh sekali seperti di Putrajaya. Ia juga bukan kawasan selesa bagi semua orang kerana kawasan ini kawasan marhein, marhein dari semua golongan. 

Ini Jalan Yew off Jalan Pudu, cuma beberapa penapak dengan Jalan Pasar, ia berhampiran Masjid Alam Shah Cocraine, bersebelahan gereja Baptis Bethel, turun pejabat sudah ada pub, spa dan snooker. Kalau sedikit kehadapan, kawasan perumahan Laksamana. Kalau sedikit kebawah, kawasan Samping. Sekitar jam empat pagi lagi, udara disini sudahpun berbau hamis dan busuk.

Malaysia gaya Jalan Pasar

Saya sudah pun biasa dengan bau busuk nan hamis ini. Saya namakan kawasan tempat, pejabat saya bekerja ini sebagai sebuah wilayah. Sub-wilayah dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diperintah oleh Raja Nong Chik. Wilayah ini wilayah majmuk, tidak sekadar majmuk ras, juga majmuk warganegara.

Dek kerana dasar kemasukan pekerja asing agak longgar dan bercelaru ditambah dengan sebahagian kakitangan kerajaan yang kuat makan rasuah membenarkan gambaran laporan Ketua Audit Negara yang lalu, disini menjadi antara mula tempat penemuan perantau Kathmandu dengan dengan wanita Yangon yang mulus dan manis. Tak kurang juga anak muda Kerala dan Tamil Nadu menjadi buruh mengangkut sayur dan ikan. Belia dan beliawanis Minang, Jawa, Bugis dan sebagainya dari Indonesia turut mengambil posisi mereka yang tersedia luas disini sebagai buruh am dan penjaja buah dan rokok. 

Kemajmukan disini sudah melangkaui slogan 1Malaysia kerana Perdana Menteri Najib mungkin terlepas pandang dalam pelan transformasinya bahawa selain hab halal, Malaysia juga merupakan hub pengumpulan tenaga kerja manusia samada secara legal atau secara non-legal yang terkenal di pelusuk negara dunia ketiga, antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

Asmara lelaki berahi meninggalkan flat yang sempit

Kerana ini kawasan pasar, ia penuh dengan suara dan pekik-bingit kehidupan yang turut mempengaruhi gerak rasa dan gerak joget saya di Kuala Lumpur. 

Keberagaman warna kehidupan di Jalan Pasar ini tidak terlepas dari keperluan fitrah seksual manusiawi. 

Seperti malam-malam indah di tempat lain. Kaum lelaki yang berahi menjadikan wilayah ini tempat mereka berhibur beradu asmara melupakan seketika keadaan rumah-rumah flat mereka yang sesak, sempit dan bising seperti di Kerinchi. Seawal pagi lagi, kawasan ini telahpun dihiasi dengan senyum manis pekerja seks yang seksi tekun dan setia menunggu pelanggan demi menyara kehidupan anak-anak tidak berbapa sehari-hari.

Biarlah kata orang ini wilayah gelap walau banyak kedai menjual lampu dan LED yang mengerlip. Malamnya suram sepi, ramai pelacur mencari rezeki. Siapa peduli?

Inilah antara contoh terbaik kawasan pasar yang sibuk ala Malaysia yang juga menjadi tempat menumpang teduh bagi segelintir masyarakat terpinggir hidup bergelandangan bersama kaki-kaki botol yang sentiasa tidur. Peruntukan bantuan kebajikan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak pula terlihat disini mungkin kerana mereka bukan pilihan favourite penguasa atau peruntukan sudah pun habis disebabkan Malaysia punya ramai golongan masyarakat yang miskin papa kedana.

Sama seperti dua puluh tahun lalu. Begitulah keadaannya Jalan Pasar sehingga kini kecuali beberapa buah rumah kedai dan bangunan pejabat yang sedang dalam pembinaan.

Mengusahakan takdir

Wilayah ini harus memberikan perasaan yang selamat dan selesa buat saya. Jika tidak, letak punggung saya disini mungkin tidak lama dan mungkin terpaksa melangkah lagi. Menjadi seorang wartawan merupakan cabaran menyeronokkan. Saya belajar dari setiap kesalahan. Bukan belajar untuk semuanya jadi betul. Saya perlu selesa untuk dipersalah, dan selesa juga untuk diperbetul. Itulah inti ajaran bos saya.

Ini adalah sebahagian kisah saya dan sebuah wilayah bernama Jalan Pasar dengan segala macam wajah, ragam, rengek, pekik masyarakat. Ia jauh berbeza dengan Jalan Bukit Bintang, Jalan Petaling mahupun Jalan Raja Laut. Samada wilayah ini akan terus begini atau bertukar sepertimana bertukarnya Pudu Sentral kepada UTC, kita telah dibuktikan bahawa transformasi fizikal tetap tidak akan berjaya tanpa pengisian dan peningkatan taraf serta kualiti hidup masyarakat. 

Lihat sajalah kesesakan lalu lintas, biarpun jalanraya diperlebar setiap hari-saban tahun. Keadaannya tak berubah; kecualilah wujud kesedaran kolektif masyarakat untuk berkongsi kenderaan atau menaiki pengangkutan awam. Apapun, cita-cita untuk mempunyi masyarakat sebegitu mungkin cuma sebahagian dari utopia. Peningkatan harga bahan api dan kenderaan bukan penghalang masyarakat kita untuk membeli dan memperagakan kereta masing-masing.

Jalan Pasar adalah contoh terbaik sebagaimana juga di sekitar kawasan Chow Kit bersama Lorong Haji Taibnya; termasuk disini, sebahagian besar warga di Kuala Lumpur telahpun memiliki wajah-wajah sakit, tertipu dan tersepit dicelah kelangkang pembangunan dan Pelan Transformsi Kerajaan demi mengejar impian Malaysian Dream menjelang 2020 nanti. 

Berdoalah agar Malaysia berubah bertambah baik dan diberkati tuhan. Maka dengan segala kuasa kewartawanan yang ada pada saya, saya dengan ini mengarahkan agar Perdana Menteri Malaysia meletak jawatan.

#Telah diterbitkan dalam Fragranfrantik 1st Issue