23 December 2013

Merapat Renggang: anugerah yang merasuk!

Oleh: Hafiz Zainuddin
Buku ini saya terima di sebuah gerai nasi lemak tersohor tepi Lebuhraya Persekutuan. Gerai ini jugalah tempat seorang teman saya makan setiap hari sebab murah, tambahan pula, nasi lemak itu lazat tak terkata.
Rasanya, tidak ada sebab jatuh haram kalau saya samakan kelazatan buku ini dengan keenakan nasi lemak yang dijual itu. Merapat Renggang jauh sekali serupa dengan buku-buku lain yang bertimbun di pasaran memandangkan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia pasca pengumuman GST semakin parah agaknya.
Jurnal yang dilancarkan Obscura baru-baru ini merupakan naskah hebat gandingan karya 21 penulis lama dan baru, tempatan dan terjemahan antarabangsa membicarakan hal-hal seputar filem, puisi, cerpen, teater, tari, dan aktivisme sesuai dengan konsep “..Sebuah ingatan terhadap budaya…” kata penerbit, penulis Hafiz Hamzah.
Dalam pada itu beliau juga berpandangan bahawa banyak hal melibatkan penulisan seni dan budaya masih terpinggir, apalagi dengan perkembangan sastera negara yang lembab dan tertambat dengan aturan institusi yang membosankan.
Walaupun jurnal ini jauh untuk memuatkan diskusi sosialisme atau pasaran bebas yang menjadi trend anak-anak muda masa kini; Merapat Renggang tetap sebuah bacaan serius. Anehnya, ia tidak segan menghibur dan merasuk; seperti kisah Barry yang terkena penyakit AIDS dari Brikfields bikinan Jimadie Shah Othman.
Sebagai korban ruang secara terbuka, ia menjadi alas perbahasan segar kesenian mencakupi tiga elemen paling fundemental iaitu seni, sastera dan budaya.
Sama ada jurnal ini rangkulan faham ekspresivism, simbolism, romantism, mistism, klasik atau apapun, ini adalah lembaran terbaik melihat bahasa kebangsaan disantuni semula pada tempat asal.
Kalam Al-Mustaqeem M Radhi sahaja sudah mampu membuatkan orang terkincit; “Kalau mahu menjadi pemuisi yang sekadar menyalin alam, baiklah jadi tukang gambar sahaja”.
Justeru, suka saya memetik buku yang saya simpan lama dalam kotak dirumah berjudul Riak dan Gelombang Sastera Melayu tulisan Ramli Isin (kini bergelar Doktor) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1987 yang sudah pun mengakui bahawa sastera Melayu moden ‘memang belum apa-apa dalam pelbagai aspek, samada aspek luaran atau dalaman’.
Kali pertama membelek buku ini, saya jadi seram. Mungkin sebab saya sendiri lebih banyak membaca buku agama dan politik domestik hingga rasa keterasingan membuak-buak. Lihat sahajalah kritik filem tulisan Izmil Amri yang tidak berat lidah tergamak mengutuk (dalam memuji) filem Bunohan arahan Dain Said yang mampu menimbulkan kemarahan orang-orang Kelantan!
Biar pun dimuatkan dengan terjemahan karya asing seperti Franz Kafka, Ernest Hemingway, Homer dan Mark Twain; tidak juga terkurang karya-karya berkualiti penulis tempatan serantau seperti Jimadie Shah Othman, Ibrahim Yaakob, Goenawan Mohamad, WS Rendra dan ramai lagi.
Dalam kongsi rasa Hafiz Hamzah pula, beliau sempat merakam ragam dan celoteh Main Puteri, sebuah hiburan rakyat yang sudah pupus. Semua itu dapat dilihat dari tulisan dan foto yang dimuatkan. Hiburan rakyat yang telah diharamkan kerajaan Kelantan itu awal mengambil pemerintahan negeri sekitar tahun 1990-an terus menguak pelbagai persoalan kepada saya akan survival tradisi ini untuk seratus tahun lagi atau setidak-tidaknya sepenggal pilihanraya lagi. Apabila sesebuah tradisi dan budaya terpaksa bergulat dengan kuasa dan agama, apa dan bagaimana pula peranan masyarakat?
Saya tidak mahu berlebih-lebih memuji dan menjulang tinggi terbitan kedua Obscura ini selepas buku 99 Kelopak Pantun yang mengkhayalkan. Merapat Renggang adalah suatu anugerah kepada lapangan sastera moden yang wajar disyukuri. Setidak-tidaknya ia menunjukkan kesungguhan penerbitan yang jujur dan lazat. Selazat nasi lemak di gerai tepi lebuhraya itu.
“…Dan aku tunjukkan engkau sesuatu yang lain mungkin
Dari bayangmu yang mengekori di kala pagi
Atau yang melambai-lambaimu pulang di kala petang…”
-Tanah Tandus, T.S Eliot, terjemahan Al Mustaqeem M Radhi

Matinya suara mahasiswa pasca PRU-13: Dah jadi UMNO?

Oleh: Hafiz Zainuddin
BAKAR diri, Boazizi, graduan itu sudah mati. Dari satu pekan kecil bernama Sidi Bouzid, api kemarahan masyarakat tercetus dan merebak hingga runtuhnya empayar Presiden Zainal Abidin Ali pemerintah Tunisia. Debu-debu suci Sahara menjadi saksi letusan Arab Spring sampai singgah ke negara Timur Tengah yang lain. Itu kisah benar dicatat sejarah seorang manusia, anak muda yang nekad dan kecewa, memanifestasikan pembebasan.
Malaysia? Walaupun sebelum ini ada yang terlalu optimis terhadap gerakan rakyat yang disebut-sebut Malaysian Durian, ia jauh untuk menjadi mampu. Malaysian Durian gagal. Yang tinggal hanya durian Bota timbang kilo laku terjual di Pasar Pudu.
Kebangkitan anak muda, mahasiswa atau yang selalu Hishamuddin Rais, tokoh NGI itu petik “Dunia ini milik anak muda akhirnya..” tidak kesampaian.
Sebabnya mudah, anak muda Malaysia, graduan IPTA dan IPTS sibuk menamatkan pengajian demi sebiji kereta dan kahwin cepat. Wacana hanya tinggal wacana, bila timbul polemik, wacana lagi. Maka, berwacanalah sampai mati dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap jadi entiti ‘maha kuasa’.
Apa lagi Pakatan Rakyat boleh buat? Apa lagi mahasiswa, anak-anak muda pemimpin masa depan ini mampu buat? Siapa ikut kata siapa, siapa buat kerja siapa? Perlukah begitu? Atau slogan idealisme mahasiswa sudah lama masuk lombong?
Bukan anarkisme?
Sekitar tahun 1970-an negara memiliki ramai aktivis siswa yang handal. Baik pidato, baik tindakan. Perjuangan mereka jelas demi masyarakat miskin lagi tertindas, menolak hegemoni pembodohan pemerintah dan menjadi contoh buat zaman.
Memang, kita tidak mahu negara jadi kacau dengan huru-hara yang akhirnya menjadi laluan mudah situasi anarkisme.
Kewujudan anarkisme dalam tempoh yang sedikit pun sudah cukup menjadikan Bukit Bintang lengang. Kedai-kedai Arab tutup, operasi rumah urut tergendala dan taukeh di Low Yat boleh bungkus. Tak siapa mahu menyusahkan sesiapa.
Pasca 2000 lebih buruk daripada tahun 1970-an. Masyarakat dibelit dengan pelbagai kemelut ekonomi dan penindasan secara melampau seperti kemiskinan, kenaikan harga barang, GST, mangsa salah guna kuasa, monopoli dan rasuah. Negara makin dipenuhi miskin bandar, miskin muda bandar dan keruntuhan sosio-masyarakat akibat manipulasi kapitalisme hingga menyebabkan kelimpahan pekerja asing tak terkawal.
Dalam saat kritikal ini, kita layak meluahkan rasa sedih dan malu bila golongan siswa lebih suka main instagram di McD.
Kita bukan mahu melihat mereka turun dalam aksi sepanjang masa sampai mati bergelimpangan ditembak tentera seperti di Tianmen Square Beijing tahun 1989.
Tapi yang sedih, masyarakat kita tidak lagi melihat kecenderungan mahasiswa untuk menyuarakan, keluar daripada ruang selesa mendidik dan beraktivisme bersama masyarakat, paling tidak buatlah gerakan sukarelawan kempen dan bengkel kitar semula misalnya.
Aset jadi asap… bila Timbalan Menteri mengaku ‘graduan kita kurang intelek’
Akibat mahu kahwin, cepat dapat anak atau kerja kerajaan, peranan mahasiswa jatuh martabat. Walaupun kelembapan mahasiswa kita boleh disalahkan kepada kerajaan BN atas segala macam ugutan dan suapan pelbagai maklumat sesat dalam kem Biro Tata Negara (BTN), adakah mereka tidak mampu untuk berfikir sebelum menyerahkan seluruh hidup semata-mata mahu jadi produk manusia bagi mengisi kehendak pasaran?
Bermula daripada hal itu, perkara lain pula timbul. Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, P Kamalanathan pada majlis ‘An evening with CEOs: Towards Future Industrious Colloborations’ anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata, secara langsung mengakui “ketidakbolehan pasaran graduan di negara ini adalah kelemahan intelektual…”
Lucunya beliau berkata, ketidakbolehan pasaran graduan itu pula tidak dikaitkan dengan kelemahan sistem di institusi pendidikan tinggi (IPT) kerana katanya pembentukan peribadi yang berkeyakinan dan berkeupayaan harus bermula di peringkat pendidikan rendah dengan proses yang membabitkan ibu bapa, guru, masyarakat dan pemerintah.
Maksudnya, seolah-olah Kamalanathan menyalahkan semua pihak bila daya intelektual graduan Malaysia lemah. Baiklah, Kamalanathan sudah salahkan semua pihak, kita pula jangan jadi bebal untuk salahkan orang selain mula bertindak.
Bangkit tidur
Mahasiswa bangun melawan bukan cerita asing dalam sejarah nasional. Nama-nama tokoh gerakan mahasiswa zaman itu seperti almarhum Yunus Ali, Abu Zer, Kamaruzzaman Yacob, Hishamuddin Rais, Ibrahim Ali, Anwar Ibrahim dan ramai lagi sangat sinonim dengan kebangkitan mahasiswa sekitar 1970-an. Dan bersebabkan itu jugalah kerajaan memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 bertujuan mengekang kebangkitan mahasiswa yang kini dimansuhkan semula.
Hero mahasiswa pra-pilihanraya umum ke-13, Adam Adli muncul pada saat kebobrokan UMNO-BN memuncak sejalur dengan gerakan Bersih, Mansuh PTPTN, PPSMI, Occupy Dataran dan Himpunan Hijau. Bermula daripada tindakan beliau menurunkan bendera gambar Perdana Menteri Najib Razak, namanya terus mengharum sebagai hero siswa disebut orang dan gadis. Bersumberkan tindakan berani itu, maka, gelanggang universiti kita terkocak. Tambah berkocak lagi apabila seorang lagi mahasiswa, Bavani berjaya menggugat kesabaran penceramah Sharifah Zohra yang popular dengan slogan ‘Listen’ tiga kali itu.
Justeru, berlakulah sedikit anjakan dalam masyarakat kampus. Sesuai dengan kehangatan pilihan raya, aktivis siswa dari pelbagai arah mula bersuara daripada isu hal ehwal pentadbiran universiti hinggalah turun ke jalan raya menuntut pendidikan percuma.
Namun, pasca PRU ke-13 yang memperlihatkan PR kecundang menawan Putrajaya. Anehnya, suara mahasiswa semena-mena juga menyusut. Hampir tak kedengaran. Mungkin sesekali adalah sedikit tenggelam timbul. Jadi kita tertanya-tanya, apa mungkin kelompok aktivis mahasiswa yang konon mendakwa diri mereka sebagai aktivis non-partisan sebenarnya hanya alat parti politik? Kalau mahsiswa yang dianggap bakal pemimpin generasi masa depan tidak berdaya bangkit melepaskan masyarakatnya daripada tekanan regim BN, tak perlulah berbangga.
Tahun 2014 bakal menjelma bersama 1001 lagi pengharapan dan kemungkinan. Dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil, manakan mampu parti politik sahaja bertekak dalam Parlimen? Inilah peluang terbaik golongan siswa menebus semula suara mereka yang tenggelam dan menumpul.
Perjuangan mahasiswa bukan perjuangan parti politik, maka anda harus bersedia menjadi benteng unggul anak bangsa. – Roketkini.com