23 December 2013

Merapat Renggang: anugerah yang merasuk!

Oleh: Hafiz Zainuddin
Buku ini saya terima di sebuah gerai nasi lemak tersohor tepi Lebuhraya Persekutuan. Gerai ini jugalah tempat seorang teman saya makan setiap hari sebab murah, tambahan pula, nasi lemak itu lazat tak terkata.
Rasanya, tidak ada sebab jatuh haram kalau saya samakan kelazatan buku ini dengan keenakan nasi lemak yang dijual itu. Merapat Renggang jauh sekali serupa dengan buku-buku lain yang bertimbun di pasaran memandangkan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia pasca pengumuman GST semakin parah agaknya.
Jurnal yang dilancarkan Obscura baru-baru ini merupakan naskah hebat gandingan karya 21 penulis lama dan baru, tempatan dan terjemahan antarabangsa membicarakan hal-hal seputar filem, puisi, cerpen, teater, tari, dan aktivisme sesuai dengan konsep “..Sebuah ingatan terhadap budaya…” kata penerbit, penulis Hafiz Hamzah.
Dalam pada itu beliau juga berpandangan bahawa banyak hal melibatkan penulisan seni dan budaya masih terpinggir, apalagi dengan perkembangan sastera negara yang lembab dan tertambat dengan aturan institusi yang membosankan.
Walaupun jurnal ini jauh untuk memuatkan diskusi sosialisme atau pasaran bebas yang menjadi trend anak-anak muda masa kini; Merapat Renggang tetap sebuah bacaan serius. Anehnya, ia tidak segan menghibur dan merasuk; seperti kisah Barry yang terkena penyakit AIDS dari Brikfields bikinan Jimadie Shah Othman.
Sebagai korban ruang secara terbuka, ia menjadi alas perbahasan segar kesenian mencakupi tiga elemen paling fundemental iaitu seni, sastera dan budaya.
Sama ada jurnal ini rangkulan faham ekspresivism, simbolism, romantism, mistism, klasik atau apapun, ini adalah lembaran terbaik melihat bahasa kebangsaan disantuni semula pada tempat asal.
Kalam Al-Mustaqeem M Radhi sahaja sudah mampu membuatkan orang terkincit; “Kalau mahu menjadi pemuisi yang sekadar menyalin alam, baiklah jadi tukang gambar sahaja”.
Justeru, suka saya memetik buku yang saya simpan lama dalam kotak dirumah berjudul Riak dan Gelombang Sastera Melayu tulisan Ramli Isin (kini bergelar Doktor) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1987 yang sudah pun mengakui bahawa sastera Melayu moden ‘memang belum apa-apa dalam pelbagai aspek, samada aspek luaran atau dalaman’.
Kali pertama membelek buku ini, saya jadi seram. Mungkin sebab saya sendiri lebih banyak membaca buku agama dan politik domestik hingga rasa keterasingan membuak-buak. Lihat sahajalah kritik filem tulisan Izmil Amri yang tidak berat lidah tergamak mengutuk (dalam memuji) filem Bunohan arahan Dain Said yang mampu menimbulkan kemarahan orang-orang Kelantan!
Biar pun dimuatkan dengan terjemahan karya asing seperti Franz Kafka, Ernest Hemingway, Homer dan Mark Twain; tidak juga terkurang karya-karya berkualiti penulis tempatan serantau seperti Jimadie Shah Othman, Ibrahim Yaakob, Goenawan Mohamad, WS Rendra dan ramai lagi.
Dalam kongsi rasa Hafiz Hamzah pula, beliau sempat merakam ragam dan celoteh Main Puteri, sebuah hiburan rakyat yang sudah pupus. Semua itu dapat dilihat dari tulisan dan foto yang dimuatkan. Hiburan rakyat yang telah diharamkan kerajaan Kelantan itu awal mengambil pemerintahan negeri sekitar tahun 1990-an terus menguak pelbagai persoalan kepada saya akan survival tradisi ini untuk seratus tahun lagi atau setidak-tidaknya sepenggal pilihanraya lagi. Apabila sesebuah tradisi dan budaya terpaksa bergulat dengan kuasa dan agama, apa dan bagaimana pula peranan masyarakat?
Saya tidak mahu berlebih-lebih memuji dan menjulang tinggi terbitan kedua Obscura ini selepas buku 99 Kelopak Pantun yang mengkhayalkan. Merapat Renggang adalah suatu anugerah kepada lapangan sastera moden yang wajar disyukuri. Setidak-tidaknya ia menunjukkan kesungguhan penerbitan yang jujur dan lazat. Selazat nasi lemak di gerai tepi lebuhraya itu.
“…Dan aku tunjukkan engkau sesuatu yang lain mungkin
Dari bayangmu yang mengekori di kala pagi
Atau yang melambai-lambaimu pulang di kala petang…”
-Tanah Tandus, T.S Eliot, terjemahan Al Mustaqeem M Radhi

Matinya suara mahasiswa pasca PRU-13: Dah jadi UMNO?

Oleh: Hafiz Zainuddin
BAKAR diri, Boazizi, graduan itu sudah mati. Dari satu pekan kecil bernama Sidi Bouzid, api kemarahan masyarakat tercetus dan merebak hingga runtuhnya empayar Presiden Zainal Abidin Ali pemerintah Tunisia. Debu-debu suci Sahara menjadi saksi letusan Arab Spring sampai singgah ke negara Timur Tengah yang lain. Itu kisah benar dicatat sejarah seorang manusia, anak muda yang nekad dan kecewa, memanifestasikan pembebasan.
Malaysia? Walaupun sebelum ini ada yang terlalu optimis terhadap gerakan rakyat yang disebut-sebut Malaysian Durian, ia jauh untuk menjadi mampu. Malaysian Durian gagal. Yang tinggal hanya durian Bota timbang kilo laku terjual di Pasar Pudu.
Kebangkitan anak muda, mahasiswa atau yang selalu Hishamuddin Rais, tokoh NGI itu petik “Dunia ini milik anak muda akhirnya..” tidak kesampaian.
Sebabnya mudah, anak muda Malaysia, graduan IPTA dan IPTS sibuk menamatkan pengajian demi sebiji kereta dan kahwin cepat. Wacana hanya tinggal wacana, bila timbul polemik, wacana lagi. Maka, berwacanalah sampai mati dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap jadi entiti ‘maha kuasa’.
Apa lagi Pakatan Rakyat boleh buat? Apa lagi mahasiswa, anak-anak muda pemimpin masa depan ini mampu buat? Siapa ikut kata siapa, siapa buat kerja siapa? Perlukah begitu? Atau slogan idealisme mahasiswa sudah lama masuk lombong?
Bukan anarkisme?
Sekitar tahun 1970-an negara memiliki ramai aktivis siswa yang handal. Baik pidato, baik tindakan. Perjuangan mereka jelas demi masyarakat miskin lagi tertindas, menolak hegemoni pembodohan pemerintah dan menjadi contoh buat zaman.
Memang, kita tidak mahu negara jadi kacau dengan huru-hara yang akhirnya menjadi laluan mudah situasi anarkisme.
Kewujudan anarkisme dalam tempoh yang sedikit pun sudah cukup menjadikan Bukit Bintang lengang. Kedai-kedai Arab tutup, operasi rumah urut tergendala dan taukeh di Low Yat boleh bungkus. Tak siapa mahu menyusahkan sesiapa.
Pasca 2000 lebih buruk daripada tahun 1970-an. Masyarakat dibelit dengan pelbagai kemelut ekonomi dan penindasan secara melampau seperti kemiskinan, kenaikan harga barang, GST, mangsa salah guna kuasa, monopoli dan rasuah. Negara makin dipenuhi miskin bandar, miskin muda bandar dan keruntuhan sosio-masyarakat akibat manipulasi kapitalisme hingga menyebabkan kelimpahan pekerja asing tak terkawal.
Dalam saat kritikal ini, kita layak meluahkan rasa sedih dan malu bila golongan siswa lebih suka main instagram di McD.
Kita bukan mahu melihat mereka turun dalam aksi sepanjang masa sampai mati bergelimpangan ditembak tentera seperti di Tianmen Square Beijing tahun 1989.
Tapi yang sedih, masyarakat kita tidak lagi melihat kecenderungan mahasiswa untuk menyuarakan, keluar daripada ruang selesa mendidik dan beraktivisme bersama masyarakat, paling tidak buatlah gerakan sukarelawan kempen dan bengkel kitar semula misalnya.
Aset jadi asap… bila Timbalan Menteri mengaku ‘graduan kita kurang intelek’
Akibat mahu kahwin, cepat dapat anak atau kerja kerajaan, peranan mahasiswa jatuh martabat. Walaupun kelembapan mahasiswa kita boleh disalahkan kepada kerajaan BN atas segala macam ugutan dan suapan pelbagai maklumat sesat dalam kem Biro Tata Negara (BTN), adakah mereka tidak mampu untuk berfikir sebelum menyerahkan seluruh hidup semata-mata mahu jadi produk manusia bagi mengisi kehendak pasaran?
Bermula daripada hal itu, perkara lain pula timbul. Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, P Kamalanathan pada majlis ‘An evening with CEOs: Towards Future Industrious Colloborations’ anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata, secara langsung mengakui “ketidakbolehan pasaran graduan di negara ini adalah kelemahan intelektual…”
Lucunya beliau berkata, ketidakbolehan pasaran graduan itu pula tidak dikaitkan dengan kelemahan sistem di institusi pendidikan tinggi (IPT) kerana katanya pembentukan peribadi yang berkeyakinan dan berkeupayaan harus bermula di peringkat pendidikan rendah dengan proses yang membabitkan ibu bapa, guru, masyarakat dan pemerintah.
Maksudnya, seolah-olah Kamalanathan menyalahkan semua pihak bila daya intelektual graduan Malaysia lemah. Baiklah, Kamalanathan sudah salahkan semua pihak, kita pula jangan jadi bebal untuk salahkan orang selain mula bertindak.
Bangkit tidur
Mahasiswa bangun melawan bukan cerita asing dalam sejarah nasional. Nama-nama tokoh gerakan mahasiswa zaman itu seperti almarhum Yunus Ali, Abu Zer, Kamaruzzaman Yacob, Hishamuddin Rais, Ibrahim Ali, Anwar Ibrahim dan ramai lagi sangat sinonim dengan kebangkitan mahasiswa sekitar 1970-an. Dan bersebabkan itu jugalah kerajaan memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 bertujuan mengekang kebangkitan mahasiswa yang kini dimansuhkan semula.
Hero mahasiswa pra-pilihanraya umum ke-13, Adam Adli muncul pada saat kebobrokan UMNO-BN memuncak sejalur dengan gerakan Bersih, Mansuh PTPTN, PPSMI, Occupy Dataran dan Himpunan Hijau. Bermula daripada tindakan beliau menurunkan bendera gambar Perdana Menteri Najib Razak, namanya terus mengharum sebagai hero siswa disebut orang dan gadis. Bersumberkan tindakan berani itu, maka, gelanggang universiti kita terkocak. Tambah berkocak lagi apabila seorang lagi mahasiswa, Bavani berjaya menggugat kesabaran penceramah Sharifah Zohra yang popular dengan slogan ‘Listen’ tiga kali itu.
Justeru, berlakulah sedikit anjakan dalam masyarakat kampus. Sesuai dengan kehangatan pilihan raya, aktivis siswa dari pelbagai arah mula bersuara daripada isu hal ehwal pentadbiran universiti hinggalah turun ke jalan raya menuntut pendidikan percuma.
Namun, pasca PRU ke-13 yang memperlihatkan PR kecundang menawan Putrajaya. Anehnya, suara mahasiswa semena-mena juga menyusut. Hampir tak kedengaran. Mungkin sesekali adalah sedikit tenggelam timbul. Jadi kita tertanya-tanya, apa mungkin kelompok aktivis mahasiswa yang konon mendakwa diri mereka sebagai aktivis non-partisan sebenarnya hanya alat parti politik? Kalau mahsiswa yang dianggap bakal pemimpin generasi masa depan tidak berdaya bangkit melepaskan masyarakatnya daripada tekanan regim BN, tak perlulah berbangga.
Tahun 2014 bakal menjelma bersama 1001 lagi pengharapan dan kemungkinan. Dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil, manakan mampu parti politik sahaja bertekak dalam Parlimen? Inilah peluang terbaik golongan siswa menebus semula suara mereka yang tenggelam dan menumpul.
Perjuangan mahasiswa bukan perjuangan parti politik, maka anda harus bersedia menjadi benteng unggul anak bangsa. – Roketkini.com

23 September 2013

“The Missing Link” Merenung jalan berliku, Borneo 50 tahun bersama Malaysia

Oleh: Hafiz Zainuddin
PEMANDANGAN hujung tanah Borneo, Tanjung Simpang Mengayau membuatkan saya tertegun dibelai angin lembab Laut China Selatan yang bercampur udara Laut Sulu. Lelah perjalanan jauh terhenjut-henjut dan perlahan dari Kota Belud menuju Kudat hampir sahaja hilang melihat pemandangan yang tidak pernah saya temui di Semenanjung.
Berada dalam bas menempuh jalur bandar ke pekan, pekan ke kampung, kampung ke ladang dan ladang ke hutan; pasti membuahkan pelbagai persoalan dan persepsi baru. Sudah tentu, menelusuri jalan raya di Sabah, bakal menemukan anda dengan pelbagai rasa dan pengalaman.
Tanda tanya dan misteri terhadap Sabah, antara negeri terkaya di Malaysia ini sudah terjawab. Biar hanya tujuh hari tujuh malam melata di bumi negeri Di Bawah Bayu ini, segala propaganda slogan ‘Sabah maju bersama Barisan Nasional (BN), Rakyat Diutamakan’ sudah layak dimasuk bakul sampah. Semuanya indah kabar daripada rupa.
Yang indah hanya budi dan santun masyarakatnya yang ramah dan baik, yang cantik ialah pemandangan hijau dan gunung-ganang terpasak kukuh, yang menawan adalah kekayaan sumber alam flora dan faunanya yang masih menjalar dan membiak.
50 tahun BN buat apa?
Dari Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Kundasang, Ranau, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, begitu juga daerah kecil yang lain, saya dan teman melalui perjalanan panjang menaiki bas mendaki segenap cerun dan lembah bumi. Dan saya akui, perjalanan menaiki bas ini merupakan perjalanan paling lama dan mencabar sepanjang hidup saya.
Dari perjalanan panjang ini, saya hanya mampu menyoal apa yang dibuat kerajaan BN sejak 50 tahun lalu. Seminggu berada di Sabah sudah cukup untuk memberi gambaran jelas diskriminasi terang-terangan kerajaan Persekutuan Malaysia yang pastinya Barisan Nasional (BN) ke atas negeri dan anak negeri ini, apa lagi anak pribumi yang datuk moyangnya termakam di situ hampir seluruh baka keturunan.
Daripada diskriminasi ini maka wujudlah masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), pendudukan tanah oleh PATI secara haram, kemiskinan, masalah kemudahan perubatan, keselamatan, bekalan air terawat, bekalan elektrik dan masalah jaringan jalan raya di seluruh negeri.
Mengumumkan peruntukan belanjawan kepada Sabah setiap tahun, menambah ruang pejabat dan kuarters penjawat awam negeri itu belum lagi cukup untuk mengakui Sabah sebagai negeri membangun.
Majoriti penduduk di luar bandar, malah di sesetengah kawasan kediaman di bandar tidak mempunyai sistem bekalan air terawat malah anak-anak masih menelaah mata pelajaran di bawah lampu yang dijana generator.
‘Jalan-jalan’ berliku
Disebabkan keadaan jalan yang beralun-alun, menggerutu dan ditambah dengan kerosakan dan kerja baik pulih sepanjang jalan, perjalanan yang sepatutnya hanya 40 minit terpaksa memakan masa 80 minit dan jika berlaku kecemasan, anda mungkin mati dengan tidak wajar dalam ambulan atau semakin parah. Ini adalah antara hakikat yang terpaksa ditempuh sebahagian besar warga Sabah yang duduk berjauhan daripada pusat kesihatan, hospital mahu pun bandar.
Persoalan jaringan jalan raya bukan remeh. Daripada soal hidup mati sehingga pembangunan fizikal dan modal insan, jalan raya adalah penghubung di antara dua kutub yang terpisah..
Sejarah mengajar kita bagaimana penjajah Jepun dan Inggeris sanggup menghadap gajah, harimau dan segala jenis jembalang hutan ketika membuka jalan dan landasan keretapi ketika itu demi kelangsungan ekonomi mereka. Sudah semesti, perkaitan jalan raya ini mempunyai hubungan akrab dengan keberlangsungan pembangunan ekonomi sesebuah daerah mahu pun negara.
Bukan semua orang berduit
Sabah sulukMenurut Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Jimmy Wong Tze Phin pembangunan di Sabah akan terus lembap berbanding negeri lain di Semenanjung jika jaringan pengangkutan darat tidak diberi keutamaan.
“Bukan semua orang boleh naik kapal terbang. Soal paling besar, kenapa BN tidak peduli untuk membaiki dan membina jaringan jalan raya yang sempurna,” ujar beliau.
Jimmy Wong berkata, kelembapan ekonomi ini dapat dimanifestasikan dengan pembangunan fizikal dan taraf hidup masyarakat.
Menurutnya, dengan adanya satu jaringan jalan raya atau lebuh raya yang sempurna dan baik, pembangunan Sabah akan lebih rancak kerana kemasukan pelabur dan wujudnya lebih banyak interaksi daripada masyarakat luar bandar dan bandar yang lebih baik.
“Bermulanya daripada sebuah jaringan jalan raya yang baik, pelabur akan lebih senang untuk melabur, ekonomi setempat akan lebih baik. Sebab itu kita berasa sangat hairan mengapa BN sanggup membiarkan Sabah terus berada dalam keadaan begini sedangkan apa yang berlaku di Semenanjung begitu berbeza sekali.
“Ini yang saya kata sebagai the missing link. Ia bukan hanya merujuk kepada keadaan jaringan jalan raya yang teruk, tetapi mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan BN kepada Sabah.
“Adakah wajar mereka melayan Sabah dengan cara ini sedangkan Sabah merupakan negeri yang banyak memberi sumbangan kepada ekonomi negara?,”soalnya.
Sampai bila Malaysia Timur akan terus jadi lubuk emas BN?
Bulan ini, genap Sarawak, Sabah dan Semenanjung Tanah Melayu membentuk Malaysia yang berusia 50 tahun. 16 September 1963 menjadi saksi sejarah pembentukan Malaysia yang berdaulat. Tanpa penyertaan dua negeri dari kepulauan Borneo itu, Putrajaya hanya akan dikenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya.
Malangnya, Sabah dan Sarawak terus dianggap sebagai lubuk emas, umpama pohon getah yang ditoreh setiap masa untuk susunya, bila pohon tua tidak bersusu, ia ditebang diganti pohon yang lain.
Dari lapangan terbang Tawau, saya dan teman-teman berangkat pulang ke Kuala Lumpur menitip memori berharga lakaran segar dari bumi Sabah. Wajah sugul anak-anak kecil yang berniaga di pasar Semporna terimbas ketika berada di lapangan terbang justeru membuatkan saya terfikir, apakah masih ada lagi jalan lain untuk Sabah berubah?
Selamat Hari Malaysia-Roketkini.com

09 July 2013

Antara bahasa kebangsaan, ibunda dan bahasa cinta, anda di mana?

Oleh Hafiz Zainuddin
ZAMAN kegemilangan kesultanan Melayu Melaka abad ke-16 menyaksikan Bahasa Melayu menjadi lingua franca di nusantara. Bahasa Melayu diguna pakai pedagang secara meluas sehingga ianya disifatkan seorang ilmuan Belanda, Francois Valentijn sebagai satu bahasa yang sama taraf dengan bahasa Perancis dan bahasa Latin di Eropah.

Fakta menjadi saksi, Bahasa Melayu berkembang tanpa adanya sekolah ‘aliran kebangsaan’. Istilah bahasa kebangsaan juga tidak wujud di zaman itu. Pada 1548, sekolah pertama di Melaka ialah kolej mubaligh St. Paul yang diasas oleh St. Francis Xavier bagi penganut Kristian Katolik dan masyarakat tempatan yang mahu mendalami ajaran itu.

Selain dari itu, satu hal yang tidak mampu disangkal ialah perkahwinan campur yang menyatukan orang Cina, Melayu, Portugis dan India sehingga melahirkan keturunan campur seperti masyarakat Baba Nyonya, Serani, ‘mamak’ bukan berlaku akibat perpaduan yang dipupuk sekolah aliran kebangsaan tetapi kerana bahasa cinta. Bahasa cinta ini lebih agung daripada segala bahasa yang terpakai di dunia. Ia rentas alam jagat, melangkaui segala benua, tidak di batas suku dan puak.

Mungkin akibat terpenjara dalam kerangka fahaman Mahathirisme, kurang menonton filem P Ramlee dan tidak berpijak pada realiti, Malaysia pasca Pak Lah menyaksikan kebangkitan gerombolan puak radikal yang mendakwa sebagai pejuang bangsa,  bahasa, perpaduan, agama dan sebagainya. Mereka adalah puak yang gagal melihat perpaduan Malaysia daripada kaca mata cinta.

Perjuangan puak radikal bahasa: sampah!

“Sistem  pengasingan  melalui  pelbagai  aliran  terbukti  dan  ternyata gagal malah membahayakan perpaduan masyarakat majmuk dan keselamatan negara.”- Gabungan NGO Islam-Melayu

Kenyataan di atas adalah komen daif puak yang mengaku sebagai pejuang bangsa dan agama. Mereka yakin, perpaduan rakyat pelbagai kaum di Malaysia hanya mampu dicapai dengan penggunaan bahasa. Yakni penyatuan pelbagai aliran sekolah menjadi sekolah aliran kebangsaan. Benar, mereka lupa pada sejarah kegemilangan bangsa, tamadun dunia dan agama.

Jujur bagi saya, lalakan untuk mencapai perpaduan masyarakat Malaysia yang plural dengan method mewujudkan hanya satu sekolah kebangsaan adalah sampah. Lebih memalukan, lalakan dangkal itu dilaungkan oleh golongan kelas pertengahan dan atasan Melayu yang belajar di Oxford mahu pun lulusan perubatan dari Al-Azhar Mesir.

Sejarah sebagai bukti, bahasa bukan segalanya…

Secara umum, Indonesia menjadi saksi perluasan penggunaan bahasa kebangsaan melangkaui batas puak dan kaum, agama mahu pun daerah. Hasil penghijrahan orang Cina, Arab, India, Punjabi, Belanda dan sebagainya ke tanah Jawa ini; sebahagian besar generasi pasca Sukarno dan pasca orba (order baru) hampir langsung melupakan bahasa ibunda. Jauh sekali untuk menuturnya sebagai perantaraan. Selain pakaian tradisi, tanglung, seni bina, dan warna kulit, yang masih cuma kekal ialah makanan.

Ini semua hasil Instruksi Presiden (Inpres) 1960 oleh Presiden Sukarno dengan tujuan asal untuk mengekang pengaruh fahaman komunisme dari China ketika itu. Pencabulan hak asasi ini secara langsung memperkasakan bahasa Indonesia ke seluruh wilayahnya ke tahap tertinggi sehingga hampir seluruh jagat keilmuannya menggunakan bahasa kebangsaan, bahasa Indonesia.

Idea inilah yang sering digunakan pejuang radikal bahasa dan bangsa sebagai hujah di Malaysia. “Kalau Indonesia boleh, mengapa tidak di Malaysia?”

Perpaduan melalui bahasa hanya ilusi

Isu pokok dalam tulisan ini ialah bagaimana mencapai perpaduan dan integrasi bangsa Malaysia.

Persoalannya ialah adakah dengan mewujudkan sekolah satu aliran akan membuahkan kesatuan bangsa Malaysia seperti yang diimpikan?

Jawapannya sudah pasti tidak. Walaupun Indonesia meraikan bahasa kebangsaan mereka hampir sempurna di segenap sudut, Indonesia tetap mengalami perpecahan. Perpecahan itu pula bukan sekadar wujudnya jurang kelas masyarakat miskin-kaya semata-mata, malah bumi itu dilumuri darah.

Aceh bermandi darah bukan sebab bahasa, tetapi sebab kuasa. Apa yang berlaku ialah Gerakan Aceh Merdeka (GAM) sebelum tsunami sehari selepas Natal 26 Disember 2001 mahu agar wilayah itu dibebaskan. Perkara yang sama juga berlaku di Timor Leste (sebelum ini Timor Timur) yang terletak berhampiran utara Australia dan setelah bumi yang kaya dengan sumber asli itu puas bermandi darah, mereka akhirnya ‘bebas’.

Kita juga menyaksikan pertelingkahan antara puak radikal Islam dan tentera kerajaan Thailand menyebabkan komuniti minoriti Muslim di Patani, Selatan Thai menderita. Biar pun Thailand memusatkan aliran pendidikannya, wilayah itu terus bergegar dengan letupan bom dan tembakan. Jadi, di mana letaknya perpaduan, penyatuan, integrasi dan keharmonian masyarakat di sana biarpun fasih berbahasa Thai?

China pula mengalami revolusi budaya yang perit. Kebangkitan komunisme  melalui Revolusi Kebudayaan pimpinan Mao Zedong pada 1966 bukan disebabkan bahasa tetapi akibat pertentangan kelas masyarakat miskin-kaya, konon demi ‘membebaskan negara China daripada batas kelas masyarakat’. Golongan berhaluan kiri yang menganut fahaman Mao bertembung dengan golongan berhaluan kanan menggunakan bahasa yang sama!

Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada negara Timur Tengah seperti Tunisia, Libya, Iraq, Syiria, Mesir; perpecahan, keruntuhan dan kebagkitan rakyat bukan atas sebab sentimen bahasa tetapi disebabkan kegilaan pemerintah mengaut harta dan meminggirkan sebahagian besar masyarakat terus miskin dalam keadaan ekonomi negara yang tidak cemerlang.

Lain pula halnya dengan Singapura. negara kecil itu  tidak pula berhadapan dengan masalah apabila memberi keutamaan kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya meminggirkan bahasa ibunda majoriti masyarakat Cina negara itu. Oleh yang demikian, masyarakat Malaysia harus belajar daripada sejarah dunia, bukan hanya belajar sejarah dalam silibus SPM semata-mata yang mengakibatkan kita terus dibohongi hidup-hidup.

Apa perlu ada pada Malaysia

Justeru, tonggak terpenting dalam memupuk perpaduan dan kerukunan Malaysia dengan kewujudan masyarakat yang plural bukanlah bahasa atau sekolah satu aliran. Slogan 1Malaysia juga tidak akan memberi apa-apa justifikasi selagi dasar penindasan dan diskriminasi kaum terus menjadi amalan kerajaan.
Konsep pecah dan perintah perlu dihapuskan, dasar perekonomian dan kebajikan, sistem pendidikan negara, silibus persekolahan perlu dikaji semula dan bebas daripada sebarang campurtangan sentimen dan politik.

Malaysia perlu berdiri pada hakikat sebenar di mana kepelbagaian bahasa, agama dan budaya wajib diraikan. Selagi kerajaan gagal membentuk sebuah dasar yang ‘Malaysia’, selagi itu impian bangsa Malaysia tidak akan tercapai malah perpaduan di Malaysia hanya akan terlihat pada rojak dan mee hailam semata-mata.

Kerajaan juga harus belajar daripada para dai’e dan mubaligh dalam penyebaran agama. Islam tidak mampu berkembang tanpa mengalami asimilasi budaya dan bahasa. Kitab agama diterjemah dalam pelbagai bentuk bahasa dalam menyampaikan mesej yang satu.

Sedarlah, laungan satu bahasa, sekolah atu aliran, hanya semata-mata demi survival kelompok politik berasaskan kaum seperti UMNO, MIC dan MCA. Pertelingkahan masyarakat akibat hal ini cuma akan menguntungkan mereka. Sejarah dan dunia membuktikan bahawa  perpaduan manusia, kaum dan negara dibentuk melalui jalan jiwa iaitu bahasa cinta. Maka, bercintalah daripada sekarang!-Roketkini.com

08 July 2013

Teater “SELAK:SERAK”, dedikasi buat mangsa kematian dalam tahanan

Sebuah teater yang didedikasikan kepada mangsa kematian dalam tahanan pihak berkuasa berjudul “SELAK:SERAK” akan dipentaskan untuk tontotan umum ini di PJ Live Arts, Jaya One, Petaling Jaya, mulai 11 hingga 14 Julai ini.

Teater “SELAK:SERAK” produksi Rumah Anak Teater (RAT) adalah arahan Ayam Fared, seorang penulis dan artis yang memenangi anugerah Pengarah Terbaik dalam BOH Cameronian Arts Awards 2012.

Menurut Pengarah Urusan RAT, Faisal Mustaffa, pementasan teater itu dibuat pada Julai bersempena memperingati ‘bulan kematian’ bagi mendiang Teoh Beng Hock dan R Gunaegaran.

“Kami mahu memberi kesan kepada masyarakat supaya sedar mengenai keganasan pihak berkuasa terutamanya polis terhadap mangsa dalam tahanan mereka,” katanya.

Menurut beliau, budaya penderaan dan keganasan oleh pihak berkuasa perlu dibanteras kerana tidak mustahil kes sebegini akan berulang.

“Tidak mustahil ia juga boleh berlaku kepada kita, kepada keluarga kita. Kita tidak boleh menganggap pihak polis atau pihak berkuasa lain kebal daripada dikenakan hukuman,” tegas beliau.

Bagi Pengarah Teater, Ayam Fared, isu ini bukan semata-mata mengetengahkan atau sekadar memperingati kematian Beng Hock.

“Kematian Beng Hock bukan sekadar isu yang membabitkan keluarga atau temannya. Kematian beliau membabitkan kita sebagai rakyat Malaysia. Ini adalah isu serius membabitkan keganasan pihak berkuasa.

“Di Malaysia, banyak kes yang berlaku, tapi tidak selesai,” ujar beliau.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Menurut beliau, Pemuda Sosialis DAP menyokong penuh segala usaha menganjurkan teater ini demi meningkatkan kesedaran masyarakat betapa pentingnya peri kemanusiaan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Kematian dalam tahanan pihak berkuasa adalah isu serius. Apa yang kita dapat tahu melalui pendedahan di Parlimen, dari 235 tahanan yang mati, hanya dua kes yang didapati bersalah.

“Kita amat berharap, pementasan teater ini dapat bantu mendidik masyarakat bahawa mereka mempunyai hak. Pihak penyiasat tidak punya apa-apa kuasa untuk menghukum selagi tidak dijatuhkan kesalah oleh mahkamah,” ujarnya.

Menurut wakil Suara Rakyat Malaysia (SUARAM),Thevarajan, inisiatif RAT patut dipuji dan diperluaskan.

“Pada tahun lalu, sembilan kematian dalam tahanan polis dicatatkan dan tahun ini saja meningkat kepada 10 orang. Nampaknya, perkara itu tidak pernah berhenti dan ia mewajarkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC),” katanya.

Bagi Koordinator NGO Malaysia for Beng Hock, Ng Yap Hwa, teater ini mewakili semua kes kematian dalam tahanan pihak berkuasa yang berlaku di Malaysia.

“Kes Beng Hock meningkatkan kesedaran masyarakat. Ia mempunyai elemen politik sama seperti yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa reformasi.

“Adalah amat penting bagi NGO atau mana-mana pihak memperjuangkan mereka yang dizalimi pihak berkuasa,” katanya.

Pementasan “SELAK:SERAK” yang berdurasi 60 minit ini bakal menampilkan dua kolaborator dan pelakon Lorna Hoong, seorang graduan tari Akademi Seni budaya dan Warisan Malaysia (ASWARA) yang giat dalam pelbagai pementasan, lakonan dan penerbitan digandingkan bersama kolaborator Khairil Ridzuan K’N yang merupakan seorang graduan lakonan dari ASWARA dan giat dalam dunia lakonan filem seperti Hati Malaya 1957, Songlap, Jalan Pintas dan Gadoh.

Pementasan “SELAK: SERAK” akan dimulakan jam 8.30 malam pada 11 hingga 13 Julai manakala jam 3.00 petang pada 13 dan 14 Julai ini.

Tiket boleh didapati terus di PJ Live Art, Jaya One Petaling jaya atau secara online di www.tix.my berharga RM50, RM30 dan RM25 bagi pelajar dan OKU. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-79600439 atau 017-2289849. –Roketkini.com 

16 June 2013

“Kampung Seni” Padang Jawa jadi ikon usaha murni anak muda

Oleh Hafiz Zainuddin
“PADA mulanya masyarakat kampung agak janggal dengan cadangan saya…” – Aisyah Baharuddin, Artis

TEMBOK kelabu yang kusam, comot dan berdebu sudah hilang. Dinding pagar yang warnanya luntur, sudah pun berubah wajah. Pemandangan menyakitkan mata dengan lambakan tempelan poster ubat kuat, urut batin, pinjaman wang yang terpamer sepanjang tembok jejantas dan laluan jalan atas sudah ghaib. Semuanya digantikan dengan karya lukisan mural dan grafiti oleh artis, anak-anak muda dan kanak-kanak sekitar yang peduli pada lingkungan mereka.

Dua kampung yang menjadi titik temu sempadan bandaraya Shah Alam dan Klang telah menjadi saksi bangkitnya sebuah gerakan seni untuk masyarakat. Kampung Padang Jawa dan Kampung Karuppiah (kejiranan Padang Jawa) melakar sejarahnya tersendiri.

Anak muda peduli pada lingkungan

Gerakan seni ini dipelopori oleh sebuah komuniti seni yang dinamakan T.I.G.A bermaksud Tindakan Gerak Asuh. Ia diasaskan oleh Aisyah Baharuddin, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus daripada UiTM bersama dua lagi teman iaitu Mohamad Idham Ismail, graduan Unisel yang menamatkan pengajian dalam jurusan Senireka Grafik dan Farhana Mohd Tajali juga graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus UiTM.

Aisyah merupakan tunjang utama T.I.G.A  berpengalaman luas dalam bidang seni lukis, mural, seni persembahan dan hampir 15 tahun menceburkan diri sepenuh masa dalam aktiviti seni malah beliau acap kali menyertai pameran lukisan yang diadakan di seluruh negara.

Hingga setakat ini, komuniti T.I.G.A yang beroperasi di Pusat Sekitar Seni, Kampung Karuppiah berjaya memimpin kanak-kanak dan remaja kejiranan ini untuk turut serta meraikan kepelbagaian seni dan menambah kemahiran mereka dalam bidang seni lukis. Hujung minggu bagi anak-anak ini tidak lagi menjadi satu hujung minggu yang membosankan dengan tayangan Sponge Bob yang diulang-ulang.

“Kampung seni pertama di Selangor”

Siapa sangka, kejiranan Padang Jawa mencatat sejarah pada 23 Mac 2013 lalu apabila sebahagian besar dinding tembok dan pagar rumah laluan utama dilakar dengan pelbagai bentuk lukisan mural dan grafiti berwarna-warni membawa mesej sivik mengangkat tema alam sekitar dalam Festival Seni Jalanan Padang Jawa atau lebih dikenali sebagai Padang Jawa Street Art Festival 2013 (PJSAF).

Tema alam sekitar dengan mempromosikan aktiviti kitar semula dan menjaga kebersihan amat bersesuaian dengan implementasi dasar hijau Kerajaan Negeri Selangor mahu pun Kerajaan Persekutuan. Atas usaha gigih komuniti ini, kini kejiranan Padang Jawa sudah digelar orang sebagai “Kampung Seni”.

Menurut Pengarah PJSAF, Aisyah Baharuddin, festival sebegini merupakan julung-julung kali diadakan dalam kejiranannya itu dan beliau tidak menolak kemungkinan ianya adalah yang pertama kali dianjurkan di Selangor.

“Idea untuk menjalankan festival ini timbul apabila melihat kepada persekitaran kampung dan berasa ‘sakit’ dengan pemandangan tembok yang banyak ditampal dengan ‘iklan haram’.

“Saya fikir, dengan kemahiran yang ada bersama teman yang lain, mungkin kami boleh lakukan sesuatu untuk kampung dan masyarakat di sini,” ujar Aishah ketika ditemui baru-baru ini.

Ditanya mengenai sumber kewangan dan peralatan, pengasas T.I.G.A itu berkata mereka mendapat tajaan dari syarikat swasta, Nippon Paint (M) Sdn Bhd dan kerajaan melalui Dana Belia 1Malaysia.

PJSAF turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Jawa, Balai Seni Visual Negara (BSVN), Komuniti Buku Jalanan, Media Legal dari Jakarta, gabungan artis tempatan seperti Escape, Medea Project, dan beberapa individu artis yang lain.

Langit petang yang suram dengan hiruk-pikuk kenderaan pulang dari kerja di tempat lain tidak lagi sama dengan kejiranan Padang Jawa. Di balik deruan enjin kenderaan, waktu petang di sini menjanjikan pemandangan yang berbeza.

Atas usaha gigih T.I.G.A yang mendapat kerjasama baik penduduk kampung, JKKK dan kelab belia sekitar, kini, kejiranan Padang Jawa bertukar wajah dan boleh diangkat sebagai sebuah destinasi pelancongan. Sebuah ‘perkampungan seni’ buat pertama kalinya dalam sejarah negeri Selangor.

Mengukuh perpaduan kaum melalui aktiviti melukis

Kedudukan kawasan kampung yang terletak di antara dua bandar ini menjadikan ianya satu kawasan campuran pelbagai kaum dengan penempatan komuniti Melayu, India dan Cina.

Bagi Aisyah, selain mendidik masyarakat mengenai peri-pentingnya menjaga kebersihan dan persekitaran, PJSAF yang berlangsung selama tujuh hari itu telah merapatkan lagi hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di sini.

“Kami menerima sokongan penduduk kampung dan ketika festival ini berlangsung, kami dapat lihat bagaimana masyarakat sekitar terutama remaja dan kanak-kanak berlainan kaum dapat berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama-sama.

“Biasanya, aktiviti majmuk sebegini cuma dapat dilakukan di sekolah atau padang bola sahaja,” ujar Aisyah.

Beliau berpendapat, usaha untuk memasyarakatkan seni ini harus terus mendapat sokongan penduduk, masyarakat sivik atau kerajaan dalam menjamin satu kerangka untuk mendidik masyarakat melalui seni sekaligus merapatkan jurang perbezaan antara kaum.

Meluaskan aktiviti komuniti untuk masyarakat

Walaupun PJSAF telah berlalu, T.I.G.A masih giat meneruskan aktiviti kesenian mereka dengan memperbanyakkan lagi lukisan mural dan grafiti dengan pembabitan remaja dan anak-anak muda setempat.

“Selain melukis, kita juga membuat kelas membaca secara percuma untuk kanak-kanak yang dijalankan di pusat komuniti kami di sini (Pusat Sekitar Seni) hampir setiap hujung minggu,” jelas Aisyah.

Katanya, T.I.G.A turut merancang memperluaskan lagi aktiviti mereka seperti penganjuran bengkel percuma seperti bengkel penulisan, lukisan, asas fotografi dan sebagainya.

“Pusat Sekitar Seni ini mempunyai ruang yang selesa dan cukup untuk menjalankan aktiviti dalaman dan kita berharap masyarakat kampung terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak mendapat manfaat,” kata beliau.

Bagi seluruh penduduk di Shah Alam mahu pun di seluruh negara, usaha komuniti ini dalam memasyarakatkan seni perlu menjadi perhatian dan diberi sokongan samada dalam bentuk peralatan atau kewangan.

Di akhir perbualan kami, Aisyah menegaskan bahawa hasil karya seni tidak hanya eksklusif di galeri yang jauh daripada masyarakat. Seni juga harus memasyarakat dan dimasyarakatkan.

“Seni perlu memberi sumbangan dalam membentuk sebuah persekitaran kejiranan yang ideal dan kukuh,” katanya.

T.I.G.A boleh dicapai dalam talian di tindakangerakasuh@gmail.com atau melalui www.facebook.com/streetartfest2013pdgjawa atau terus hubungi 013-6613243 (Aisyah Baharuddin)-Roketkini.com

25 May 2013

Adam Adli, Led Zeppelin dan siapa Najib


Oleh: Hafiz Zainuddin

BELUM pun sempat kerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak panas di Parlimen. Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) seperti berpatah balik dua bulan ke belakang. Rakyat masih tidak jemu untuk berdiri, berhujan, bersesak-sesak mendengar pidato pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Rakyat Malaysia telah bangun daripada tidur panjang. Kesedaran politik yang tersemai, putiknya sudah menjadi bunga. Sebab itu, BN hanya sekadar mampu senyum terpaksa menduduki semula Putrajaya. Mereka sedar bahawa kemenangan tipis mereka kali ini diselamatkan oleh sempadan kawasan pilihan raya dan kesaktian tangan-tangan ghaib.

Merai dan memanfaat jaminan Perlembagaan tetapi…
BN tidak lagi berhadapan dengan PR semata-mata. PR pula tidak akan sekuat sekarang tanpa dokongan pelbagai peringkat lapisan masyarakat berbilang kaum termasuk golongan masyarakat siswa yang baru keluar daripada bungkaman suara mereka.

Mahasiswa sedar, mahasiswa bangkit, mahasiswa yang ditunjangi anak-anak muda sudah tidak kekok untuk turun ke jalan berdemonstrasi menuntut hak mereka. Inilah suasana baru demokrasi di Malaysia. Hak berhimpun secara aman sebaik mungkin dimanfaat seperti yang dijamin Perlembagaan.

Bagaimanapun, suara rakyat, suara anak muda diperlakukan seperti dahulu. Saling tak tumpah seperti zaman Mahathir dan 1001 hikayat Melayunya.

Demokrasi masih pra-matang di Malaysia, transformasi yang diwar-warkan pemerintah BN hanya sekadar transformasi tong sampah. Suara rakyat, suara anak muda terus diperleceh.

Kita tidak perlu hairan mengapa Adam Adli ditahan mengikut Akta Hasutan lantaran beliau bangun melawan tirani kuasa pemerintah BN yang mahu agar demokrasi negara ini berdaulat.

Bermulanya era Aerosmith dan AUKU
Kebangkitan masyarakat siswa dan golongan cerdik pandai bukan perkara baru. Barisan nama seperti Abu Zer, Yunus Ali, Kamarazaman Yacob, Hishamuddin Rais, Anwar Ibrahim dan ramai lagi aktivis mahasiswa sangat sinonim dengan zaman kegemilangan mahasiswa sebaris dengan kemunculan  Deep Purple, Led Zeppelin dan Aerosmith.

Arus kebangkitan masyarakat siswa ini juga menyebabkan kerajaan memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 1971 untuk mengekang pembabitan mahasiswa daripada berpolitik. Bermulalah saat malap bagi dunia akademik dan aktivisme mahasiswa.

“Satu orang pemuda dapat mengubah dunia..” Sukarno
Kita masih ingat lagi kepada sebuah daerah bernama Sidi Bouzid. Adapun pembangunan di Kuala Lumpur ini jauh bezanya dengan pembangunan di sana, jauh juga melangkaui sudut fikir dan budaya.  Apapun bezanya, Kuala Lumpur dan Sidi Bouzid tetap dihuni manusia yang punya hati dan perasaan; cita-cita dan wawasan. Sidi Bouzid dan Kuala Lumpur dihuni oleh manusia yang fitrahnya bebas.

Kalaulah Bouazizi tidak dizalimi, kalaulah gerainya tidak disita dan kalaulah beliau tidak dikasari. Maka beliau tidak akan mati. Kematian mahasiswa bernama Bouazizi ini rupanya menghidupkan lagi jutaan Bouazizi yang lain. Kerajaan Tunisia akhirnya tumbang dimakan sumpah rakyatnya yang setia. Bouazizi telah mengubah Tunisia, Bouazizi telah mengubah dunia, Bouazizi telah mencetuskan Arab Spring yang menggugat keangkuhan pemerintah.

Kita mahu aman, damai, undang-undang didaulatkan
Beza Bouazizi dan Adam Adli cuma pada ras dan fizikalnya. Sebagai anak manusia, jiwa kita tetap bebas merdeka. Kita tidak mahu penahanan dan penganiayaan terhadap Adam Adli menjadi titik tolak kepada Malaysia Spring yang dipropagandakan media kawalan pemerintah.

Kita mahu keadilan diberikan terhadapnya dan kita juga ingin agar Perlembagaan Persekutuan dihormati. Keamanan Malaysia harus dijaga dan ini adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat dan pemerintah. Atas nama Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang, Adam Adli wajib dibebaskan.

BN harus akur, BN haru sedar, BN harus tegas; Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia. Perlembagaan ini juga yang menjamin hak warganya untuk bersuara, berpersatuan dan berhimpun secara aman. Ini adalah hak asasi kita sebagai rakyat yang sering dipandang mudah pemerintah BN.

BN harus bermuhasabah, kembali bertaut pada Perlembagaan yang menjamin kebebasan dan hak asasi rakyat. Ini adalah perkara paling pokok dan perlu menjadi keutamaan yang perlu dipelihara sebaik mungkin melampaui batas agama, bangsa mahu pun ideologi politik.-Roketkini.com

22 May 2013

“13 Mei 1969 dalam kenangan…UMNO pikul beban dosa silam”

Oleh: Hafiz Zainuddin

"SEBENARNYA, 13 Mei 1969, peristiwa berdarah, perkauman di antara kaum Melayu dan Cina termasuk India sebenar-benarnya itu adalah perancangan UMNO sendiri. Ini tuan-tuan kena faham dan saya minta orang Melayu mesti dengar. Jangan kita tertipu,” kata Datuk Tamrin Tun Ghafar Baba

Akhirnya Pakar Unit IT DAP dapat bukti gerangan makhluk apa membuat sekatan internet pada musim pilihan raya umum lalu. Bukan sahaja jenis makhluk, tapi juga bagaimana, dan di mana sekatan internet itu dibuat.

Bukannya apa, pada Mei lalu, SKMM beri jaminan takkan ada sekatan internet. Alih-alih, habis semua laman web rasmi parti termasuk blog Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz disabotaj. Sudah sah kalau setakat jaminan memang tidak boleh dipegang, mungkin selepas ini setiap jaminan perlu diikat ibarat kerbau dicucuk hidung.

Semalam satu aduan sudah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM). Berjumpalah Pakar IT kami saudara Goh Kheng Teong, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong bertemu pegawai yang bertugas.

Menariknya, antara laman yang disekat ialah video youtube yang dimuat naik admin DAP sendiri perihal Peristiwa 13 Mei 1969 yang diceritakan sendiri Datuk Tamrin Ghafar, anak kepada Tun Ghafar Baba.
Video bertajuk “Dalang sebenar Mei 13 dibongkar” ini sudah tidak boleh ditonton di youtube. Pun begitu, unit IT parti sudah menyediakan satu lagi pautan lain yang memaparkan video terbongkarnya dalang di sebalik peristiwa hitam 13 Mei 1969 https://vimeo.com/66376190

Tamrin antara lain mendedahkan sendiri bagaimana Tunku Abdul Rahman, bapa kemerdekaan ketika itu mendedahkan bahawa wujud satu komplot oleh beberapa kerat pemimpin UMNO atasan untuk merampas kuasa daripada beliau.

Tunku menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu rampasan kuasa kecil yang dirancang beberapa pemimpin UMNO ketika itu, termasuk Tun Mahathir yang masih hidup sehingga kini.
Pendedahan Tunku itu bukan sekadar pendedahan oral tetapi telah dicatatkan dalam kolum mingguan tetap beliau “As I See It” dalam The Star ketika itu.

Ini cuma sedikit cebisan sejarah yang diceritakan semula oleh anak negarawan ulung malahan beliau hidup 40 tahun bersama parti rasis itu.

Perkara sebegini menjadi bayang-bayang, jembalang yang menghantui UMNO. Rahsia mereka sudah makin diketahui rakyat. Kepercayaan orang Melayu khususnya sudah semakin terhakis terhadap UMNO.
Walaupun keputusan PRU-13 tidak memihak kepada Pakatan Rakyat, kita tahu, majoriti rakyat seluruh negara tidak memihak kepada UMNO dan seluruh gabungan parti di bawah BN.

Kita tidak mahu UMNO-BN ditolak rakyat semata-mata kerana dibenci akibat perbuatan salah guna kuasa dan rasuah sahaja.

Kita mahu, rakyat Malaysia faham dan terdidik dengan Demokrasi Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia. Kita inginkan sebuah masyarakat yang sivik dan punya kesedaran untuk perubahan ke arah yang lebih baik. Apapun, cara, gerak kerja, budaya dan amalan UMNO-BN dan sekutu mereka tidak lagi sesuai dengan zaman yang makin berkembang.

Hanya masa dan tuhan yang tahu, bila, bagaimana UMNO-BN akan ditenggelamkan sejarah.-Roketkini.com