29 October 2011

Agama-agama kita

oleh Hafiz Zainudin

Marx pembohong! Dia juga mencipta agamanya sendiri!

Agama tidak mungkin satu subjek yang statik. Fiqh akan sentiasa terus berubah. Syariat-syariat yang wujud sekeliling kita akan sentiasa mengalami persaingan sengit untuk berbuat kebajikan dan amal untuk manusia.
Agama juga bukan kebudayaan alam ketuhanan untuk diaplikasi kedalam kehidupan manusia. Tidak sama sekali. 

Agama adalah  plot tuhan kepada manusia dengan pelbagai rupa dan struktur kerana gerak ilham ‘agama’ merupakan anugerah tuhan yang mutlak berdasarkan ayat-ayat nya dalam Surah Al-Maidah ayat 48 yang bermaksud; “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat…..”.

Maka, perbezaan yang terhasil, namakan juga sebagai perpecahan: kumpulan-kumpulan, mazhab-mazhab maupun syariat adalah atas izin dan kehendak tuhan. Kerana yang utama, dalam ayat dan surah yang sama; tuhan telah befirman “Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan…..”.

Keganjilan-keganjilan

Perubahan! Agama bertindak mencipta dan memenuhi kekosongan dalam ruang kebudayaan dan cara hidup manusia.

Hasilnya mewujudkan kelompok-kelompok manusia yang ganjil dan memandang sesama kelompok manusia lain sebagai: juga keganjilan, sesat, palsu dan sebagainya. Keganjilan ini adalah identiti-identiti tertentu, unik. Dan ia membawa misi masing-masing; samada untuk mencapai kefanaan maupun masuk syurga.

Sebahagian orang berpendapat “tujuan semua agama sama…” manakala Rumi pula mengaitkan agama dengan pelita-pelita yang bercahaya; adapun pandangan-pandangan sedemikian, walaupun banyak kelompok menamakan mereka sebagai pemikir bebas-liberal maupun sebagainya, ia tidak mungkin menjadi penyatu (mustahil) kerana kelompok ini akan saja mendapat tentangan-berbeza dengan kelompok lain sehingga hari kiamat kelak.

Huru-hara

Sejak wujud agama hingga sekarang, dunia dipenuhi dengan manusia-manusia beragama dan huru-hara.  ‘Agama’ tidak mampu untuk mengamankan dunia, penyatuan takkan wujud malah atas nama agama, kita berperang dan masuk parti politik kerana urusan agama di dunia ditadbir oleh manusia, seperti pope, ayatollah, sultan, paderi, sami, pemilik kuil, rabi, imam, presiden republik, mufti, penguatkuasa, mursyidul am, majlis syura maupun exco kerajaan negeri.

Huru-hara dunia….sebab itu Buddha, Musa, Luth, Isa, malah Muhammad menjadi pesuruh tuhan dalam misi menyempurnakan akhlak. Tetap, dalam keberagaman manusia dan agama-agama sebelum dan yang baharu. Huru-hara dunia berlaku. Dan sampai sekarang-peperangan antara Amerika dan Iraq, Afghanistan dan Russia, tumbangnya Ghaddafi di Libya, tekanan ekonomi Amerika ke atas Iran, konflik Israel Palestin; nama-nama agama dipergunakan  dan banyak darah telah tumpah. Walhal isunya berlegar pada minyak dan penguasaan keatas ekonomi dunia. Sistem kapitalisma juga merupakan agama keatas agama-agama yang kita ketahui. Inilah mungkin pencerobohan yang dahsyat ke atas hak-hak kita-anak anak dunia.