Siapa tahu sosok manusia penuh bakat dan aura ini menempuh jalan duka
pada akhir hayatnya. Saya hampir menitiskan air mata ketika menonton
dokumentari arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba mengenai riwayat hidup
P.Ramlee dalam History Channel, Astro dua tahun lalu. Saya percaya,
bukan hanya saya seorang yang terkesan dengan dokumentari itu.
Usaha gigih Shuhaimi menelaah, menyelidik dan menemubual teman dan
sahabat handai Allahyarham bukanlah satu kerja mudah. Maka tidak salah
kalau saya anggap Shuhaimi sebagai antara seorang daripada pengarah
dokumentari Malaysia yang perlu disanjung.
Bertitik tolak daripada dokumentari riwayat hidup P.Ramlee, sanjungan
dan kepercayaan saya terhadap Shuhaimi tidak terhenti di situ, filem
terbitan beliau Anu Dalam Botol arahan Raja Azmi menggerakkan kaki saya
untuk beratur buat kelima kalinya menonton filem Melayu di pawagam
selepas Jogho, Sepet, Muallaf, Mantra dan Bunohan.
Biarpun Shuhaimi bukan pertama kali mengarah filem, tidaklah pula ia
menjadikan saya bernafsu untuk menonton filem beliau sebelum ini
memandangkan wujud persepsi menyampah saya yang agak kritikal terhadap
kebanyakan tema filem Melayu berbanding filem Indonesia yang lebih jamak
dan matang.
Saya bukanlah mahu membuat ulasan filem di sini. Apa yang ingin
disampaikan, nama Shuhaimi Baba sekali lagi menarik perhatian seluruh
negara. Beliau sekali lagi berjaya mengangkat nama filemnya Tanda Putera
tanpa perlu melalui proses pengiklanan melampau seperti filem Dua Alam
terbitan dR. Rozmey Movie Production.
Tanda Putera propaganda jahat dan mengelirukan?
Biarpun negara dalam gelisah politik masyarakatnya yang masih
dicengkam ketakutan akibat hegemoni kaum dan agama acuan Mahatirisme
yang disemai lebih dua dekad lalu, Shuhaimi mengambil jalan mudah….
Dengan proses pemisahan kelompok kaum secara strategik dalam banyak
sektor seperti politik, pendidikan, pekerjaan, penempatan sehingga
menimbulkan ketidakadilan sosial bertopengkan kaum dan agama, apa yang
Shuhaimi jangkakan daripada Tanda Putera? Mungkin ia bakal menyemai dan
menyebarkan lagi benih rasa benci di kalangan rakyat pelbagai kaum di
Malaysia.
Kalaupun benar Shuhaimi mahu mendidik rakyat dan masyarakat, beliau
sewajarnya duduk dan berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak dan
sejarawan negara dengan kesedaran bahawa negara ini masih dibelenggu
‘hantu’ kaum dan agama.
Apapun natijahnya, keterbukaan beliau untuk sedia berbincang berkenaan
filem kontroversi Tanda Putera itu secara tidak langsung mencerminkan
pola pemikiran masyarakat Malaysia yang semakin matang dan demokratik.
Bersedia untuk melatah lagi….
Memetik kepada laporan sebuah portal berita, saya tertarik dengan
kenyataan yang dilontarkan beliau kepada persoalan mengenai “kesediaan”
dan penerimaan rakyat Malaysia terhadap Tanda Putera.
Kata Shuhaimi, adakah persoalan kesediaan itu wujud ketika kita
menonton filem samada dari Hollywood, Singapura atau Indonesia yang
banyak mengeluarkan filem genre politik.
Jelas beliau, filem sejarah dari Hollywood yang banyak memaparkan
berkenaan filem sejarah kontroversi seperti pembunuhan John F Kennedy,
Martin Luther King atau filem Holocaust serta perang Cina-Jepun tidak
membuatkan penonton beremosi untuk bertindak sedemikian.
Walaupun begitu, Shuhaimi harus sedar bahawa Amerika sudah mengalami
proses pendemokrasian yang panjang dan kini orang berkulit hitam sudah
menjadi Presiden manakala negara China yang dikatakan berfahaman komunis
itu sudah berubah dan seronok dengan amalan kapitalisme.
Kenyataan Shuhaimi itu mencerminkan kegagalan beliau memahami bentuk
kerangka politik dan mentaliti masyarakat yang masih dibelenggu acuan
hantu kaum dan agama. Malah, kerajaan yang dikepalai UMNO-BN sendiri
gagal memupuk perpaduan dan gagasan negara bangsa yang bersatu.
Apapun, saya tetap menghormati pandangan beliau, kebebasan bersuara,
kritik dan memberi pendapat adalah sebuah daripada ciri dalam demokrasi.
“Creative license” untuk apa?
Biarpun Shuhaimi meletakkan asas alasan seolah-olah kritikan
masyarakat dan ahli sejarah terhadap Tanda Putera sebagai tidak memahami
‘creative license’ dalam sesebuah filem, Shuhaimi juga mungkin tidak
nampak peranan ‘creative licenne’ yang boleh memporak-perandakan lagi
perpaduan masyarakat Malaysia.
Adakah Shuhaimi dengan sengaja membutakan mata terhadap isu perkauman
dan agama yang sengaja disemarakkan pihak tertentu, apalagi BN selesa
dengan dasar pecah dan perintah mereka bertopengkan wajah 1Malaysia?
Kritikan terhadap filem Nasi Lemak 2.0 sebagai tidak sesuai dan
sebagainya sudah mencerminkan mentaliti kita. Dan pada 2007 sebelum ini,
filem Dukun arahan Dain Said yang diadaptasi daripada kes pembunuhan
membabitkan ahli politik UMNO Pahang, Allahyarham Datuk Mazlan Idris
oleh Mona Fandey tidak fasal-fasal diharamkan kerana ia dikata
menimbulkan aib dan kontroversi.
Bagaimana pula dengan filem Tanda Putra yang mungkin boleh
menimbulkan rasa tidak puas hati ramai orang? Atau, adakah ia merupakan
satu lagi projek memperbodoh dan menakutkan masyarakat Malaysia dengan
hantu-hantu kaum yang mempunyai efek seram melampau daripada filem
Pontianak Harum Sundal Malam?
Alangkah elok kalau Shuhaimi sendiri keluar daripada bayang-bayang
‘hantu’ yang selama ini pernah menjadi tema filem beliau, mungkin kepada
tema yang lebih besar seperti filem Jamila dan Sang Presiden arahan
Ratna Sarumpaet atau seperti filem Kentut arahan Deddy Mizwar?
Kalaulah tema 13 Mei 1969 menjadi cita-cita terbesar Shuhaimi selama
ini untuk menyedar dan membangunkan masyarakat Malaysia, ayuh kita
gerakkan wacana umum, mulakan perbincangan dan bahaskan secara ilmiah
agar rakyat tahu siapa benar dan siapa yang salah.
#Telah tersiar dalam Roketkini.com
No comments:
Post a Comment