Mencari sempurna; tidak puas-puas berlingkar di segenap atap bumbung
dan menara masjid, UMNO melangkah masuk ke gereja mencari hidayah
pembaharuan spiritual politik mereka dalam rabaan berahi penuh yakin.
Dalam penantian seluruh negara yang nampaknya tak sabar untuk
menerima pelbagai bentuk bantuan ‘one off’ tanpa sedar akan perangkap
masa yang telah terpasang seperti GST, kenaikan tariff elektrik dan kos
sara hidup, di bawah teduh gelegar gereja, UMNO menjenamakan semula
formulasi mereka mengharap belas ehsan penganut ajaran Isa Al-Masih dan
berkah paderi-paderinya namun kecundang.
Kalau dulu PAS dituduh mempergunakan surau, masjid dan Islam bagi
kepentingan politik kepartian. Hari ini, giliran DAP pula dituduh
memperguna gereja sebagai tempat kempen politik.
Bagi pemerhati politik, UMNO makin tersepit disebalik transformasi
ekstrem populis Najib pasca K-Pop Hari Sejuta Belia. Peralihan strategi
propaganda perang UMNO ke gereja ini merupakan eksperimen senjata
politik baru. UMNO-BN sedang mencaturkan sesuatu untuk melepaskan leher
mereka dari cengkaman pelbagai persoalan dan permasalahan ekonomi rakyat
dan negara yang kritikal. Jerutan makin menguat, apakah UMNO-BN bakal
hidup lebih panjang?
Siapa heret gereja: Utusan spin lagi?
Akhbar Utusan Malaysia edisi Ahad; Mingguan Malaysia semalam dalam
tajuk muka depannya “Jangan heret gereja” memuatkan reaksi dua tokoh
Kristian yang menyatakan rasa kurang senang terhadap ucapan Ketua
Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ekoran kenyataannya agar gereja
memainkan peranan ‘menyuarakan keadilan untuk semua; menentang
ketidakadilan’.
“Gereja bukan tempat sesiapa untuk berceramah tentang politik.” kata
Rt. Rev. Dr. Solomon Rajah sepertimana petikan dalam Mingguan Malaysia
semalam.
Malangnya, dalam satu sidang media yang dibuat semalam, ternyata
laporan Mingguan Malaysia itu tidak tepat dan pihak gereja menuntut
supaya akbar tersebut itu menarik balik laporan mereka berkenaan dan
mengeluarkan permohonan maaf dalam edisi mereka selepas ini.
Menurut Rajah, apa yang berlaku ialah pemberita akhbar berkenaan
hanya menghubungi mereka untuk mendapatkan pandangan secara umum
mengenai ‘gereja dan politik’ dan bukan respon kepada dialog antara
ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan pemimpin gereja di negeri
tersebut.
“Saya tidak pernah perasan bahawa kenyataan saya akan dipetik secara salah (atau apa yang saya katakan) disalah anggap.
“Saya tidak pernah menjangka bahawa pandangan saya akan digunakan untuk tujuan dan agenda Utusan,” kata Rev. Rajah
Utusan tak serik, munafiq
UMNO-BN telahpun gagal menyediakan sebuah kerangka konkrit menjana
kesinambungan ekonomi jangka masa panjang. Pada masa yang sama terpaksa
terus-terusan mencipta persepsi mungkin sekurang-kurangnya dapat
mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu sebenar dalam memperbaiki
kesinambungan kepercayaan rakyat terhadap mereka! Klise bukan? Tetapi ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan.
Kenyataan Bishop yang diputarbelit Utusan sekali lagi cuma
menjatuhkan maruah mereka sendiri. Atau, mereka fikir rakyat Malaysia
masih bodoh dengan pola fikir ‘subsidi’ semata-mata.
Apapun, kita harus meneliti dan pergi lebih jauh dalam memahami
‘kejuruteraan politik-agama’ yang digunakan UMNO-BN dalam membentuk
persepsi, perpecahan dan pemikiran masyarakat Malaysia umumnya.
Dulu PAS, sekarang DAP
Kalau dulu DAP dituduh mahu menubuhkan ‘kerajaan Kristian Malaysia’
walaupun bukan sebuah parti berasaskan agama, kini propaganda UMNO
tersebut diperluaskan melalui sensasi media. Kes ini serupa seperti yang
telah berlaku terhadap PAS.
Malah kita jangan berasa hairan jika selepas ini UMNO mengorak
langkah ke hadapan dan berjaya mewujudkan lagi jurang perbezaan mungkin
juga menyemai permusuhan antara Kristian aliran Katolik dan aliran
Protestan. Sepertimana UMNO juga berjaya mencipta tembok penghadang
dengan propaganda antara Islam arus perdana dan Islam PAS yang kononnya
jumud .
Kejuruteraan politik-agama UMNO bakal bawa petaka
Disebalik segala kemungkinan dan kejayaan UMNO membina dan mencorak
‘kejuruteraan politik-agama’ mereka, kita melihat ia juga merupakan
salah sebuah kaedah pecah dan perintah amalan mereka sejak
zaman-berzaman. Jika dibiarkan, ia akan membawa petaka besar buat
keharmonian kemajmukandan keberagaman pelbagai faham aliran maupun agama
di Malaysia.
Misalan mudah, sejak era “Islam Moden dan proses Islamisasi
ala-Mahathir”, dalam beberapa ruang masa yang lalu, UMNO menghenyak PAS
dengan kapasiti maksima untuk menakutkan masyarakat bukan Islam terhadap
‘negara Islam PAS’ ketika itu sebelum 2008 dan pada masa yang sama
semena-mena pula muncul pula ‘Islam baru’ yang mendapat redha kerajaan
BN iaitu gagasan pemikiran Islam Hadhari Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Nah, sekarang isu “DAP heret gereja” ini sudah tercetus dan rakyat
Malaysia harus berwaspada. Rakyat telah pun belajar dan sedar dalam
waktu yang tidak singkat, kita tahu bahawa kekuasaan UMNO-BN selama ini
berdiri di atas perpecahan masyarakat; samada atas hegemoni isu agama,
perkauman dan sebagainya.
Biarpun gereja tidak lagi ikut campur secara langsung terhadap urusan
politik bernegara pasca pencerahan Eropah abad ke 18 dan bermulanya era
sekularisme dunia, pertanyaan saya, apakah kenyataan Guan Eng yang
menyeru agar penganut Kristian ‘menentang ketidakadilan’ sebagai dosa?
Hanya waktu menentukan, selepas ini apakah ada pihak gereja lain pula
yang bakal menjadi mangsa UMNO dalam permainan politik jahat mereka
sebagaimana mereka memangsakan PAS dengan Islam yang diperjuangkan
selama ini? Pada tuhan kita berserah. Hanya tuhan yang maha mengetahui. –
#artikel ini telah disiarkan di Roketkini.com
No comments:
Post a Comment