Showing posts with label ulasan buku. Show all posts
Showing posts with label ulasan buku. Show all posts

23 December 2013

Merapat Renggang: anugerah yang merasuk!

Oleh: Hafiz Zainuddin
Buku ini saya terima di sebuah gerai nasi lemak tersohor tepi Lebuhraya Persekutuan. Gerai ini jugalah tempat seorang teman saya makan setiap hari sebab murah, tambahan pula, nasi lemak itu lazat tak terkata.
Rasanya, tidak ada sebab jatuh haram kalau saya samakan kelazatan buku ini dengan keenakan nasi lemak yang dijual itu. Merapat Renggang jauh sekali serupa dengan buku-buku lain yang bertimbun di pasaran memandangkan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia pasca pengumuman GST semakin parah agaknya.
Jurnal yang dilancarkan Obscura baru-baru ini merupakan naskah hebat gandingan karya 21 penulis lama dan baru, tempatan dan terjemahan antarabangsa membicarakan hal-hal seputar filem, puisi, cerpen, teater, tari, dan aktivisme sesuai dengan konsep “..Sebuah ingatan terhadap budaya…” kata penerbit, penulis Hafiz Hamzah.
Dalam pada itu beliau juga berpandangan bahawa banyak hal melibatkan penulisan seni dan budaya masih terpinggir, apalagi dengan perkembangan sastera negara yang lembab dan tertambat dengan aturan institusi yang membosankan.
Walaupun jurnal ini jauh untuk memuatkan diskusi sosialisme atau pasaran bebas yang menjadi trend anak-anak muda masa kini; Merapat Renggang tetap sebuah bacaan serius. Anehnya, ia tidak segan menghibur dan merasuk; seperti kisah Barry yang terkena penyakit AIDS dari Brikfields bikinan Jimadie Shah Othman.
Sebagai korban ruang secara terbuka, ia menjadi alas perbahasan segar kesenian mencakupi tiga elemen paling fundemental iaitu seni, sastera dan budaya.
Sama ada jurnal ini rangkulan faham ekspresivism, simbolism, romantism, mistism, klasik atau apapun, ini adalah lembaran terbaik melihat bahasa kebangsaan disantuni semula pada tempat asal.
Kalam Al-Mustaqeem M Radhi sahaja sudah mampu membuatkan orang terkincit; “Kalau mahu menjadi pemuisi yang sekadar menyalin alam, baiklah jadi tukang gambar sahaja”.
Justeru, suka saya memetik buku yang saya simpan lama dalam kotak dirumah berjudul Riak dan Gelombang Sastera Melayu tulisan Ramli Isin (kini bergelar Doktor) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1987 yang sudah pun mengakui bahawa sastera Melayu moden ‘memang belum apa-apa dalam pelbagai aspek, samada aspek luaran atau dalaman’.
Kali pertama membelek buku ini, saya jadi seram. Mungkin sebab saya sendiri lebih banyak membaca buku agama dan politik domestik hingga rasa keterasingan membuak-buak. Lihat sahajalah kritik filem tulisan Izmil Amri yang tidak berat lidah tergamak mengutuk (dalam memuji) filem Bunohan arahan Dain Said yang mampu menimbulkan kemarahan orang-orang Kelantan!
Biar pun dimuatkan dengan terjemahan karya asing seperti Franz Kafka, Ernest Hemingway, Homer dan Mark Twain; tidak juga terkurang karya-karya berkualiti penulis tempatan serantau seperti Jimadie Shah Othman, Ibrahim Yaakob, Goenawan Mohamad, WS Rendra dan ramai lagi.
Dalam kongsi rasa Hafiz Hamzah pula, beliau sempat merakam ragam dan celoteh Main Puteri, sebuah hiburan rakyat yang sudah pupus. Semua itu dapat dilihat dari tulisan dan foto yang dimuatkan. Hiburan rakyat yang telah diharamkan kerajaan Kelantan itu awal mengambil pemerintahan negeri sekitar tahun 1990-an terus menguak pelbagai persoalan kepada saya akan survival tradisi ini untuk seratus tahun lagi atau setidak-tidaknya sepenggal pilihanraya lagi. Apabila sesebuah tradisi dan budaya terpaksa bergulat dengan kuasa dan agama, apa dan bagaimana pula peranan masyarakat?
Saya tidak mahu berlebih-lebih memuji dan menjulang tinggi terbitan kedua Obscura ini selepas buku 99 Kelopak Pantun yang mengkhayalkan. Merapat Renggang adalah suatu anugerah kepada lapangan sastera moden yang wajar disyukuri. Setidak-tidaknya ia menunjukkan kesungguhan penerbitan yang jujur dan lazat. Selazat nasi lemak di gerai tepi lebuhraya itu.
“…Dan aku tunjukkan engkau sesuatu yang lain mungkin
Dari bayangmu yang mengekori di kala pagi
Atau yang melambai-lambaimu pulang di kala petang…”
-Tanah Tandus, T.S Eliot, terjemahan Al Mustaqeem M Radhi

25 December 2012

“Negaraku”, simbiosis seni melawan oleh kartunis Ronasina


Oleh: Hafiz Zainuddin

DIA tidak mahu mengakhiri hidupnya  menjadi seorang guru kejuruteraan automotif di sebuah sekolah vokasional sehingga pencen lantas mengambil keputusan lari meninggalkan kerjaya itu dan bermutasi menjadi pelukis kartun.


Mungkin, semangat zaman sekolahnya yang dilingkari majalah Senyum Pelajar, Gila-Gila, Gado-Gado, Jenaka dan Gelagat telah mempengaruhinya sehingga buat pertama kali mendapat platform bergiat secara bebas di akhbar Berita Keadilan yang kini sudah pun berkubur. Bagaimanapun, talian hayatnya terus bersambung di portal Merdekareview yang juga sudah menghentikan operasinya dan kini dengan akhbar Suara Keadilan.

“Negaraku-Koleksi kartun satira rakyat” adalah hasil karya kartunis Ronasina atau lebih manja dipanggil Abang Fendi. Karya setebal 96 muka surat itu tidak sama dengan siri kartun dalam majalah humor nasional lain yang membuatkan anda hanya letih ketawa berdekah-dekah.

Yang membezakannya dengan yang lain, koleksi Ronasina dalam “Negaraku” adalah sebuah simbiosis “seni untuk melawan”, sambil ketawa dan sambil menambah ilmu. Sebahagiannya dititip terus dari pengalaman sekolah jalanan bersama kanister, air asid, cota dan but polis.

Digarap dengan elemen hasutan untuk membenci kerajaan yang korup dan zalim, “Negaraku” mengetengahkan masalah semasa rakyat seperti kemiskinan, penindasan, salah guna kuasa, pembunuhan dan penahanan tanpa bicara selain telatah ahli politik di Malaysia.

“Sebagai kartunis, saya menyampaikan keluh kesah suara rakyat terhadap kebejatan sosial serta kezaliman pemerintah melalui lakaran kartun. Kalau ahli politik dengan tugas mereka, kartunis pula punya tugas mereka.“ kata Ronasina.

Menurut Hishamuddin Rais pula, kerjaya sebagai kartunis satira merupakan bidang kerja yang berbahaya. Samada kartunis di Barat sehingga ke Timur Tengah, karyawan kartun punya sejarah hitam samada dibunuh atau mendapat kecaman hebat.

“Pada 1978, seorang kartunis Palestin, Ali, ditembak mati akibat kritikan tajam dan sinis terhadap pentadbiran Yasser Arafat dan Shah Iran,” katanya ketika melancarkan Negaraku di KLSCAH.

Sesuatu yang menarik pada “Negaraku” ialah konsep lakaran dengan gabungan konteks di mana generasi 100 tahun daripada sekarang boleh mengetahui isu dalam kartun yang dilakar.

Misalnya pada muka surat 55 bertajuk PDRM, Ronasina meletakkan nota bahawa kartun itu berkaitan dengan jumlah kematian rakyat Malaysia dalam tahanan polis yang diilhamkan setelah kematian Kugan dibongkar.

Selain lakaran kartun, ia juga memuatkan tiga cerpen beliau yang berjudul “Hikayat Penyakit Kuning”, “Bengong vs Bangang” dan “Kak Ijat Kampung Lembah” yang merumuskan senario politik semasa negara yang penuh dengan birahi kuasa ahli-ahli politik.

Disebabkan Ronasina bersilat dalam bahasa yang ditakuti pemerintah; melalui lakaran manusia berkaki katak, bersongkok tinggi, buncit, di samping lakaran eksklusif seorang wanita gemuk yang seksi dan menakutkan, kita tertanya-tanya adakah mungkin “Negaraku” akan senasib dengan Gedung kartun dan Perak Darul Kartun hasil suntingan Ronasina yang diterbitkan kartunis Zunar yang selamat diharamkan kerajaan?

Dan, kita tidak perlu berasa hairan apabila Ronasina sendiri mengatakan bahawa pengharaman  buku kartun sebelum ini merupakan dalil ‘aqli’ yang membuktikan pemerintah takut dengan buku kartun.

Mudah-mudahan, “Negaraku” mampu menjadi satu daripada catalyst for change demi negara dan masyarakat yang lebih adil dan telus atau setidak-tidaknya mampu menjadikan kerajaan BN sedar bahawa apa yang mereka lakukan kini adalah lebih kartun daripada kartun sendiri.

Buku “Negaraku” terbitan Anak Kunci Production ini cuma berharga RM25. Bagi sesiapa yang berani untuk ketawa sambil melawan bolehlah terus memesan melalui emel kepada raja_uda@yahoo.com atau ronasina@gmail.com atau terus lawati blog http://kulupsakah.blogspot.com

# Telah diterbitkan dalam Roketkini.com
Print Friendly



 

07 November 2012

Ulasan buku: Terbang Menuju Tuhan - Riwayat Hidup Seorang Sufi Agung

Oleh: Hafiz Zainuddin

“Aku tahu perkataan aku akan sampai kepada dua penghujung iaitu di Timur maupun Barat” -Ibn 'Arabi. 
Buku ini adalah pengenalan kepada seorang sufi agung yang berjaya merungkai persoalan tuhan dan alam ketuhanan dalam dimensi yang eksotik. Ia merupakan catatan perjalanan hidup, sejarah, pencarian dan pengembaraan spiritual yang panjang. Penulis, Claude Addas berjaya merangkumkan dengan baik kisah panjang pencarian Syeikhul Akbar ini sejak dari Murcia yang bergolak sehinggalah menemukan keabadiannya di Damsyik.

Idea dan konsep ketuhanan yang diketengahkan Ibn 'Arabi telah memberi nafas segar yang membawa kepada perbahasan kritikal yang panjang dari kalangan cendekiawan Islam sehingga kini.  Sungguhpun kalangan muwahhidun mungkin tidak bersetuju dengan idea ketuhanan yang diketengahkan beliau, kemajmukan pendapat ini merupakan sebahagian dari tradisi keilmuan Islam yang harus dihormati.

Ibn Arabi atau nama sebenar beliau Muhammad bin Ali al-'Arabi al-Ta'i, telah banyak menyumbang kepada perkembangan keilmuan tauhid malah menjadi rujukan dalam banyak aliran sufi diseluruh dunia.

Kajian mengenai konsep ketuhanan yang diketengahkan berkembang dengan begitu meluas di Barat. Bahkan telah ditubuhkan apa yang dinamakan sebagai Ibn Arabi Society pada tahun 1977 yang menjadi platform kajian, pembentangan dan perbahasan khusus terhadap karya-karya beliau.

Selain nama-nama seperti Osman Yahia, Kautsar Azhari Noer, Denis Grill dan Annamarie Schimmel. Antara tokoh besar pengkaji, penterjemah dan penulis yang menjalankan kajian serius terhadap karya-karya Ibn 'Arabi adalah Michel Chodkiewicz yang telah banyak menghasilkan esei dan buku-buku berkaitan antaranya Seal of the Saints: Prophethood and Sainthood in the Doctrine of Ibn Arabi, An Ocean Without Shore: Ibn Arabi, the Book, and the Law dan beliau juga sebagai editor kepada The Meccan Revelations (Pembukaan Kota Mekah karya Ibn Arabi.)

Pemikir, penulis dan intelek sufi yang unggul

Sebagai seorang pemikir, digelar Muhyi al-Din yakni penyegar kembali agama oleh kalangan pengikut beliau, Ibn 'Arabi telah menghasilkan empat ratus buah karya hasil komitmen spiritual yang bersungguh. Inisiasi spiritual, pemahaman dan pemikiran beliau diabadikan dalam karya-karyanya sepanjang pengembaraan beliau 'terbang menuju tuhan'.

Antara karya beliau yang popular ialah Diwan al-Maarif (Himpunan Pengetahuan Suci) yang mengandungi empat puluh ribu bait-bait puisi manakala karya paling monumental beliau berjudul Futuhat al-Makkiyah (Pembukaan Kota Mekah).

Riwayat hidup

Ibn 'Arabi merupakan seorang berketurunan Arab Sepanyol yang lahir di Murcia, pada 29 Julai 1165 Masihi bersamaan 17 Ramadhan 560 Hijrah. Ayahnya berkhidmat dengan Ibn Mardanish yang terkorban, kemudian berbai'ah taat setia kepada Khalifah Abu Ya'kub Yusuf, Khalifah di Seville. Keluarga yang tergolong dalam kelompok khassa ini merupakan mereka yang dihormati, mendapat tempat tertinggi dalam pemerintahan dan ketenteraan apatah lagi keturunannya telah berada di Andalusia sejak pemerintahan amir Umayyad yang pertama iaitu sejak tahun 756 masihi.

Dalam usia yang muda, Ibn Arabi telah mengunjungi hampir seluruh pusat-pusat pengajian di Sepanyol sebelum memulakan perjalanan agung beliau mencari guru di bandar-bandar seperti Tunis dan Fez di Afrika Utara. Sejak itulah beliau mula mengarang karya-karya seperti Mawaqi'un Nujum, Insya'ud-Dawa'ir dan beberapa buah lagi sehingga mendapat perhatian masyarakat dan ulama ketika itu.

Jalan Khusus yang diterokai beliau adalah ketika berumur beliau 19 tahun semasa kematian Khalifah Yusuf yang dilalui secara berseorangan. Mungkin, dengan dorongan dan pandangan-pandangan para sufi dan wali utama di Andalusia dan Maghribi, Ibn 'Arabi menemukan langkah untuk merenungi manifestasi Tuhan di dalam makhluk pada masa yang sama menemukan gurunya yang pertama Syeikh Uryani, seorang buta tetapi mampu melontarkan pandangan-pandangan beliau terhadap tulisan-tulisan Ibn al-Arif yang merupakan seorang sufi terkenal dari Andalusia ketika itu.

Pada tahun 1201 masihi, Ibn 'Arabi tiba di Mekah dan bermastautin disana selama 3 tahun. Disinilah karangan Futuhat al-Makkiyah dibuat dan dibukukan. Kitab yang di kelaskan sehingga empat jilid ini mempunyai tujuh ratus mukasurat setiap satunya.

Ibn Arabi juga mengembara ke Mesopotamia dan sempat berguru di Baghdad dan Mosul, bertemu dengan pelbagai aliran mazhab dan agama, ahli fikir dan ulama. Dalam tahun 1206 masihi, beliau  meneruskan pencarian beliau ke Mesir dan sempat ke Konia di Asia Kecil kemudian meneruskan perjalanan ke Armenia dan Anatolia sebelum kembali ke Baghdad sekitar tahun 1211 masihi. Ketika itu namanya sangat mahsyur dan mempunyai ribuan murid.

Selain sebagai seorang sufi, Ibn Arabi juga dikenal sebagai ahli dalam bidang tafsir, hadis, feqah, falsafah, astrologi dan sastera.

Claude Addas dalam merujuk kepada kitab Futuhat tidak ketinggalan memuatkan sebanyak mungkin kerangka pemikiran dalam teologi Ibn Arabi. Antara lain mengetengah idea kontroversi beliau berkenaan kesatuan kewujudan yang sangat jelas berbeza dengan idea Thomas Aquinas dan ahli teologi muslim yang lain. Secara kolektif, Louis Massignon menyatakan bahawa pemikiran Ibn 'Arabi sebagai mewariskan teologi mistikal Muslim kepada monisme sinkretik Qaramitah.

 Meninggalkan lazat dunia- Terbang Menuju Tuhan

Visi spiritual dan pengalaman metafizik telah memandu Ibn Arabi  untuk terus berada di jalan yang diyakininya. Samada dalam keadaan meditatif maupun sedar, beliau dipimpin dengan kehadiran guru-guru spiritual seperti Isa Al-Masih, Khidir, Musa dan Muhammad S.A.W. sendiri.

Titik tolak kepada inisiasi dan pembukaan visi-visi spiritual Ibn Arabi berlaku sejak usianya cuma 15 tahun ketika pertemuannya dengan Ibn Rushd dalam sebuah perjumpaan. Momen perbualan tanpa bicara diantara beliau dan Ibn Rushd, cuma dengan jawapan 'ya' dan 'tidak' memungkinkan manifestasi hijab yang telah pun terbuka dengan srana-sarana spiritua yang inspiratif.

Ibn Arabi mengakhiri pengembaraan beliau di Damsyik kota yang digelar 'Santuari Nabi-Nabi' ketika berumur 60 tahun. Beliau meninggal dunia sebagai seorang sufi agung pada umur 78 tahun. Jasadnya disemadikan di Gunung Qasiyun dengan aman setelah sekian lamanya mengembara.

Dalam konteks masyarakat Islam Malaysia secara umum, konsep wahdatulwujud yang dibawa Ibn Arabi perlulah dilihat dari satu sudut yang sederhana. Justifikasi terhadap doktrin wahdatulwujud secara melulu perlu dielakkan sama sekali kerana pembacaan terhadap karya-karya beliau memerlukan pemahaman dan penelitian yang tinggi berlandaskan latar belakang konteks, keilmuan, serta proses dan pengalaman-pengalaman tasawuf.

Buku ini harus dimiliki sebagai sebuah pengenalan kepada seorang tokoh sufi yang menemukan kebenaran-kebenaran agung, memaknai semula kehidupan dan tuhan dalam erti yang lebih kognitif. Sebagai salah satu cabang keilmuan yang terus berkembang, pemikiran Ibn Arabi mungkin boleh kita jelaskan sebagai salah satu jalan pantas dan pilihan buat umat dalam mencari dan menyatu dengan keabadian.

Hafiz Zainuddin merupakan penulis bebas, bekas kolumnis di Merdekareview dan salah seorang penggiat Komuniti Continuallybebas. kini berkhidmat sepenuhmasa sebagai wartawan dan penulis di Roketkini.com

02 September 2011

Ulasan buku: Pesan-pesan terbesar Al-Quran




Tajuk: Pesan-pesan terbesar Al-Quran
Penulis: Fazlur Rahman
Penerbit: Middle Eastern Graduates Centre (MEGC)
Penterjemah: Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, Ammar Gazali dan Khairul Anam Che Mentri
Ulasan: Hafiz Zainuddin


Buku ini merupakan sebuah kajian terperinci dan sangat berhati-hati yang hampir menyeluruh dalam membawa erti ‘penegasan semula inti ajaran Muhammad’ berdasarkan sejarah dan wahyu-wahyu langit.

Mungkin, kandungan buku ini mampu untuk memberi petunjuk nyata buat sebahagian besar kita yang memandang al-Quran cuma sekadar mukjizat terbesar (sumber hukum dan ideologi ummat: bukan hanya bersifat deskriptif semata-mata) bagi Muhammad yang dilantik sebagai utusan.

Pesan-Pesan Terbesar Al-Quran karya Fazlur Rahman- Profesor Pemikiran Islam Universiti Chicago [1919-1988] merungkai secara terperinci dan membongkar ‘pesan-pesan Tuhan’ yang diturunkan oleh Malaikat Wahyu yang secara langsung berbicara di dalam hati Muhammad justeru memposisikan ‘Islam’ sebagai sebuah agama paling memadai dan sempurna beserta tema dan bukti-bukti rumit dan pelbagai.

Buku terbitan MEGC ini dibahagikan kepada Lapan bab yang menyentuh terus kepada soal-soal pokok dalam Islam yang dimuatkan dalam 224 mukasurat bermula dari soal ketuhanan, individu, kenabian, alam dan sehinggalah soal kemasyarakatan.

Dalam bab awal-buku ini; sebagai sebuah gagasan-gagasan fikiran yang alami; dan sebahagian dari ‘kebenaran agung’ yang mungkin disisihkan selama ini, tersembunyi; bukan kesimpulan-kesimpulan tipikal teologi dan dogmatik semata-mata. Ia amat jauh dari proses doktrinisasi agama yang bersifat ‘lokal’. Jauh dari sudut itu, buku ini-selesa meletakkan Tuhan sebagai ‘dimensi’ yang memungkinkan dimensi-dimensi lain.

Prioriti Al-Quran

Tuhan; bukan benda di antara benda-benda malah bukan juga segala sesuatu atau berada dalam segala sesuatu. Quran sebagai Kalam Tuhan-malah seperti Tuhan sendiri. -Fazlur Rahman

Al-Quran yang menjadi pegangan ummat-bukan sebuah teori ‘pembuktian’-[bukti telah ada di hadapan mata] mengadakan bukti-bukti rasmi akan eksistensi Tuhan; soal ini tidak wajar wujud kerana priroriti Al-Quran adalah mengajak manusia untuk ‘merenung, berfikir dan mengambil ingatan’. Selain itu, Fazlur Rahman tegas, mengajak kita untuk merenung kembali kepada konsep-konsep yang telah tersasar dalam pemahaman ummat kini antaranya seperti pemahaman terhadap istilah qadar, syirik, muslim, taqwa dan sebagainya. Kerana dengan memahami istilah-istilah ini dengan bahasanya yang benar. Manusia dapat mengendalikan urusan tata sosial dan moral mereka dengan lebih jujur.

Pesan-pesan Terbesar Al-Quran, menawarkan sebuah kesimpulan-kesimpulan universal, kesinambunagan yang selesa, cetusan ide yang segar, ikhlas dan cocok-tepat pada masanya ketika kita berhadapan dengan pilihan-pilihan Islami yang kaku serta ortodoks, malah paling menyedihkan golongan tersebut menjadikan teks-teks al-Quran sebagai bahan hukum yang rigid dan ia sendiri telah berada di luar garis ‘hukum Tuhan’ yang benar.

Manusia, hak dan keadilan

Mengulas subjek manusia sebagai individu dan dalam masyarakat, Fazlur dalam observasinya menyatakan bahawa manusia mempunyai opsyen untuk memilih dalam proses menyempurnakan misi sebagai khalifah Tuhan-menyempurnakan dan ‘mencipta’ sebuah tata sosial dan moral yang adil di atas muka bumi. Maka untuk itu, proses ini merupakan sebuah perjuangan moral yang tak berkesudahan dan pada masa yang sama menekankan “amanah” sebagai perkara penting disebabkan manusia ‘belum menyempurnakan perintah Tuhan yang azali.

Seperti mana yang pernah dinyatakan dalam tulisan-tulisan Abdul A’la Al Maududi, Rasyad Khalifa yang dibunuh juga Fazlur Rahman; seluruh semesta ini adalah muslim (tunduk-patuh) kerana tertakluk kepada sunnatullah (hukum alam) yang ditetapkan. Adapun demikian; cuma manusia punya ‘pengecualian’ kerana kita adalah satu-satunya makhluk yang ‘dianugerahkan kebebasan pilihan’ yakni mentaati atau mengingkari perintah Tuhan.

Dalam keberagaman; buku ini langsung mengajak manusia kembali kepada ‘fitrahnya’ dan mencari akal budi mereka sendiri yang telah sedia ‘tertulis di dalam hati’. Inilah yang dikatakan sebagai sebuah ‘Perjanjian Azali’. Perjanjian agar manusia stabil walaupun bukan untuk menjadi ‘perfeksionis’ tetapi ‘cukup sekadar’ manusia mengetahui dosa-dosa besar mereka iaitu “sikap remeh” (da’f) dan “kesempitan fikiran” (qatr) yang menyebabkan kecelakaan iaitu sentiasa beralih dari satu ekstrem kepada ekstrem yang lain dan pada ketika itu- manusia tidak lagi memiliki dimensi transedental.

Dalam merumuskan hubungan manusia dengan masyarakat merujuk kepada Quran [58:7] Tuhan merupakan sebuah dimensi ekstra pada setiap hubungan di antara manusia. Wujud dan hadir dalam apa jua keadaan-bersama dan mengawas. Sekaligus mengkritik segala konspirasi ‘jahat’ yang akan mengacau bilaukan perkumpulan manusia-manusia ‘beriman’ yang wujud. Termasuklah soal pembahagian kekayaan.

Buku ini memberikan penegasan semula dan pemurnian makna Tuhan dan juga melalui Quran melihat ‘kelas-kelas’ manusia dalam merungkai persoalan hak, kekayaan dan bagaimana ia diuruskan. Antaranya mengatakan bahawa kekayaan itu selain hak kepada orang yang mengusahakannya, ia juga tidak meninggalkan hak golongan yang meminta dan ‘orang-orang yang dihalang’. [70:24-25 dan 51:19] kerana soal ‘hak’ adalah berkait dengan soal keadilan.

Rasul-rasul sebagai contoh pemberontak sistem yang korup

Fazlur menekankan bahawa persoalan berkenaan ‘masyarakat Muslim’ tidak akan lari dari ‘ideologinya’ iaitu “menyeru kebaikan dan mencegah kejahatan” [3:104]. Hal ini kerana menyeru kebaikan dan mencegah kejahatan mewakili dimensi-dimensi sosial taqwa dan ianya perlu dalam melaksanakan urusan bersama yakni urusan pemerintahan dan dalam menyatakan soal “mentaati Tuhan, Rasul dan mereka yang berkuasa di antara kamu”.[4:59], Fazlur secara terbuka menegur-menolak politik demagoguery yang berbahaya kepada negara.

Saya amat tertarik di mukasurat 60-61; bagaimana penulis dalam menyatakan ‘hukuman berat’ terhadap pemberontakan terhadap negara – “orang-orang yang memberontak melawan Tuhan” pada masa yang sama beliau menyatakan bahawa menurut Quran, semua nabi sesudah Nuh adalah pemberontak terhadap sistem yang telah mapan. Dijelaskan lagi logika bagi pemberontakan ini disebabkan “kerosakan di atas dunia” yakni ketika urusan-urusan politik, moral, antara negara, sosial tidak terkendalikan lagi.

Soal ‘kerosakan di atas dunia’ dikaitkan pula dengan ‘tenggelam dalam kemewahan hidup; dan ia juga boleh disebut sebagai ‘penyakit-penyakit moral’ adapun Fazlur tidak meletakkkan secara mutlak perkaitan tersebut, beliau mengaitkannya lagi dengan ‘tekanan ekonomi’ atau tekanan politik dan sosial dan eksploitasi terhadap orang-orang miskin dan kelas-kelas rendah dalam masyarakat.

Semua ini berlaku atas asas yang kukuh iaitu ‘penyelewengan dalam mencari kedamaian, kemakmuran dan kekuasaan. Dan cara paling berkesan untuk mengembalikan keadilan sewajarnya terhadap golongan tertindas ialah berjihad-memberontak-bangun melawan; sebuah tanggungjawab moral juga dikenali sebagai taqwa. Sambil menempelak propaganda sempit Kristian Barat mengenai konsep ‘jihad’ yang ternyata tidak benar pada masa yang sama membuka mata dunia dengan apa yang telah berlaku semasa ekspedisi-ekspedisi Charlemagne terhadap suku-suku puak di Jerman.

‘Ukuran-ukuran’ dalam aksi manusiawi

Soal masa, itu sesuatu yang relatif dan tergantung kepada wujud sesuatu subjek tertentu lantas terkait dengan isu-isu melibatkan momen-momen waktu yang kadangkala samar dalam penafsiran manusia. Sebagai alasan yang selamat; Fazlur meletakkan konsep masa ini sesuatu yang tidak boleh difahami secara literal.

Pesan-pesan Terbesar Al-Quran ini dengan jelas meletakkan perbezaan kemutlakan Tuhan dan keterbatasan manusia [terhad]. Keterbatasan ini- setiap sesuatu selain Tuhan dapat diukur dan inilah yang dimaknakan dengan qada’, qadar ataupun takdir. Sering ‘ukuran-ukuran’ ini disalah tafsir kepada sesuatu yang ‘tepat-mutlak’ sedangkan kemutlakan ukuran ini juga bukan sesuatu yang ‘adil’ bagi setiap ketetapan azali oleh Tuhan.

Mengulas persoalan ini; qadar ataupun ukuran selain implementasi buat semesta alam juga berfungsi pada tingkat yang menyeluruh dalam ruang aksi manusia.Tetapi kelebihan manusia merupakan kebebasan memilihnya yang menjadikan qadar bukan suatu persoalan yang horizontal malah setiap proses ; setiap kejadian alam adalah objek terpisah-pisah dan bergetar pada lingkung-lingkung energi tertentu.

Bagaimanapun, ruang kebebasan qadar manusia dengan sendirinya mengganggu proses-proses alami untuk mencari keajaiban-keajaiban Tuhan sedangkan keajaiban telah wujud di hadapan manusia malah di sisi tuhan, tidak ada yang mempunyai kewajaran-keupayaan tersendiri untuk wujud.

Rantaian dari persoalan ini, Fazlur Rahman mengungkapkan:

“…boleh jadi untuk yang wujud hanyalah ketakwujudan yang kosong dan tidak ada kewujudan yang seumpama ini, kekosongan yang tulen dan tidak ada kewujudan yang kaya seperti ini, tetapi terjadi semua ini hanyalah dengan tindakan azali Tuhan yang Maha Pengasih.”

Dalam konteks ini, Fazlur senang menetapkan bahawa kewujudan semesta [seluruhnya] adalah penjelasan terhadap tanda-tanda Tuhan; yang jelas (bayyinah)-nyata dan tiada keraguan. Terikat dengan hukum sebab dan akibat dan bersifat autonomi selain menjelaskan rumusan-rumusan abstrak akan definisi berkait antaranya istilah ayat, burhan dan sultan.

Politik pecah belah Muhammad: syaitan, urusan hati dan komunikasi masyarakat

Muhammad, sehingga dituduh ‘ahli sihir’, korban sihir dan ‘kerasukan roh jahat’ meneruskan usaha ‘menyampaikan pesan-pesan Tuhan’. Jelas pesan-pesan Tuhan yang dibawanya merupakan pesan-pesan yang bersifat revolusioner (menyampaikan secara terang-terangan 15:94) dan demonstratif. Selain itu misi dakwah Muhammad secara langsung memecah-belahkan masyarakat Arab ketika itu sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati pimpinan Quraisy sebelum berlaku ‘gejolak rohani/spiritual’ yang kuat dalam sebahagian besar mereka kemudiannya.

Menyentuh persoalan kenabian dan wahyu ini, Fazlur berkongsi kepada kita dengan teori-teori yang mengujakan termasuk pendapat-pendapat moderat bagi peristiwa Israk-mikraj yang secara terang bertentangan dengan pendapat mainstream Islam di mana proses tersebut dikatakan sebagai ‘pengalaman batin’-‘persoalan hati’ dan separa-konkrit. Adapun demikian, Fazlur dengan panjang lebar memperkemas dengan terperinci makna dan method ‘penurunan wahyu’ berdasarkan fakta-fakta dalam al-Quran yang sangat menarik dan pada masa yang sama meletakkan peranan ‘Jibril’, malaikat, roh kudus dan Tuhan pada satu tempat dan pengertian yang sewajarnya.

Ketika Muhammad membawa pesan-pesan Tuhan untuk menegakkan tata moral unggul bagi ummat manusia “menyeru kebaikan mencegah kejahatan”. Syaitan merupakan subjek yang tidak asing dalam urusan manusiawi termasuk golongan jin dengan plot-plot jahat mereka ke atas manusia. Walaubagaimana ‘hebat’ sekalipun perancangan ‘syaitan’; perkara paling asas bagi kejayaan mereka aalah kelemahan manusia. “…kerana perancangan syaitan adalah lemah.” [4:76].

Fazlur Rahman; selain melihat syaitan sebagai ‘objek diri’, beliau turut menyatakan bahawa syaitan juga terdiri dari kalangan manusia dan jin [6:112] pada masa yang sama mencetuskan persoalan apakah syaitan itu adalah ‘prinsip’ kerana ‘kejahatan’ melalui proses ‘personalisasi’.

Dalam bab akhir buku ini, kita dibawa untuk menyingkap secara telus proses politik Muhammad yang sentiasa cuba untuk mendapatkan otoriti buat dirinya sendiri sehingga lahirnya sebuah ‘masyarakat Muslim’. Ia juga mendedahkan momen-momen komunikasi dan tentangan terhadap Muhammad di antara penduduk-penduduk Mekah [menganut agama nenek moyang] yang suka berbantah-bantah dan ummat Arab beragama Kristian dan Yahudi. Pun begitu, di kalangan ummat Kristian dan Yahudi, ada di antara mereka mengakui kebenaran dakwah Muhammad dan menyokong-memberi dorongan terhadap usaha tersebut.

Proses-proses awal Islamisasi masyarakat arab dilihat dari dua period iaitu period semasa di Mekah dan di Madinah dan dalam tempoh tersebut memperlihatkan kecenderungan-kecenderungan tertentu wahyu dalam menyebut hubungankait pesan-pesan Tuhan pada Quran dengan kitab-kitab dan suhuf-suhuf yang dibawa nabi-nabi terdahulu dan secara langsung; dalam pembentukan ajaran Muhammad-pertukaran kiblat dari Jerusalam ke kota Mekah, sesungguhnya telah memberi impak yang besar.

Pesan Terbesar

Buku Pesan-pesan Terbesar Al-Quran ini bukan sekadar pendedahan- ianya merupakan pelan konstruktif dalam pembentukan faham Qurani dan membetulkan salah faham; cuba merungkai persoalan-persoalan penting; menonjolkan ide-ide berani yang tujuan akhirnya membuahkan nilai-nilai tertentu dalam konteks menegakkan tata sosial moral agar manusia menjadi ‘muslim’ dan terhubung dengan frekuensi samawi sepertimana yang dikehendaki Al-Quran. Al-fatihah buat Fazlur Rahman.


*Ulasan ini telah diterbitkan di Jalantelawi.com

21 February 2011

ULASAN BUKU: Menjadi Islam Dengan Berfikir

Tuhan, aku menghadap padamu bukan hanya di saat-saat aku cinta padamu, tapi juga di saat-saat aku tak cinta dan tidak mengerti tentang dirimu, di saat-saat aku seolah-olah mau memberontak terhadap kekuasaanmu. Dengan demikian Rabbi, aku berharap cintaku padamu akan pulih kembali. (Ahmad Wahib-Catatan Harian)

Saya mengenali Ahmad Wahib di sebuah petang yang mendung semasa berada di kompleks PKNS Shah Alam sekitar tahun 2008. Ketika itu saya melalui sebuah gerai buku. Leret mata liar saya tertumpu pada sebuah rak putih yang penuh dengan buku yang pada kulitnya tercetak kata-kata yang memukau “Tuhan bukan tempat terlarang bagi pemikiran”. Lantas saya memegang buku tersebut, membelek. Konon-kononnya ghairah. Buku berjudul Pergolakan Pemikiran Islam : Catatan Harian Ahmad Wahid saya miliki tanpa berfikir lama..

Ahmad Wahib yang melabelkan dirinya “bukan nasionalis, bukan katolik, bukan sosialis, bukan buddha, bukan protestan, bukan westernis, bukan komunis…bukan humanis” telah pergi meninggalkan kita selama-lamanya pada sebuah malam di bulan Mac 1973. Beliau telah dilanggar oleh sebuah motorsikal dihadapan pejabat majalah Tempo tempat dimana beliau bekerja sebagai calon wartawan. Buku setebal 355 mukasurat ini asalnya merupakan helaian-helaian catatan harian Ahmad Wahib yang ‘diselamatkan’ teman akrab beliau sejurus beliau meninggal dunia. Bukan seperti catatan-catatan “diari sorang lelaki ” yang lain.

Buku ini telah terbit buat pertama kalinya pada tahun 1981 di Indonesia oleh Pustaka LP3ES. Edisi Bahasa Malaysia pula ialah pada tahun 2007 terbitan MEGC dengan kerjasama Konrad Adenaur Stiftung. Secara umumnya, saya mentakrifkan buku ini sebagai rangkulan pengalaman dan kesimpulan panjang idea-idea liberalisasi. Catatan-catatan ini memuatkan pandangan peribadi Ahmad Wahib yang kritis dan sinis sepanjang pergulatan beliau dengan teman-teman jemaahnya, masyarakatnya, budayanya, agamanya, tuhannya malah hampir seluruh hidupnya.

Pemikiran Luar Kotak

Catatan dari Jogjakarta oleh HA. Mukti Ali pada 1981 mengakui dalam Lingkaran Diskusi, Ahmad Wahib sering menimbulkan pendapat-pendapat yang tidak biasa didengar orang dan kebanyakan hal yang ditulis oleh beliau membuatkan orang akan ‘berkerut dahi’. Pemikiran beliau ‘di luar kotak’ atau ‘di luar jendela’ apa adanya. Mukti Ali mengakui pendapat dan pertanyaan almarhum Ahmad Wahib ini amat menggoda dan mengesankan fikiran kita. Benar kata Wahib “Saya ingin menjadi Muslim yang baik dengan selalu bertanya.”

Buku ini telah dibahagikan kepada empat bahagian utama. Perkara-perkara yang disentuh antara lain usaha beliau menjawab masalah yang timbul dalam ruang beragama, politik dan kebudayaan Indonesia, bidang keilmuan dan kemahasiswaan dan yang terakhir sedikit sebanyak menyentuh peribadi beliau yang sentiasa gelisah.

Adakah ‘tuhan itu takut kepada akal yang tuhan ciptakan sendiri?’
“Tuhan bersifat wujud bukan untuk kebal dari sorotan kritik. Sesungguhnya orang yang mengakui berTuhan tapi menolak berfikir secara bebas beerti menghina rasional kewujudan Tuhan.”- Ahmad Wahib

Pendapat almarhum Ahmad Wahib dalam soal agama dilihat sebagai pandangan yang tajam dan nakal. Beliau sering menyentuh soal yang dasar dan taboo justeru mengajak yang lain untuk berfikir. Kebebasan agama dilihat sebagai kebebasan berpendapat bukan untuk dibatasi. Yang mendasari untuk segala pendapat beliau, adakah ‘Tuhan itu takut kepada akal yang Tuhan ciptakan sendiri?’ Keberanian Wahib dalam melontarkan pendapat dan persoalan meletakkan beliau sebagai manusia jujur.

Catatan-catatan yang dihimpunkan dalam buku ini mempamerkan Wahib sebagai pemikir radikal penuh inpirasi dan provokatif. Soal ‘nilai baru dan lama’ diukur dengan pembaris waktu. Menurutnya lagi masyarakat Islam harus keluar dari kongkongan feqah.Bagi Wahib; pembinaan hukum dari al-Quran dan Sunnah melalui ijmak bukan lagi waktunya kerana individualisme semakin berleluasa. Wahib berpendapat bahawa hukum-hukum Islam itu berkembang apabila nilai-nilai dalam masyarakat itu berkembang yang pada beliau membawa erti hukum juga berubah.

Kekangan ‘eksklusivisme’ dalam Idea Pembaharuan Islam

Ahmad Wahib mahukan organisasi-organisasi Islam bersifat mendidik bukannya menghukum. Beliau menolak apa yang dipanggil “Ideologi Islam” kerana “Ideologi Islam” sama seperti ideologi-ideologi lain seperti sosialis, nasionalis maupun komunis. Pokok pangkalnya, idea Islam harus sentiasa berkembang selari dengan perkembangan umat, budaya dan bersifat universal.

Suatu hal yang menyedihkan apabila keberadaan beliau dalam HMI dipandang sebagai “jaringan golongan luar tertentu” dari Jawa Tengah yang dilabel sebagai heterogenitas yang keterlaluan. Sampai masanya, Wahib dan temannya Djohan meninggalkan HMI dengan meninggalkan kepilan ‘rasmi’ terakhir iaitu “Memorandum Pembaharuan dan Kekaderan”. Sifat rigid HMI dalam menerima dan menilai idea pembaharuan umat dilihat Wahib sebagai musuh kepada kebebasan berfikir dan bertentangan dengan Islam itu sendiri. Apatah lagi HMI masih kuat dengan pengaruh Masyumi yang dilihat cenderung menghukum dan bersifat formal.

Sarana Wahib dalam kehidupan peribadi beragama

Pada 18 November 1972 Ahmad Wahib telah menggariskan sebuah struktur umum dengan judul “Pembinaan Toleransi Beragama di Indonesia” berpokok pangkal dengan umat Islam Indonesia yang menetapkan beberapa poin utama iaitu mengenalpasti ’sasaran toleransi’, mengenalpasti ’sumber-sumber intoleransi’ dan ‘pembinaan toleransi beragama’. Seluruh dasar ini bertujuan mengarah kembali organisasi-organisasi agama agar merayakan perbezaan dan ‘menghormati hak pembinaan dan penerimaan rohani manusia yang bersifat peribadi’.

Kesenian, Kebudayaan, Intelektualisma dan kebekuan pemikiran umat

Selain itu Ahmad Wahib dilihat sangat berminat menyentuh berkenaan ketenteraan ABRI, demokrasi dan kaum intelektual Indonesia. Beliau banyak menyentuh dan memberi pendapat mengenai ‘kedudukan-posisi’ golongan intelektual ini sebelum dan selepas kemerdekaan, kedudukan kaum intelektual semasa dan pasca Soekarno, intelektual Muslim dan pertentangan yang timbul di antara golongan intelektual dan persekitaran lingkungan mereka.

Kebanyakan golongan intelek Muslim ini dilihat terikut dengan arus massa sehingga takut kehilangan pengikut. Musibahnya; umat Islam buta disebabkan kurang komunikasi yang mengakibatkan umat Islam menjadi terumbang-ambing, terlalu reaksioner dan dilihat streotaip. Untuk memperbaiki permasalahan yang dihadapi kaum intelektual Muslim ini; Wahib menyarankan agar mereka lebih banyak ‘hadir’ dalam banyak bidang dan meningkatkan “level of political culture” untuk membebaskan umat dari kelesuan dan kebekuan. Wahib cuba menyentuh sebanyak mungkin isu dan minat mendalamnya dalam agama, politik, kemasyarakatan maupun budaya. Beliau menjembatani antara kesenian dan sudut manusiawi.

Perjuangan dan Dakwah

Peribadi yang selalu gelisah dengan persoalan-persoalan dan kejujuran Ahmad Wahib dalam kritikan beliau terutama terhadap pemikiran golongan konservatif Islam jelas menunjukkan perjuangan beliau dalam membentuk gagasan-gagasan baharu yang bersifat rasional dan alami. Nama beliau lebih dikenali setelah meninggal dunia. Pemikiran beliau mencetus fenomena baharu dalam masyarakatnya. Walaupun penulis tidak menyamakan beliau dengan Djohan Effendy, Nurcholish Madjid maupun Abdulrahman Wahid; Apapun mereka antara orang yang merentas jalan liberalisasi dalam membudayakan ilmu dan agama. Pemergian Ahmad Wahib dalam pencariannya bukan noktah bagi anak-anak muda yang sehingga kini menjadikan catatan-cacatan beliau sebagai rujukan dalam meneruskan dakwah.

Posting asal dari JalanTelawi

10 January 2011

Ulasan Buku: Mengusir Matahari

Telah satu dekad berlalu tetapi ianya masih segar. Relevan sehingga saat anda membacanya sekarang. Ianya ditulis semasa pentadbiran Presiden BJ Habibie sebagai reaksi terhadap gelombang reformasi di Indonesia menumbangkan kekuasaan Orde Baru Soeharto. Malah gelombang reformasi di Indonesia sedikit sebanyak mempengaruhi reformasi politik di Malaysia apatah lagi zaman itu merupakan zaman kritikal bagi ekonomi dunia. Reformasi ini telah membuka mata kesemua kita. Segalanya telah berlangsung dengan hebat dan bersemangat.


Buku ini. Soalnya adalah; ia masih relevan sehingga kini malah kisah-kisah yang diceritakan itu adalah manifestasi dari realiti yang berlaku dan telahpun berlaku setiap hari. Seolah-olah anda dibawa berada di zaman Raja Sulaiman moden. Ya, sekarang ini! Ia menggungkap persoalan demokrasi, pencerahan politik, salah guna kuasa, kekayaan yang terhimpun, kedayusan sistem, kemelaratan rakyat dan kesombongan pemimpin yang sehingga saat ini masih berlaku didepan mata kita seperti yang telah digambarkan dalam 'Sajak-sajak Seekor Kucing'.


Himpunan kisah-kisah ini dirangkulkan bersama dan diberi nama Mengusir Matahari oleh penulisnya Kuntowijoyo. Sebuah fabel-fabel politik terbitan Pustaka Hidayah tahun 1999 (Tahun 2010 Penerbit Tiara Wacana). Ia adalah cerminan alam manusia ke alam haiwan. Malah makhluk jin juga sesekali di ajak berlakon di pentas ini. Buku ini bukan cuba untuk memanusiakan haiwan ataupun sebaliknya tetapi saling bertemu dipersimpangan jalan kemudian bertelingkah?! Manusia telah masuk ke alam haiwan dan haiwan telah masuk ke alam manusia. Maing-masing berkonfrontasi antara satu sama lain, bersaing, untuk menang, jadi kaya.dan berkuasa.


Ia antara lain memaparkan kisah sedih masyarakat kambing. Kisahnya lebih kurang begini; Semakin negeri-negeri kambing menghadapi masalah pentadbiran, kesihatan dan serangan dari negeri serigala, mereka bersetuju melantik gajah sebagai raja untuk memerintah. Pemerintahan raja gajah tidak seperti yang diharapkan. Semakin lama, semakin negeri kambing ini jadi kacau bilau. Masyarakat kambing tak mampu untuk melawan rajanya si gajah. Mereka jadi buntu, berputus asa kemudian berpindah ke negeri lain. Negeri kambing jadi kosong dan rajanya sang gajah memerintah sehingga ke penghujung usia.


Mengusir Matahari penuh dengan humor. Padat dengan mesej-mesej tersirat maupun tersurat. Kesemua 89 karya yang ditulis oleh Kuntowijoyo dihidangkan kepada pembaca dengan baik dan penuh sinikal. Penulisannya tidak kekiri maupun kekanan. Tetapi antara keduanya saling berlumba. Masing-masing adalah benar. Mungkin?! Buku ini sarat dengan saranan-saranan 'moral' baik untuk pemimpin maupun untuk yang dipimpin. Kebanyakan kisah yang diceritakan merupakan kisah benar yang berlaku semasa dan pasca reformasi di Indonesia. Sejarah ini bukan ditokok tambah tetapi diberi nafas baru agar lebih menghiburkan dan sesuai untuk tontonan umum barangkali.


Dalam kisah 'Demokrasi Gajah, Demokrasi Kuda dan Demokrasi Anjing' anda dihidangkan dengan sebuah kisah seorang ayah yang mengajar anaknya mengenai demokrasi. “Ayah...apa erti demokrasi?”. Lalu jawab ayahnya “itu tontonan untuk 17 tahun keatas tahu!”. Mereka ke sarkas dan melihat gajah membuat pertunjukan dengan dipalu seorang pelatih. Kata bapa kepada anak, inilah demokrasi gajah. Kemudian selepas itu si ayah membawa anaknya ke markas Polis berkuda. Kuda itu dikendalikan dengan sangat baik. Polis itu mengatakan bahawa kuda adalah seperti manusia, kalau baik kepadanya, dia akan baik kepada kita. Ayah berkata inilah demokrasi kuda. Hari berikutnya si ayah membawa anaknya keluar bersiar-siar dan bertemu dengan seorang tua pemilik anjing yang sedang bersiar-siar. “Anjing itu milikmu..?” Si ayah menegur orang tua trsebut. Orang tua itu berkata bahawa secara rasminya memang miliknya tetapi hakikatnya, dia yang dimiliki oleh anjing peliharaannya. Ini kerana, kalau tak dibawa keluar bersiar-siar, mereka akan memberontak, kencing di sofa dan membuat bising. Kata ayah; Anjing menjadi bos. Sewenang-wenang mahu menang sendiri. “Fasis! Diktator! Komunis!” kata anak. Dalam humor sinikal ini anda dibawa jauh untuk berfikir mengenai memiliki demokrasi atau demokrasi untuk pilihan!


Himpunan kisah-kisah ini berkisar langsung dengan zaman pemerintahan Soeharto dan kebangkitan mahasiswa serta rakyat mereformasikan Indonesia. Dari sekecil-kecil isu ke sebesar-besar perkara. Ia meliputi ruang dan melangkau zaman. Keutamaan diberi kepada sistem dan pengatur sistem. Terlalu banyak kisah-kisah 'dongeng' dalam Mengusir Matahari yang boleh dijadikan kayu ukur kepada isu setempat dan pemahaman masyarakat terhadap sesuatu pembaharuan.

Kuntowijoyo telah menyimpulkan dengan mudah bahawa kalau di alam
haiwan punya predator natural., di alam manusia punya predator struktural! Jadi sebelum terlambat. Jadilah apa-apapun. Besi berani umpamanya!


Dalam tajuk 'Manusia versus Buaya' akan membawa anda untuk menjunjung hak buaya. Dalam ertikata lain, buaya juga berhak memakan kambing ternakan manusia sebab manusia telah mencabul hak-hak buaya yang mengganggu habitat mereka. Disini, menghormati hak ini juga disebut 'demokrasi'. Maka berkumpullah orang kampung dan pawang setelah semakin banyak ternakan kambing dimakan. Pawang telah membuat perjanjian dengan pihak buaya tetapi malangnya ia telah dilanggar oleh pihak buaya itu sendiri lalu orang kampung bermesyuarat agar senapang dibekalkan tetapi pihak berkuasa tidak membenarkannya. “Ini urusan polis” lalu orang kampung mengajukan hal ini kepada pihak polis. Pihak polis perkata, ini urusan tentera. Maka yang berlaku saling meletakkan tanggungjawab kepada orang lain. Buaya ini urusan polis atau tentera atau urusan demokrasi? Dimana kita?


Struktur penceritaan oleh Kuntowijoyo tidak serius malah santai. Kata-katanya disulam dengan falsafah. Ia mengajarkan mengenai hak dan demokrasi. Jika kita meletakkan buku ini sebagai bibit-bibit pencerahan; bagi saya ia bukan sekadar pencerahan tetapi 'seni pencerahan'. Pandangan Kuntowijoyo selari dengan usia dan zamannya. Kritis terhadap sistem, budaya dan masyarakat. Ia memaparkan kisah suka duka manusia bergelut dengan politik. Kisah 'Kancil Mabuk' umpamanya merupakan manifestasi keberadaan kita. Realiti untuk kita berfikir secara dalam tapi santailah!


Kuntowijoyo di dalam Mengusir Matahari telah berjaya meniupkan sebuah semangat “Ayuh berubah...! Jangan jadi bodoh...!” dan pembaca pasti terhipnotis dengan gaya bahasa humor sinikalnya. Aduh sampai begitu!? Kuntowijoyo telah menyimpulkan dengan mudah bahawa kalau di alam haiwan punya predator natural., di alam manusia punya predator struktural! Jadi sebelum terlambat. Jadilah apa-apapun. Besi berani umpamanya!-end

Ulasan ini telah disiarkan dalam JalanTelawi.com