Oleh: Hafiz Zainuddin
Mahu merasa punya karier seperti orang
lain, saya memilih untuk menjadi wartawan setelah bergelut dengan kecelaruan
identiti dan menjadi mangsa obses Melayu Islam tipikal kelas menengah atas yang
selesa dalam ruang lingkup kehidupan unik, berbuka puasa di Starbucks Café dan
masuk MLM untuk cepat kaya.
Apapun, saya disudahi dengan kesudahan yang kurang
bagus di Shah Alam lalu membawa diri pulang semula ke kampung halaman dengan
hati yang berparut.
Akhirnya, berpusat di Kuala Lumpur, kerja
kewartawanan saya kini bukan sekadar apa yang mahu dirasakan tetapi menjadi
sebahagian dari hidup dan minat saya biarpun berada dicelah sesak bingit
kenderaan dan kumpulan-kumpulan kongsi gelap pelbagai nama dan panji beserta
pelacur wanita dan maknyah kelas menengah dan bawahan yang masih mampu
membuatkan ghairah ini tergamit.
Lima bulan berlalu terasa begitu cepat.
Seorang teman yang dulunya mengandung dua minggu, kini perutnya makin membesar
dan kandungan sudah pun berusia enam bulan. Pengalaman lima bulan sebagai
pelapor berita masih jauh dan belum cukup untuk dibanggakan. Malahan ia mengajar
untuk saya lebih licik, berani melanggar segala protokol dan rasa malu di hati
demi kepuasan kerja atau kerja saya sekadar kepuasan yang separa inzal.
Sebelum ini, mimpi menjadi wartawan
tidak pernahpun menjelma dalam fantasi saya kerana ketika itu saya bercita-cita
untuk menjadi sebagai penjawat awam selepas usaha niaga kecil saya di Shah Alam
mengalami kejatuhan. Ketika itu, asal saja punya kelapangan, banyak masa dilaburkan
melayari iklan-iklan jawatan kosong kerajaan di pelbagai agensi dan jabatan
serta mengisi borang dalam talian mahupun secara konvensional melalui pos secara
sistematik.
Bahana pemerintahan Tun Mahathir. Saya
kira, inilah juga pengalaman awal muda mudi Melayu tipikal lepasan universiti
tempatan yang sangat dahagakan belas ehsan kerajaan, tidak tahu berdikari,
mengharap agar diri dibantu, dibelai dan diberi kerja demi mengisi periuk nasi supaya
mudah membuat pinjaman dengan Bank Rakyat untuk berkahwin atau membeli kereta impian
dan modal menambah pendapatan sampingan dengan menjadi agen-agen produk
kesihatan atau kontraktor kecil-kecilan. Rasanya, kejayaan idealisma muda mudi
Melayu pasca DEB-Mahathir dan
Transformasi Najib ini harus kita cantingkan semula agar mereka menjadi anak
jantan bersaing di arena yang adil dan terbuka.
Wartawan, guru, agen insuran atau
pemandu lori, biarlah apapun cara pandang, cara hidup dan karier yang dipilih.
Perkara utama harus diberi penekanan sekarang adalah bagaimana menjadikan diri
serasi dengan persekitaran dan tuntutan nafsu kerja dan nafsu semasa kerana
segalanya berubah dengan sebab dan tidak juga tanpa sebab perubahan datang
tanpa diundang.
Segalanya telah berlalu begitu pantas.
Dalam satu tempoh yang singkat, semuanya berubah mengikut ketentuan qada’ dan qadar.
Saya percaya pada tuhan dan pada segala keajaiban yang boleh berlaku pada
bila-bila masa. Pesan mama, selalulah
berdoa dan saya percaya, doa mama dan kesungguhan doa itulah yang membawa saya
ke dunia baru ini. Alam kewartawnan yang menjadikan saya tak lekang dengan
notebook siang dan malam.
Wilayah
gelap Jalan Pasar
Tempat saya bekerja ini bukan di kawasan
yang indah seperti di Shah Alam. Kecuali sisi gelap Shah Alam seperti di Sri
Muda dengan segregasi kaum yang nyata dan percambahan kelompok komuniti luar
yang tak terkata; keluar dari pejabat sudah terlihatkan tasik dan pohon-pohon
rhu yang hijau merendang. Adakalanya pemandangan tasik Shah Alam dihiasi dengan
migrasi beberapa jenis burung dari benua lain. Indahnya hidup di Shah Alam.
Pesona Shah Alam sehingga kini umpama tarikan magnet buat saya. Tapi biarlah,
kali ini giliran Kuala Lumpur.
Kota ini besar, pejabat saya bukan
seperti di Jalan Yap Kwan Seng, jauh sekali seperti di Putrajaya. Ia juga bukan
kawasan selesa bagi semua orang kerana kawasan ini kawasan marhein, marhein
dari semua golongan.
Ini Jalan Yew off Jalan Pudu, cuma
beberapa penapak dengan Jalan Pasar, ia berhampiran Masjid Alam Shah Cocraine,
bersebelahan gereja Baptis Bethel, turun pejabat sudah ada pub, spa dan
snooker. Kalau sedikit kehadapan, kawasan perumahan Laksamana. Kalau sedikit kebawah,
kawasan Samping. Sekitar jam empat pagi lagi, udara disini sudahpun berbau
hamis dan busuk.
Malaysia
gaya Jalan Pasar
Saya sudah pun biasa dengan bau busuk nan
hamis ini. Saya namakan kawasan tempat, pejabat saya bekerja ini sebagai sebuah
wilayah. Sub-wilayah dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diperintah
oleh Raja Nong Chik. Wilayah ini wilayah majmuk, tidak sekadar majmuk ras, juga
majmuk warganegara.
Dek kerana dasar kemasukan pekerja asing
agak longgar dan bercelaru ditambah dengan sebahagian kakitangan kerajaan yang
kuat makan rasuah membenarkan gambaran laporan Ketua Audit Negara yang lalu, disini
menjadi antara mula tempat penemuan perantau Kathmandu dengan dengan wanita Yangon
yang mulus dan manis. Tak kurang juga anak muda Kerala dan Tamil Nadu menjadi
buruh mengangkut sayur dan ikan. Belia dan beliawanis Minang, Jawa, Bugis dan
sebagainya dari Indonesia turut mengambil posisi mereka yang tersedia luas
disini sebagai buruh am dan penjaja buah dan rokok.
Kemajmukan disini sudah melangkaui
slogan 1Malaysia kerana Perdana Menteri Najib mungkin terlepas pandang dalam
pelan transformasinya bahawa selain hab halal, Malaysia juga merupakan hub pengumpulan
tenaga kerja manusia samada secara legal
atau secara non-legal yang terkenal
di pelusuk negara dunia ketiga, antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara.
Asmara
lelaki berahi meninggalkan flat yang sempit
Kerana ini kawasan pasar, ia penuh
dengan suara dan pekik-bingit kehidupan yang turut mempengaruhi gerak rasa dan
gerak joget saya di Kuala Lumpur.
Keberagaman warna kehidupan di Jalan
Pasar ini tidak terlepas dari keperluan fitrah seksual manusiawi.
Seperti
malam-malam indah di tempat lain. Kaum lelaki yang berahi menjadikan wilayah
ini tempat mereka berhibur beradu asmara melupakan seketika keadaan rumah-rumah
flat mereka yang sesak, sempit dan bising seperti di Kerinchi. Seawal pagi
lagi, kawasan ini telahpun dihiasi dengan senyum manis pekerja seks yang seksi
tekun dan setia menunggu pelanggan demi menyara kehidupan anak-anak tidak
berbapa sehari-hari.
Biarlah kata orang ini wilayah gelap walau
banyak kedai menjual lampu dan LED yang mengerlip. Malamnya suram sepi, ramai pelacur
mencari rezeki. Siapa peduli?
Inilah antara contoh terbaik kawasan
pasar yang sibuk ala Malaysia yang juga menjadi tempat menumpang teduh bagi
segelintir masyarakat terpinggir hidup bergelandangan bersama kaki-kaki botol
yang sentiasa tidur. Peruntukan bantuan kebajikan dari Jabatan Kebajikan
Masyarakat tidak pula terlihat disini mungkin kerana mereka bukan pilihan favourite penguasa atau peruntukan sudah
pun habis disebabkan Malaysia punya ramai golongan masyarakat yang miskin papa
kedana.
Sama seperti dua puluh tahun lalu. Begitulah
keadaannya Jalan Pasar sehingga kini kecuali beberapa buah rumah kedai dan
bangunan pejabat yang sedang dalam pembinaan.
Mengusahakan
takdir
Wilayah ini harus memberikan perasaan
yang selamat dan selesa buat saya. Jika tidak, letak punggung saya disini
mungkin tidak lama dan mungkin terpaksa melangkah lagi. Menjadi seorang
wartawan merupakan cabaran menyeronokkan. Saya belajar dari setiap kesalahan. Bukan
belajar untuk semuanya jadi betul. Saya perlu selesa untuk dipersalah, dan
selesa juga untuk diperbetul. Itulah inti ajaran bos saya.
Ini adalah sebahagian kisah saya dan
sebuah wilayah bernama Jalan Pasar dengan segala macam wajah, ragam, rengek,
pekik masyarakat. Ia jauh berbeza dengan Jalan Bukit Bintang, Jalan Petaling
mahupun Jalan Raja Laut. Samada wilayah ini akan terus begini atau bertukar
sepertimana bertukarnya Pudu Sentral kepada UTC, kita telah dibuktikan bahawa transformasi
fizikal tetap tidak akan berjaya tanpa pengisian dan peningkatan taraf serta
kualiti hidup masyarakat.
Lihat sajalah kesesakan lalu lintas,
biarpun jalanraya diperlebar setiap hari-saban tahun. Keadaannya tak berubah;
kecualilah wujud kesedaran kolektif masyarakat untuk berkongsi kenderaan atau
menaiki pengangkutan awam. Apapun, cita-cita untuk mempunyi masyarakat sebegitu
mungkin cuma sebahagian dari utopia. Peningkatan harga bahan api dan kenderaan
bukan penghalang masyarakat kita untuk membeli dan memperagakan kereta
masing-masing.
Jalan Pasar adalah contoh terbaik
sebagaimana juga di sekitar kawasan Chow Kit bersama Lorong Haji Taibnya; termasuk
disini, sebahagian besar warga di Kuala Lumpur telahpun memiliki wajah-wajah sakit,
tertipu dan tersepit dicelah kelangkang pembangunan dan Pelan Transformsi
Kerajaan demi mengejar impian Malaysian
Dream menjelang 2020 nanti.
Berdoalah agar Malaysia berubah bertambah baik
dan diberkati tuhan. Maka dengan segala kuasa kewartawanan yang ada pada saya,
saya dengan ini mengarahkan agar Perdana Menteri Malaysia meletak jawatan.
#Telah diterbitkan dalam Fragranfrantik 1st Issue
No comments:
Post a Comment