23 December 2013

Merapat Renggang: anugerah yang merasuk!

Oleh: Hafiz Zainuddin
Buku ini saya terima di sebuah gerai nasi lemak tersohor tepi Lebuhraya Persekutuan. Gerai ini jugalah tempat seorang teman saya makan setiap hari sebab murah, tambahan pula, nasi lemak itu lazat tak terkata.
Rasanya, tidak ada sebab jatuh haram kalau saya samakan kelazatan buku ini dengan keenakan nasi lemak yang dijual itu. Merapat Renggang jauh sekali serupa dengan buku-buku lain yang bertimbun di pasaran memandangkan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia pasca pengumuman GST semakin parah agaknya.
Jurnal yang dilancarkan Obscura baru-baru ini merupakan naskah hebat gandingan karya 21 penulis lama dan baru, tempatan dan terjemahan antarabangsa membicarakan hal-hal seputar filem, puisi, cerpen, teater, tari, dan aktivisme sesuai dengan konsep “..Sebuah ingatan terhadap budaya…” kata penerbit, penulis Hafiz Hamzah.
Dalam pada itu beliau juga berpandangan bahawa banyak hal melibatkan penulisan seni dan budaya masih terpinggir, apalagi dengan perkembangan sastera negara yang lembab dan tertambat dengan aturan institusi yang membosankan.
Walaupun jurnal ini jauh untuk memuatkan diskusi sosialisme atau pasaran bebas yang menjadi trend anak-anak muda masa kini; Merapat Renggang tetap sebuah bacaan serius. Anehnya, ia tidak segan menghibur dan merasuk; seperti kisah Barry yang terkena penyakit AIDS dari Brikfields bikinan Jimadie Shah Othman.
Sebagai korban ruang secara terbuka, ia menjadi alas perbahasan segar kesenian mencakupi tiga elemen paling fundemental iaitu seni, sastera dan budaya.
Sama ada jurnal ini rangkulan faham ekspresivism, simbolism, romantism, mistism, klasik atau apapun, ini adalah lembaran terbaik melihat bahasa kebangsaan disantuni semula pada tempat asal.
Kalam Al-Mustaqeem M Radhi sahaja sudah mampu membuatkan orang terkincit; “Kalau mahu menjadi pemuisi yang sekadar menyalin alam, baiklah jadi tukang gambar sahaja”.
Justeru, suka saya memetik buku yang saya simpan lama dalam kotak dirumah berjudul Riak dan Gelombang Sastera Melayu tulisan Ramli Isin (kini bergelar Doktor) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1987 yang sudah pun mengakui bahawa sastera Melayu moden ‘memang belum apa-apa dalam pelbagai aspek, samada aspek luaran atau dalaman’.
Kali pertama membelek buku ini, saya jadi seram. Mungkin sebab saya sendiri lebih banyak membaca buku agama dan politik domestik hingga rasa keterasingan membuak-buak. Lihat sahajalah kritik filem tulisan Izmil Amri yang tidak berat lidah tergamak mengutuk (dalam memuji) filem Bunohan arahan Dain Said yang mampu menimbulkan kemarahan orang-orang Kelantan!
Biar pun dimuatkan dengan terjemahan karya asing seperti Franz Kafka, Ernest Hemingway, Homer dan Mark Twain; tidak juga terkurang karya-karya berkualiti penulis tempatan serantau seperti Jimadie Shah Othman, Ibrahim Yaakob, Goenawan Mohamad, WS Rendra dan ramai lagi.
Dalam kongsi rasa Hafiz Hamzah pula, beliau sempat merakam ragam dan celoteh Main Puteri, sebuah hiburan rakyat yang sudah pupus. Semua itu dapat dilihat dari tulisan dan foto yang dimuatkan. Hiburan rakyat yang telah diharamkan kerajaan Kelantan itu awal mengambil pemerintahan negeri sekitar tahun 1990-an terus menguak pelbagai persoalan kepada saya akan survival tradisi ini untuk seratus tahun lagi atau setidak-tidaknya sepenggal pilihanraya lagi. Apabila sesebuah tradisi dan budaya terpaksa bergulat dengan kuasa dan agama, apa dan bagaimana pula peranan masyarakat?
Saya tidak mahu berlebih-lebih memuji dan menjulang tinggi terbitan kedua Obscura ini selepas buku 99 Kelopak Pantun yang mengkhayalkan. Merapat Renggang adalah suatu anugerah kepada lapangan sastera moden yang wajar disyukuri. Setidak-tidaknya ia menunjukkan kesungguhan penerbitan yang jujur dan lazat. Selazat nasi lemak di gerai tepi lebuhraya itu.
“…Dan aku tunjukkan engkau sesuatu yang lain mungkin
Dari bayangmu yang mengekori di kala pagi
Atau yang melambai-lambaimu pulang di kala petang…”
-Tanah Tandus, T.S Eliot, terjemahan Al Mustaqeem M Radhi

Matinya suara mahasiswa pasca PRU-13: Dah jadi UMNO?

Oleh: Hafiz Zainuddin
BAKAR diri, Boazizi, graduan itu sudah mati. Dari satu pekan kecil bernama Sidi Bouzid, api kemarahan masyarakat tercetus dan merebak hingga runtuhnya empayar Presiden Zainal Abidin Ali pemerintah Tunisia. Debu-debu suci Sahara menjadi saksi letusan Arab Spring sampai singgah ke negara Timur Tengah yang lain. Itu kisah benar dicatat sejarah seorang manusia, anak muda yang nekad dan kecewa, memanifestasikan pembebasan.
Malaysia? Walaupun sebelum ini ada yang terlalu optimis terhadap gerakan rakyat yang disebut-sebut Malaysian Durian, ia jauh untuk menjadi mampu. Malaysian Durian gagal. Yang tinggal hanya durian Bota timbang kilo laku terjual di Pasar Pudu.
Kebangkitan anak muda, mahasiswa atau yang selalu Hishamuddin Rais, tokoh NGI itu petik “Dunia ini milik anak muda akhirnya..” tidak kesampaian.
Sebabnya mudah, anak muda Malaysia, graduan IPTA dan IPTS sibuk menamatkan pengajian demi sebiji kereta dan kahwin cepat. Wacana hanya tinggal wacana, bila timbul polemik, wacana lagi. Maka, berwacanalah sampai mati dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap jadi entiti ‘maha kuasa’.
Apa lagi Pakatan Rakyat boleh buat? Apa lagi mahasiswa, anak-anak muda pemimpin masa depan ini mampu buat? Siapa ikut kata siapa, siapa buat kerja siapa? Perlukah begitu? Atau slogan idealisme mahasiswa sudah lama masuk lombong?
Bukan anarkisme?
Sekitar tahun 1970-an negara memiliki ramai aktivis siswa yang handal. Baik pidato, baik tindakan. Perjuangan mereka jelas demi masyarakat miskin lagi tertindas, menolak hegemoni pembodohan pemerintah dan menjadi contoh buat zaman.
Memang, kita tidak mahu negara jadi kacau dengan huru-hara yang akhirnya menjadi laluan mudah situasi anarkisme.
Kewujudan anarkisme dalam tempoh yang sedikit pun sudah cukup menjadikan Bukit Bintang lengang. Kedai-kedai Arab tutup, operasi rumah urut tergendala dan taukeh di Low Yat boleh bungkus. Tak siapa mahu menyusahkan sesiapa.
Pasca 2000 lebih buruk daripada tahun 1970-an. Masyarakat dibelit dengan pelbagai kemelut ekonomi dan penindasan secara melampau seperti kemiskinan, kenaikan harga barang, GST, mangsa salah guna kuasa, monopoli dan rasuah. Negara makin dipenuhi miskin bandar, miskin muda bandar dan keruntuhan sosio-masyarakat akibat manipulasi kapitalisme hingga menyebabkan kelimpahan pekerja asing tak terkawal.
Dalam saat kritikal ini, kita layak meluahkan rasa sedih dan malu bila golongan siswa lebih suka main instagram di McD.
Kita bukan mahu melihat mereka turun dalam aksi sepanjang masa sampai mati bergelimpangan ditembak tentera seperti di Tianmen Square Beijing tahun 1989.
Tapi yang sedih, masyarakat kita tidak lagi melihat kecenderungan mahasiswa untuk menyuarakan, keluar daripada ruang selesa mendidik dan beraktivisme bersama masyarakat, paling tidak buatlah gerakan sukarelawan kempen dan bengkel kitar semula misalnya.
Aset jadi asap… bila Timbalan Menteri mengaku ‘graduan kita kurang intelek’
Akibat mahu kahwin, cepat dapat anak atau kerja kerajaan, peranan mahasiswa jatuh martabat. Walaupun kelembapan mahasiswa kita boleh disalahkan kepada kerajaan BN atas segala macam ugutan dan suapan pelbagai maklumat sesat dalam kem Biro Tata Negara (BTN), adakah mereka tidak mampu untuk berfikir sebelum menyerahkan seluruh hidup semata-mata mahu jadi produk manusia bagi mengisi kehendak pasaran?
Bermula daripada hal itu, perkara lain pula timbul. Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, P Kamalanathan pada majlis ‘An evening with CEOs: Towards Future Industrious Colloborations’ anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata, secara langsung mengakui “ketidakbolehan pasaran graduan di negara ini adalah kelemahan intelektual…”
Lucunya beliau berkata, ketidakbolehan pasaran graduan itu pula tidak dikaitkan dengan kelemahan sistem di institusi pendidikan tinggi (IPT) kerana katanya pembentukan peribadi yang berkeyakinan dan berkeupayaan harus bermula di peringkat pendidikan rendah dengan proses yang membabitkan ibu bapa, guru, masyarakat dan pemerintah.
Maksudnya, seolah-olah Kamalanathan menyalahkan semua pihak bila daya intelektual graduan Malaysia lemah. Baiklah, Kamalanathan sudah salahkan semua pihak, kita pula jangan jadi bebal untuk salahkan orang selain mula bertindak.
Bangkit tidur
Mahasiswa bangun melawan bukan cerita asing dalam sejarah nasional. Nama-nama tokoh gerakan mahasiswa zaman itu seperti almarhum Yunus Ali, Abu Zer, Kamaruzzaman Yacob, Hishamuddin Rais, Ibrahim Ali, Anwar Ibrahim dan ramai lagi sangat sinonim dengan kebangkitan mahasiswa sekitar 1970-an. Dan bersebabkan itu jugalah kerajaan memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 bertujuan mengekang kebangkitan mahasiswa yang kini dimansuhkan semula.
Hero mahasiswa pra-pilihanraya umum ke-13, Adam Adli muncul pada saat kebobrokan UMNO-BN memuncak sejalur dengan gerakan Bersih, Mansuh PTPTN, PPSMI, Occupy Dataran dan Himpunan Hijau. Bermula daripada tindakan beliau menurunkan bendera gambar Perdana Menteri Najib Razak, namanya terus mengharum sebagai hero siswa disebut orang dan gadis. Bersumberkan tindakan berani itu, maka, gelanggang universiti kita terkocak. Tambah berkocak lagi apabila seorang lagi mahasiswa, Bavani berjaya menggugat kesabaran penceramah Sharifah Zohra yang popular dengan slogan ‘Listen’ tiga kali itu.
Justeru, berlakulah sedikit anjakan dalam masyarakat kampus. Sesuai dengan kehangatan pilihan raya, aktivis siswa dari pelbagai arah mula bersuara daripada isu hal ehwal pentadbiran universiti hinggalah turun ke jalan raya menuntut pendidikan percuma.
Namun, pasca PRU ke-13 yang memperlihatkan PR kecundang menawan Putrajaya. Anehnya, suara mahasiswa semena-mena juga menyusut. Hampir tak kedengaran. Mungkin sesekali adalah sedikit tenggelam timbul. Jadi kita tertanya-tanya, apa mungkin kelompok aktivis mahasiswa yang konon mendakwa diri mereka sebagai aktivis non-partisan sebenarnya hanya alat parti politik? Kalau mahsiswa yang dianggap bakal pemimpin generasi masa depan tidak berdaya bangkit melepaskan masyarakatnya daripada tekanan regim BN, tak perlulah berbangga.
Tahun 2014 bakal menjelma bersama 1001 lagi pengharapan dan kemungkinan. Dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil, manakan mampu parti politik sahaja bertekak dalam Parlimen? Inilah peluang terbaik golongan siswa menebus semula suara mereka yang tenggelam dan menumpul.
Perjuangan mahasiswa bukan perjuangan parti politik, maka anda harus bersedia menjadi benteng unggul anak bangsa. – Roketkini.com

23 September 2013

“The Missing Link” Merenung jalan berliku, Borneo 50 tahun bersama Malaysia

Oleh: Hafiz Zainuddin
PEMANDANGAN hujung tanah Borneo, Tanjung Simpang Mengayau membuatkan saya tertegun dibelai angin lembab Laut China Selatan yang bercampur udara Laut Sulu. Lelah perjalanan jauh terhenjut-henjut dan perlahan dari Kota Belud menuju Kudat hampir sahaja hilang melihat pemandangan yang tidak pernah saya temui di Semenanjung.
Berada dalam bas menempuh jalur bandar ke pekan, pekan ke kampung, kampung ke ladang dan ladang ke hutan; pasti membuahkan pelbagai persoalan dan persepsi baru. Sudah tentu, menelusuri jalan raya di Sabah, bakal menemukan anda dengan pelbagai rasa dan pengalaman.
Tanda tanya dan misteri terhadap Sabah, antara negeri terkaya di Malaysia ini sudah terjawab. Biar hanya tujuh hari tujuh malam melata di bumi negeri Di Bawah Bayu ini, segala propaganda slogan ‘Sabah maju bersama Barisan Nasional (BN), Rakyat Diutamakan’ sudah layak dimasuk bakul sampah. Semuanya indah kabar daripada rupa.
Yang indah hanya budi dan santun masyarakatnya yang ramah dan baik, yang cantik ialah pemandangan hijau dan gunung-ganang terpasak kukuh, yang menawan adalah kekayaan sumber alam flora dan faunanya yang masih menjalar dan membiak.
50 tahun BN buat apa?
Dari Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Kundasang, Ranau, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, begitu juga daerah kecil yang lain, saya dan teman melalui perjalanan panjang menaiki bas mendaki segenap cerun dan lembah bumi. Dan saya akui, perjalanan menaiki bas ini merupakan perjalanan paling lama dan mencabar sepanjang hidup saya.
Dari perjalanan panjang ini, saya hanya mampu menyoal apa yang dibuat kerajaan BN sejak 50 tahun lalu. Seminggu berada di Sabah sudah cukup untuk memberi gambaran jelas diskriminasi terang-terangan kerajaan Persekutuan Malaysia yang pastinya Barisan Nasional (BN) ke atas negeri dan anak negeri ini, apa lagi anak pribumi yang datuk moyangnya termakam di situ hampir seluruh baka keturunan.
Daripada diskriminasi ini maka wujudlah masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), pendudukan tanah oleh PATI secara haram, kemiskinan, masalah kemudahan perubatan, keselamatan, bekalan air terawat, bekalan elektrik dan masalah jaringan jalan raya di seluruh negeri.
Mengumumkan peruntukan belanjawan kepada Sabah setiap tahun, menambah ruang pejabat dan kuarters penjawat awam negeri itu belum lagi cukup untuk mengakui Sabah sebagai negeri membangun.
Majoriti penduduk di luar bandar, malah di sesetengah kawasan kediaman di bandar tidak mempunyai sistem bekalan air terawat malah anak-anak masih menelaah mata pelajaran di bawah lampu yang dijana generator.
‘Jalan-jalan’ berliku
Disebabkan keadaan jalan yang beralun-alun, menggerutu dan ditambah dengan kerosakan dan kerja baik pulih sepanjang jalan, perjalanan yang sepatutnya hanya 40 minit terpaksa memakan masa 80 minit dan jika berlaku kecemasan, anda mungkin mati dengan tidak wajar dalam ambulan atau semakin parah. Ini adalah antara hakikat yang terpaksa ditempuh sebahagian besar warga Sabah yang duduk berjauhan daripada pusat kesihatan, hospital mahu pun bandar.
Persoalan jaringan jalan raya bukan remeh. Daripada soal hidup mati sehingga pembangunan fizikal dan modal insan, jalan raya adalah penghubung di antara dua kutub yang terpisah..
Sejarah mengajar kita bagaimana penjajah Jepun dan Inggeris sanggup menghadap gajah, harimau dan segala jenis jembalang hutan ketika membuka jalan dan landasan keretapi ketika itu demi kelangsungan ekonomi mereka. Sudah semesti, perkaitan jalan raya ini mempunyai hubungan akrab dengan keberlangsungan pembangunan ekonomi sesebuah daerah mahu pun negara.
Bukan semua orang berduit
Sabah sulukMenurut Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Jimmy Wong Tze Phin pembangunan di Sabah akan terus lembap berbanding negeri lain di Semenanjung jika jaringan pengangkutan darat tidak diberi keutamaan.
“Bukan semua orang boleh naik kapal terbang. Soal paling besar, kenapa BN tidak peduli untuk membaiki dan membina jaringan jalan raya yang sempurna,” ujar beliau.
Jimmy Wong berkata, kelembapan ekonomi ini dapat dimanifestasikan dengan pembangunan fizikal dan taraf hidup masyarakat.
Menurutnya, dengan adanya satu jaringan jalan raya atau lebuh raya yang sempurna dan baik, pembangunan Sabah akan lebih rancak kerana kemasukan pelabur dan wujudnya lebih banyak interaksi daripada masyarakat luar bandar dan bandar yang lebih baik.
“Bermulanya daripada sebuah jaringan jalan raya yang baik, pelabur akan lebih senang untuk melabur, ekonomi setempat akan lebih baik. Sebab itu kita berasa sangat hairan mengapa BN sanggup membiarkan Sabah terus berada dalam keadaan begini sedangkan apa yang berlaku di Semenanjung begitu berbeza sekali.
“Ini yang saya kata sebagai the missing link. Ia bukan hanya merujuk kepada keadaan jaringan jalan raya yang teruk, tetapi mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan BN kepada Sabah.
“Adakah wajar mereka melayan Sabah dengan cara ini sedangkan Sabah merupakan negeri yang banyak memberi sumbangan kepada ekonomi negara?,”soalnya.
Sampai bila Malaysia Timur akan terus jadi lubuk emas BN?
Bulan ini, genap Sarawak, Sabah dan Semenanjung Tanah Melayu membentuk Malaysia yang berusia 50 tahun. 16 September 1963 menjadi saksi sejarah pembentukan Malaysia yang berdaulat. Tanpa penyertaan dua negeri dari kepulauan Borneo itu, Putrajaya hanya akan dikenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya.
Malangnya, Sabah dan Sarawak terus dianggap sebagai lubuk emas, umpama pohon getah yang ditoreh setiap masa untuk susunya, bila pohon tua tidak bersusu, ia ditebang diganti pohon yang lain.
Dari lapangan terbang Tawau, saya dan teman-teman berangkat pulang ke Kuala Lumpur menitip memori berharga lakaran segar dari bumi Sabah. Wajah sugul anak-anak kecil yang berniaga di pasar Semporna terimbas ketika berada di lapangan terbang justeru membuatkan saya terfikir, apakah masih ada lagi jalan lain untuk Sabah berubah?
Selamat Hari Malaysia-Roketkini.com