06 September 2012

Suatu malam di ambang Merdeka Oleh : Hafiz Zainuddin

Tidak ada bunga api. Tidak ada konsert. Tidak ada tarian zapin. Pemindahan sambutan ambang merdeka dari Dataran Merdeka ke Stadium Bukit Jalil sekadar mencerminkan paranoia kerajaan UMNO-BN atas bayang-bayang mereka sendiri.

Rakyat sudah pandai menganjurkan acara untuk mereka sendiri tanpa perlu subsidi kerajaan untuk bunga api dan Jalur Gemilang percuma.

Gemerlap juntai-juntai lampu di pohon-pohon besar yang menghiasi malam di Jalan Raja dan spotlight warna-warni yang menembak dinding-dinding bangunan Sultan Abdul Samad berserta pentas dan pagar kelihatan suram dan kaku, sunyi sepi.

Suram dan muram. Termasuk petugas anggota polis dan DBKL. Malam kaku dataran bersejarah di hari penting ini cuma sebahagian dari menjalani tugas overtime mereka- menghindar orang ramai dari menceroboh kawasan yang dihadang. Tidak lebih dari itu.

Dataran Merdeka untuk sambutan merdeka ditutup!

Dataran Merdeka ditutup dengan kon dan pagar penghalang besi buat kali keduanya selepas Bersih 3.0 dihari kebesaran negara Hari Merdeka yang ke 55. Yang tiada cuma kawad berduri. Mujurlah!

“Malam ni tak ada sambutan kat sini. Boleh pergi ke bukit jalil atau KLCC” kata seorang anggota polis yang berkawal kepada saya ketika cuba memasuki ke Dataran Merdeka melalui pagar penghadang yang terentang di jalan.

Petang sudah samar-samar. Jam menunjukkan 7.30 malam. Bermula dari lebuh Pasar dan diseberang sana Jalan Mahkamah, para peniaga makanan dan minuman, party toys dan sebagainya telahpun bersiap-siap sejak awal lagi.

Pengunjung mula datang, sampai sahaja di Dataran Merdeka, mereka  termanggu-manggu disekat pagar penghalang.

“Kawasan ini di tutup untuk sebarang aktiviti” nyata sebuah papan tanda dihadapan pagar penghalang. Tatabahasanya pun salah. Ejaan sebetulnya “ditutup” bukannya “di tutup”. Tidak cukup dengan papan tanda itu, kon-kon juga dilekatkan dengan notis yang sama.

Barangkali fikir saya malam merdeka kali ini mungkin sepi, hambar, bosan. Apalagi pihak polis telah keluarkan arahan yang mengatakan ‘haram’ bagi Himpunan Janji Demokrasi yang dijadual berlangsung menyambut ambang merdeka bersama. Rakyat mungkin ke tempat lain saja.

Tetapi jauh meleset jangkaan saya. Makin lama saya menunggu, makin ramai pengunjung yang datang bersama keluarga, teman-taman dan orang tersayang, mereka santai-santai sahaja dibahu jalan sambil minum coke dan makan jagung bakar.

“Kita tunggu jam 12”.

Malam santai, malam patriotik tanpa Najib

Rakyat pelbagai lapisan kaum dan peringkat umur terus-terus memenuhi sekitar Dataran Merdeka yang dikepung penghadang besi. Biar tanpa Najib maupun pemimpin-pemimpin negara, biarpun tanpa percikan bunga api dan konsert, malam ini malam santai buat semua. Malam untuk memperingati merdeka negara dari penjajah. Inilah buat pertama kali acara sambutan ambang merdeka disini diaturkan sendiri oleh rakyat.

Kerajaan UMNO-BN paranoid

Paranoid UMNO BN bermula sejak kebangkitan rakyat di zaman Reformasi 1998. Kini, paranoid mereka makin terarah kepada sub fobia-fobia tertentu. Umpamanya chromophobia; iaitu fobia terhadap warna. Bukan hanya itu, UMNO-BN turut dihinggap penyakit metrophobia, iaitu fobia terhadap puisi.

Apa tidaknya, disebabkan himpunan aman Bersih, warna jersi pasukan harimau malaya ditukar dari kuning kepada biru, begitu juga dengan kuasa puisi-puisi kebangkitan Sasterawan Negara A.Samad Said yang ‘berhantu’.

Paranoid UMNO-BN entahkan sampai bila. Biarkan mereka. Malam ini adalah malam buat kita semua. Malam untuk menyatakan rasa syukur. Malam bebas merayakan kemerdekaan dengan semangat demokrasi berperlembagaan.

Jalan Sultan ada pesta!

Setelah maghrib selesai. Sedang Dataran Merdeka dipenuhi pengunjung. Saya dan teman bergegas ke Jalan Sultan. Di sana khabarnya telah ramai yang berhimpun.

Suasana sudah hangat di Jalan Sultan. Acara sambutan ambang merdeka dimulai dengan acara himpunan selamatkan warisan negara. “Selamatkan Jalan Sultan-Save Jalan Sultan” dari pembinaan MRT yang akan menghilangkan satu lagi nostalgia Kuala Lumpur. Kerajaan BN memang tidak peduli, sedangkan Penjara Pudu yang bersejarah itu pun ditobek, inikan pula suara-suara kecil peniaga dan penduduk Jalan Sultan.

Pengunjung dan peserta himpunan selamatkan Jalan Sultan mula bergerak menuruni dataran tersebut diiringi dengan alunan gendang dan tarian singa. Ia menyemarakkan lagi semangat kami untuk mempertahankan warisan negara yang tidak dipedulikan kerajaan UMNO-BN. Maka berluncurlah kami semua berarak sepanjang Jalan Sultan dengan pelbagai slogan; Merdeka! Selamatkan Jalan Sultan! Bersih! Janji Dicapati! dan sebagainya.

Hampir Sembilan puluh peratus peserta di Jalan Sultan memakai pakaian kuning. Nampaknya, semangat BERSIH masih berkobar. Semangat untuk Malaysia yang lebih baik tetap membara. Inilah hakikat yang tidak boleh dipadamkan sama sekali.

Dataran Merdeka sudah mula berpesta! 

Saya kembali semula ke Dataran Merdeka setelah selesai perarakan Jalan Sultan dengan beberapa teman yang lain. Sampai-sampai sahaja di Dataran Merdea, ia telahpun dipenuhi ribuan pengunjung. Ia tidak lagi sepi. Peniaga makanan dan minuman mengaut untung besar.

Dataran Merdeka tidak lagi kaku dan sunyi. Lampu-lampu yang menembak Bangunan Sultan Abdul Samad tidak lagi bersendirian. Jarum jam di menara meluru seolah-olah semakin cepat. Para pengunjung semua menantikan detik jam 12.


Suasana di Dataran Merdeka kini hingar-bingar dengan tiupan trumpet hon. Suasana kini bagaikan sebuah pesta. Tiada siapa melarang, tiada siapa mengganggu. Wajah-wajah majmuk Bangsa Malaysia menceriakan lagi keadaan.

Setelah beberapa ketika berada di Dataran Merdeka, saya meluru mengikut yang lain ke dataran DBKL yang cuma terletak di seberang jalan berhampiran Dataran Merdeka. Ketika itu, Dataran DBKL sudah sempit dipenuhi pengunjung dan peserta berbaju kuning untuk himpunan Janji Demokrasi.

Kelihatan dari jauh aktivis Hishamuddin Rais menyampaikan ucapan dan kemudian bacaan puisi Janji Demokrasi oleh Pak Samad Said.

Detik jam 12 sudah semakin hampir. kami semua berdiri dan menyanyikan lagu Negaraku dan setelah itu sama-sama melaungkan laungan merdeka sebanyak tujuh kali diikui laungan Bersih, demokrasi! berulang dan berulang kali.

Semuanya berjalan dengan aman kecuali sedikit gangguan bunyi dari ekzos motor mat rempit untuk  beberapa ketika. Rakyat Malaysia yang berkumpul di Dataran Merdeka akhirnya berjaya mengadakan acara untuk mereka tanpa peduli dari kerajaan UMNO-BN.

Lalu, terakam sudah sejarah baru untuk negara. Rakyat pelbagai kaum, agama, jantina dan peringkat umur sama-sama berhimpun untuk menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 55.

Biarlah percikan bunga api di Bukit jalil malam tersebut mencerahkan langit malam disana. Buat semua kami di sini, telah tersinar dengan cahaya gemilang, cahaya harapan dan cahaya kemenngan untuk Malaysia yang baru. 

#artikel ini telah diterbitkan oleh Roketkini.com

18 August 2012

Kuala Lumpur, Masjid Jamek dan magis Ramadan


 Oleh: Hafiz Zainuddin

Sudah jam satu pagi, lailatulqadar takkan disedari telah sampai ketika ralit makan steamboat dan jagung bakar di Jalan Tunku Abdul Rahman. Berlalu begitu sahaja malam seribu bulan disepanjang-panjang Chow Kit dengan tawaran dan tawar-menawar baju Melayu istimewa murah dan songkok tinggi yang berpatut-patut harganya.

Tiga malam terakhir di Kuala Lumpur, makin pudar roh Ramadan tenggelam dengan laungan “Murah-Murah-Murah” peniaga yang menyapa takdir rezeki dan menyambut Syawal yang bakal datang.

Sesak, meriah, asap, sedap dan bising. Inilah malam-malam terakhir Ramadan di Kuala Lumpur menyaksikan keghairahan warga kota membuat persiapan menjelang hari raya. Inilah juga peluang keluar malam buat mereka yang  tidak gemar keluar malam, bukan kaki joli, bukan kaki shopping, bukan kaki mengeteh. Inilah masanya kita rajin-rajinkan menapak dan melihat sebahagian Kuala Lumpur sudah menjadi seperti Jakarta.

Di Jalan Raja Laut seperti ada ‘demonstrasi’. Penuh, Meriah…. Asalkan ada wang bak kata orang. Saya sudah awal seminggu lagi membeli baju Melayu baru. Maklumlah, sudah beberapa tahun tidak ada yang baru dalam hidup saya.

Khabarnya seperti tahun-tahun yang lalu, siang sehingga pagi di Kuala Lumpur akan jadi lebih sesak dari hari-hari normal. Barangan akan turun lebih murah sebab peniaga menjual untuk balik modal sahaja. Mereka pun mau balik berhari raya.

Bayar zakat

Malam ini malam adalah malam terakhir Ramadan. Sekarang, saya sudah pun berada di utara, kampung halaman saya. Sementara saya berada di sekitar jalan Chow Kit semalam, sempatlah saya singgah ke Pejabat PAS membayar zakat fitrah naik ke tingkat satu.

Sebelum ini pun saya bayar kepada PAS cawangan kampung saya juga. Ini bukanlah bererti saya tak percaya kepada majlis agama Islam. Saya cuma tak mahu wang zakat fitrah saya ditabur buat biaya itu dan ini yang tak ada kena-mengena dengan tujuan zakat itu sendiri seperti kes biaya menteri yang jadi kecoh awal tahun ini. Ish. Tak mahulah saya.

Bagi saya, kalau beri zakat bersama PAS, nampak arah tuju dan infak wang kita. Ahli DAP yang muslim macam saya ni pun bayar zakat juga, begitu juga dengan yang lainnya. Bukanlah menunjuk-nunjuk tapi berasa hati bila ada mulut sedap-sedap tuduh saya kafir harbi. Saya anak Malaysia, saya orang Melayu, beraqidah Islam, mentauhidkan Tuhan dan menjadi ahli DAP. Mana salahnya? Kalau salah, buktikan dan adililah.

Imbau kembali 1 Ramadhan

Hari pertama Ramadhan, sudah tentu ghairah makannya tinggi. Tetapi saya mengambil keputusan mengajak seorang teman berbuka di Masjid Jamek Kuala Lumpur sahaja. Kami tiba disana sekitar jam 6.30 petang. Masa masih terlalu awal untuk berbuka tetapi jemaah sudah mula memenuhi hadapan tikar bersama bubur lambuk dan air mineral yang diedar lebih awal. Bila saja ‘kaunter’ air manis dibuka, maka beramai-ramailah beratur. Orang yang ‘berduit’ seperti kami eloklah berbuka sahaja di masjid. Lebih afdhal dari berbuka di KFC atau Chicken Rice Shop.

Berbuka di Masjid Jamek Kuala Lumpur merupakan pengalaman manusiawi yang sangat berharga dan terkesan dalam hati saya sebagai seorang rakyat Malaysia, dan juga sebagai seorang muslim. Jauh berbeza dengan berbuka di surau kampung saya atau masjid negeri Shah Alam.

Wilayah gelap Kuala Lumpur

Keindahan malam di KLCC dan keriuhan kelab-kelab malam sekitar Jalan Sultan Ismail, Telawi dan kerdipan lampu Dataran Merdeka tidak akan membawa anda menemukan seribu satu duka dan cerita pada wajah-wajah yang saya tatap di Masjid Jamek.

Kuala Lumpur dan dimana-mana pun wilayah gelapnya yang tersisih. Pasti menemukan wajah-wajah kemiskinan dan gelandangan dimana-mana sahaja. Lihat sahaja di Jalan Pasar, Jalan Pudu, dan sekitarnya. Ada sahaja mereka dicelah-celah kota ini. Kalau ada yang bertanya mengenai Kuala Lumpur, saya akan suruh mereka ke situ terlebih dahulu sebelum mereka naik ke Menara KL dan memuji keindahan kota ini berlebih-lebihan.

Ramadan kali ini bukan sahaja menyaksikan kesesakan kereta yang seolah-olah infiniti, masih ramai rakyat Malaysia yang ‘sesak’ berjuang demi sesuap nasi dan kehidupan seperti Dania, seperti Rita, pelacur murah sekitar Jalan Pudu.

Inilah buat pertama kalinya saya berbuka puasa dengan ramai kelompok masyarakat warga kita sendiri. Ada yang kelihatan biasa-biasa sahaja, yang gelandangan, yang melarat, yang menghisap dadah, yang gila, yang busuk dan yang comot, adapun, sebahagian yang lain terdiri dari warga asing yang kelihatan seperti pelajar dan pekerja sekitar Jalan masjid India. Kami diberi sebungkus nasi dan kurma, kami makan dan menunaikan Maghrib bersama. Indahnya 1 Ramadhan di Masjid jamek.

Semangat insaniah dan roh kemenangan

Saya terharu dengan AJK masjid yang tetap memberikan ruang bagi mereka yang non-muslim, yang bertatu untuk duduk dan makan, berbuka puasa bersama kami yang lain. Jika saya mampu berteriak kepada dunia “inilah Islam yang terbuka dan berlapang dada dengan setiap insan!”. Memang benarlah ungkapan ‘Islam datang membawa rahmat kepada seluruh alam’.

Barangkali beginilah agaknya sedikit gambaran pada zaman kosmopolitan Islam Andalusia atau Baghdad suatu waktu dulu yang menjadi kota dunia. Inilah indahnya semangat insan, semangat Islam, yang tidak tersingkap oleh segelintir yang konon pejuang Islam, pengawal agama, pembuat hukum dan pejuang Melayu dalam UMNO yang duduk bersenang-senang sambil menyalak itu dan ini.

Bagi yang berseluar pendek, mereka disuruh memakai kain pelikat yang disediakan, atau setidak-tidaknya, AJK masjid tetap mengagihkan sebahagian dari bungkusan nasi dan kurma bagi non-muslim yang berbaris, menunggu di luar ruang masjid. Syabas kepada seluruh AJK masjid Jamek yang prihatin. Anda telah menunjukan imej Islam yang sebenar tanpa menggunakan wang rakyat berjuta-juta dan bertempik dengan ‘Janji ditepati’.

Dari 1 Ramadan di Masjid Jamek Kuala Lumpur hinggalah malam-malam akhir di Jalan TAR. Kini kita telah sampai kita ke penghujung bulan mulia ini. Ramadan mengajar saya untuk lebih memahami, menjiwai dan melihat sendiri wajah-wajah kemiskinan, wajah mereka yang keliru, bingung dihimpit laungan angkuh pemimpin negara dan tersepit dicelah-celah bangunan yang makin mencanak naik.

Roh ramadan takkan pernah sia-sia. Sepertimana wajah-wajah itu yang berharap agar masa depan mereka, anak-anak mereka sekurang-kurangnya tidak tersisih dan terbela. Malaysia harus kita selamatkan segera.
Moga amal baik kita semua diterima tuhan. Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilitri. Maaf zahir dan batin. – telah diterbitkan di Roketkini.com

08 August 2012

Gerakan Rakyat Merdeka: Api dan cinta dari jalanan!

Oleh: Hafiz Zainuddin

Salah satu kunci kepada karya yang baik ialah daya meyakinkan, yakni sang pengkarya memberi makna dan menterjemahkan sisa-sisa yang kadang terleka oleh kita, untuk melihat, menyucuk dan menekan pada luka lama yang sudah dilupakan, agar kita sedar langit masih di atas dan kaki masih di bumi.

Dan pekik laung sang pengkarya ini pun ternampak oleh mata kita akan kewujudannya, tetapi jarang sekali dia mahu menonjol; lebih selesa berada di belakang menghayunkan karyanya untuk dicerna deria-deria kita..

Sang pengkarya ini ialah NikJidan, sepertimana rakyat yang tertekan dengan keparahan sistem-sistem tertentu, dia mahu berkongsi rasa agar dapat membuktikan semangat manusiawi tidak ditelan ketamakan. Beliau hamburkan melalui persalaman, didahului getar suara untuk kita akali, hadami, dan fikirkan.

“…sampaikan salam di angin lalu,
buat semua yang hidup,
buat semua yang mati…” – Salam

Tidak keterlaluan kesemua tujuh buah lagu dari album Gerakan Rakyat Merdeka ini, kalau dikatakan ia lebih dekat dengan doa berbanding ‘sebuah lagi album’ jika diperhayati.

Album ketiga NikJidan

Gerakan Rakyat Merdeka merupakan album ketiga NikJidan selepas album Garisan Abstrak dan Javidnamah, masing-masing dilancarkan pada tahun 2007 dan 2009. Mesejnya jelas, ayuh bangkit dari kebodohan, kebobrokkan penguasa zalim, melawan ketidakadilan dan salah guna kuasa.

Berbanding dua albumnya sebelum ini, karya terbarunya ini lebih matang, lebih-lebih lagi kalau kita tahu pemuzik jalanan ini sudah pun bertemu jodohnya untuk melangkah ke alam baru berkongsi hidup bersama si-dia yang tercinta.

Terilham dari celah-celah lorong sempit, yang hanyir baunya, bila malamnya dipenuhi dengan gelandangan-gelandangan bisu. Bukan bisu! Mereka cuma tidak berbuat apa-apa, tidak melampiaskan rasa muak terhadap apa yang mereka gagal kecapi.

Inilah paparan realiti, paranoia dan sisi-sisi kompleks manusiawi; hadiah NikJidan kepada pendengar agar jiwarasa kita dapat merdeka dari pembodohan dan kecelaruan kata mereka di atas sana.

Kemulusan NikJidan, kejayaan rakaman dan penerbitan album ini diharap dapat memberi kesedaran berdemokrasi kepada masyarakat seluruhnya pada masa yang sama beliau sangat menggalakkan penglibatan lebih ramai seniman jalanan yang lain untuk menghasilkan album.

Menurutnya lagi, muzik harus dibebaskan dan berpijak di bumi yang nyata dimana seni, masyarakat dan politik adalah saling memerlukan. Dari situ akan wujud keseimbangan pada masa yang sama meluaskan lagi ruang penerimaan pendengar.

Hidup di lorong dan mencari hidayah

Gerakan Rakyat Merdeka merupakan bingkisan terbaik dari jalan-jalan sesak dan lorong-lorong sempit sekitar Kuala Lumpur;

“Jangan malu pada anjing, kita menyalak tak mengacau, oh Francis di depan pintu kaca kami semua tertanya-tanya: Apakah kau SB atau memang benar orang gila? Namun jawabmu… Aku juga manusia” –Francis Depan Pintu Kaca

Anjing apa yang dimaksudkan NikJidan? Anjing bertuan yang terkurung di dalam atau anjing sesat yang mengacau orang ramai? Tetapi tidak seperti yang taksub dengan karya sendiri, lagu ini cepat menunjukkan rasa kemanusiaan tinggi apabila sang pengkarya menonjolkan “aku juga manusia”. Ada baik, ada salah, bergantung kepada pandangan moral masyarakat.

Dan melalui Bulan Tak Pernah Salah, sekali lagi, dan lebih penting terutamanya apabila kekosongan menjajah jiwa, tuhan menjadi tempat kita untuk merujuk, memberikan rasa selesa, aman dan tenang, biarlah apapun, asal tuhan ada.

“Tuhan…berikan hidayah, tetapkanlah aku mengingatimu, lebih-lebih lagi disaat aku sedang marah menjalani takdir indah ini…”

Antara menunduk, ia kembali pula untuk mengingatkan pendengar akan asam garam kejahatan dalam sistem sosial ini.

“…masam asam jawa boleh kau tahan, masam bau taik di tangan penjajahan, orang berteriak mencari kebenaran, namun kebenaran amat sukar dijelaskan, realistik kejam, politik hitam, rompak harta rakyat, terbukti itu haram…” – Revolusi Muzik

Demokrasi dan kesatuan cinta

Mungkin dengan sebuah ‘revolusi’ tidak cukup, apatah lagi jika revolusi itu membelakangi semangat demokrasi. Oleh sebab itu, NikJidan pergi lebih dalam.Lagu keenam, Demokrasi Basi tanpa bermadah mengutuk amalan pemimpin negara atas janji-janji palsu dan salah guna wang negara untuk kepentingan peribadi dengan kasar dan keras.

“Lambat Lambat Lambat Lambat menunggu siang, Kejam Kejam Kejam Kejam orang menghentam. Dua Dua Dua Dua saling bercakaran, Demokrasi Demokrasi anjing kurap…. Jadi Jadi Jadi Jadilah demokrasi ini, Jadi Jadi Jadi Jadilah jangan basi auwww… Panas Panas Panas semakin panas, Caci maki gila kuasa makin menggila,  Juta juta duit rakyat kuasawan songlap, Bini PM bini menteri kuatnya joli.!”

Demokrasi Basi berbeza dengan lagu Wayang Fajar yang menzahirkan kesatuan cinta dengan sentuhan dalam bentuk yang cukup cocok membawa pendengar mengembara jauh ke dalam hati dan perasaan Nik secara peribadi.

“Dan berdoa agar anak kita yang bakal lahir nanti menjadi orang yang berguna, yang gagah menentang ribut, lebih tegas dari api, benar katanya seperti nabi… amin… kau ucapkan… Marilah kupelukmu, biar ku cium alis matamu, benar… kita rasakan nikmatnya asmara… bulan madu itu…”

Seni rakyat

‘Seni untuk rakyat’. Bukan sekadar untuk merdeka jiwa raga, album ini memotret perihal kehidupan dan moral masyarakat 360 darjah, ahli politik tidak sedikit pun terkecuali.

Dengan gesekan biola, drum, gitar dan harmonika, muzik genre folk dan rock ini menggoncangkan, biarpun kita terpesona dengan bait-bait lagu dan doa yang indah.

Gerakan Rakyat Merdeka harus dimiliki oleh seluruh rakyat Malaysia. Dengan lagu yang lebih ekspressif dan berkualiti, harga RM20 sudah sangat berbaloi. Semoga ia mampu memberi impak dan menjadi titik tolak kearah proses pematangan berpolitik dan perubahan corak fikir masyarakat di Malaysia kearah yang lebih baik.

Untuk mendapatkan album ini, sila emel yellowboutique@gmail.com atau facebook di http://www.facebook.com/TheYellowBoutique?sk=info