Oleh: Hafiz Zainuddin
Salah satu kunci kepada karya yang baik ialah daya meyakinkan, yakni
sang pengkarya memberi makna dan menterjemahkan sisa-sisa yang kadang
terleka oleh kita, untuk melihat, menyucuk dan menekan pada luka lama
yang sudah dilupakan, agar kita sedar langit masih di atas dan kaki
masih di bumi.
Dan pekik laung sang pengkarya ini pun ternampak oleh mata kita akan
kewujudannya, tetapi jarang sekali dia mahu menonjol; lebih selesa
berada di belakang menghayunkan karyanya untuk dicerna deria-deria
kita..
Sang pengkarya ini ialah NikJidan, sepertimana rakyat yang tertekan
dengan keparahan sistem-sistem tertentu, dia mahu berkongsi rasa agar
dapat membuktikan semangat manusiawi tidak ditelan ketamakan. Beliau
hamburkan melalui persalaman, didahului getar suara untuk kita akali,
hadami, dan fikirkan.
“…sampaikan salam di angin lalu,
buat semua yang hidup,
buat semua yang mati…” – Salam
Tidak keterlaluan kesemua tujuh buah lagu dari album Gerakan Rakyat
Merdeka ini, kalau dikatakan ia lebih dekat dengan doa berbanding
‘sebuah lagi album’ jika diperhayati.
Album ketiga NikJidan
Gerakan Rakyat Merdeka merupakan album ketiga NikJidan selepas album
Garisan Abstrak dan Javidnamah, masing-masing dilancarkan pada tahun
2007 dan 2009. Mesejnya jelas, ayuh bangkit dari kebodohan, kebobrokkan
penguasa zalim, melawan ketidakadilan dan salah guna kuasa.
Berbanding dua albumnya sebelum ini, karya terbarunya ini lebih
matang, lebih-lebih lagi kalau kita tahu pemuzik jalanan ini sudah pun
bertemu jodohnya untuk melangkah ke alam baru berkongsi hidup bersama
si-dia yang tercinta.
Terilham dari celah-celah lorong sempit, yang hanyir baunya, bila
malamnya dipenuhi dengan gelandangan-gelandangan bisu. Bukan bisu!
Mereka cuma tidak berbuat apa-apa, tidak melampiaskan rasa muak terhadap
apa yang mereka gagal kecapi.
Inilah paparan realiti, paranoia dan sisi-sisi kompleks manusiawi;
hadiah NikJidan kepada pendengar agar jiwarasa kita dapat merdeka dari
pembodohan dan kecelaruan kata mereka di atas sana.
Kemulusan NikJidan, kejayaan rakaman dan penerbitan album ini diharap
dapat memberi kesedaran berdemokrasi kepada masyarakat seluruhnya pada
masa yang sama beliau sangat menggalakkan penglibatan lebih ramai
seniman jalanan yang lain untuk menghasilkan album.
Menurutnya lagi, muzik harus dibebaskan dan berpijak di bumi yang
nyata dimana seni, masyarakat dan politik adalah saling memerlukan. Dari
situ akan wujud keseimbangan pada masa yang sama meluaskan lagi ruang
penerimaan pendengar.
Hidup di lorong dan mencari hidayah
Gerakan Rakyat Merdeka merupakan bingkisan terbaik dari jalan-jalan sesak dan lorong-lorong sempit sekitar Kuala Lumpur;
“Jangan malu pada anjing, kita menyalak tak mengacau, oh Francis
di depan pintu kaca kami semua tertanya-tanya: Apakah kau SB atau memang
benar orang gila? Namun jawabmu… Aku juga manusia” –Francis Depan Pintu Kaca
Anjing apa yang dimaksudkan NikJidan? Anjing bertuan yang terkurung
di dalam atau anjing sesat yang mengacau orang ramai? Tetapi tidak
seperti yang taksub dengan karya sendiri, lagu ini cepat menunjukkan
rasa kemanusiaan tinggi apabila sang pengkarya menonjolkan “aku juga
manusia”. Ada baik, ada salah, bergantung kepada pandangan moral
masyarakat.
Dan melalui Bulan Tak Pernah Salah, sekali lagi, dan lebih penting
terutamanya apabila kekosongan menjajah jiwa, tuhan menjadi tempat kita
untuk merujuk, memberikan rasa selesa, aman dan tenang, biarlah apapun,
asal tuhan ada.
“Tuhan…berikan hidayah, tetapkanlah aku mengingatimu, lebih-lebih lagi disaat aku sedang marah menjalani takdir indah ini…”
Antara menunduk, ia kembali pula untuk mengingatkan pendengar akan asam garam kejahatan dalam sistem sosial ini.
“…masam asam jawa boleh kau tahan, masam bau taik di tangan
penjajahan, orang berteriak mencari kebenaran, namun kebenaran amat
sukar dijelaskan, realistik kejam, politik hitam, rompak harta rakyat,
terbukti itu haram…” – Revolusi Muzik
Demokrasi dan kesatuan cinta
Mungkin dengan sebuah ‘revolusi’ tidak cukup, apatah lagi jika
revolusi itu membelakangi semangat demokrasi. Oleh sebab itu, NikJidan
pergi lebih dalam.Lagu keenam, Demokrasi Basi tanpa bermadah mengutuk
amalan pemimpin negara atas janji-janji palsu dan salah guna wang negara
untuk kepentingan peribadi dengan kasar dan keras.
“Lambat Lambat Lambat Lambat menunggu siang, Kejam Kejam Kejam
Kejam orang menghentam. Dua Dua Dua Dua saling bercakaran, Demokrasi
Demokrasi anjing kurap…. Jadi Jadi Jadi Jadilah demokrasi ini, Jadi Jadi
Jadi Jadilah jangan basi auwww… Panas Panas Panas semakin panas, Caci
maki gila kuasa makin menggila, Juta juta duit rakyat kuasawan songlap,
Bini PM bini menteri kuatnya joli.!”
Demokrasi Basi berbeza dengan lagu Wayang Fajar yang menzahirkan
kesatuan cinta dengan sentuhan dalam bentuk yang cukup cocok membawa
pendengar mengembara jauh ke dalam hati dan perasaan Nik secara
peribadi.
“Dan berdoa agar anak kita yang bakal lahir nanti menjadi orang
yang berguna, yang gagah menentang ribut, lebih tegas dari api, benar
katanya seperti nabi… amin… kau ucapkan… Marilah kupelukmu, biar ku cium
alis matamu, benar… kita rasakan nikmatnya asmara… bulan madu itu…”
Seni rakyat
‘Seni untuk rakyat’. Bukan sekadar untuk merdeka jiwa raga, album ini
memotret perihal kehidupan dan moral masyarakat 360 darjah, ahli
politik tidak sedikit pun terkecuali.
Dengan gesekan biola, drum, gitar dan harmonika, muzik genre folk dan
rock ini menggoncangkan, biarpun kita terpesona dengan bait-bait lagu
dan doa yang indah.
Gerakan Rakyat Merdeka harus dimiliki oleh seluruh rakyat Malaysia.
Dengan lagu yang lebih ekspressif dan berkualiti, harga RM20 sudah
sangat berbaloi. Semoga ia mampu memberi impak dan menjadi titik tolak
kearah proses pematangan berpolitik dan perubahan corak fikir masyarakat
di Malaysia kearah yang lebih baik.
Untuk mendapatkan album ini, sila emel yellowboutique@gmail.com atau facebook di http://www.facebook.com/TheYellowBoutique?sk=info
No comments:
Post a Comment