03 August 2012

Tabik buat MerdekaReview

Oleh: Hafiz Zainuddin

Ia bukanlah sebuah medium maklumat semberono yang memuntahkan segala caci maki dan fitnah. Jauh sekali untuk melagakan antara kaum dan agama.  Sifatnya murni, menjadi sebuah medium perantara yang bebas, agar rakyat Malaysia dapat membuat penilaian dan pemerhatian yang tidak canggung terhadap Malaysia dan pemain-pemain politiknya.

Ditubuhkan pada 31 Ogos 2005, MerdekaReview genap berusia 8 tahun pada 31 Ogos nanti di mana ia akan menamatkan seluruh operasinya.

Kita akan kehilangan sebuah media bebas yang berintegriti dan mulai hari ini, 2 Ogos 2012, secara rasmi laman web Merdeka Review berbahasa Malaysia menamatkan operasi mereka. Tidak lain, penamatan operasi ini atas sebaba mengalami masalah kewangan dan dana untuk membiayai operasi.

MerdekaReview bukalah sebuah media milik mana-mana parti politik. Mereka juga tidak dibiayai oleh orang politik tertentu yang berkepentingan. Pernah dituduh dimiliki MCA, dan pernah juga dicop sebagai lidah DAP. Walhal, MerdekaReview bukanlah di antara kedua-duanya. Mereka berada di  tengah, melaporkan berita, memuatkan rencana-rencana berkualiti untuk tatapan kita seluruh warga Malaysia.

Justeru, kes penamatan operasi MerdekaReview bukanlah yang pertama kali kita pernah dengar. Dalam proses pematangan demokrasi dan politik Malaysia, medium maklumat online merupakan antara medium terbaik, murah dan pantas memberi laporan. Penamatan operasi Merdekareview adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

Media bebas dan berintegriti

Kehadiran media yang melabelkan diri sebagai ‘bebas’ sering menimbulkan persepsi negatif sebahagian masyarakat. “Bebas tu bebaslah, tapi pro mana?” Soalan begini biasa saja muncul dan dialami sendiri oleh saya.

Beginilah kita di Malaysia. Budaya media, pergaulan dan pemahaman kita sering terjerumus dalam lembah hitam putih. Kita distrukturkan dalam kotak tertentu sehinggakan pola fikiran dan pemahaman kita sendiri tertambat.

Selain dari persoalan ‘bebas’, seperkara lagi yang penting adalah apakah maklumat yang diberikan tersebut benar, tepat dan berintegriti? Jadi, sama ada ia medium bebas yang tidak berproksikan mana-mana pertubuhan atau parti politik, kebenaran laporan dan fakta itu sangat penting. Lainlah kalau ada pihak yang menghalalkan sendiri ‘putarbelit’ seperti Utusan dan cybertroopers UMNO-BN.

Sokongan dan dokongan ke atas media bebas

Secara peribadi, MerdekaReview telah banyak memberi peluang dan tunjuk ajar kepada saya sendiri sebelum melangkah lebih jauh sebagai wartawan di Roketkini.com. Ingin saya merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan atas tunjuk ajar yang diberikan oleh saudara Lim Hong Siang selaku Editor MerdekaReview Bahasa Malaysia yang tidak jemu memberi tunjuk ajar dan panduan ke atas tulisan-tulisan saya.

Kita mengharapkan, agar semangat dan khidmat yang telah diberikan bukan sahaja oleh MerdekaReview tetapi juga media bebas dan berintegriti yang lain agar mendapat sokongan dan terus berkembang mencorak pemikiran masyarakat yang matang.

Media bebas seperti MerdekaReview harus diberi galakan dan sokongan oleh semua lapisan masyarakat termasuklah kalangan masyarakat sivik dan NGO. Bukan demi kepentingan politik tertentu tetapi agar ia mampu membuahkan sebuah manifestasi matang rakyat dalam menilai kearah Malaysia yang lebih bersih, adil dan progresif.

Selamat tinggal dan tabik buat MerdekaReview. – Roketkini.com

20 January 2012

Kilometer-Batu 1

Dari Ipoh, perjalanan melalui Kuala Kangsar untuk ke Lenggong taklah terlalu jauh. Cuma kalau dikira panas matahari dan penat, juga, taklah terlalu berbaloi. Memandangkan sebelum ni pernah terniat untuk ke Tasik Raban, kira okaylah berjalan lagipun hari cuti. Lebih-lebih lagi bersama seorang lagi teman dari Kuala Lumpur yang ingin menyambut tahun baru di Ipoh katanya. Entah apa seronok di Ipoh tak taulah. Dari dulu sampai sekarang-Ipoh macam biasa saja. Segan-segan dan bosan.

06 January 2012

Novel Amerika untuk bacaan monyet, babun, atau spesies lain yang tinggal di Sepilok?

Lima Bintang Ridwan Saidi
Oleh: Wahyudi Yunus

Cuma ada dua kategori novel. Pertama, novel yang berbaloi untuk dibaca. Kedua, novel yang tak berbaloi langsung untuk disebutkan tentangnya. Selebihnya cuma politiking sama ada oleh si penulis, penerbit, atau penulis ulasan novel itu. Menurut capaian Google ke atas pautan blog-blog, Amerika dicap sebagai anti-thesis kepada novel skema Alaf 21 – kalaulah aku tahu novel skema Alaf 21 tu apa benda. Membaca ulasan-ulasan ini, buat aku percaya Amerika jatuh di kategori yang pertama.

Aku jenguk blog Binfilem memandangkan Ridhwan masih membebel tentang buku yang ditulisnya. Daripada entri yang aku baca, Ridhwan tak suka tulisan skema. Bagi Ridhwan, tulisan budak skema ni bosan. Tanpa berlengah lagi, aku buat kesimpulan Ridhwan sudah berhasil menemukan formula menulis novel yang tak skema. Dia telah menemukan antidot untuk kebosanan buku teks sastra KBSM. Aku letakkan harapan besar. Harapan aku, setidaknya novel ini akan membuatkan Jayzuan pulang rumah, masuk bilik air, putar pili air, kemudian meraung sekuat hati.

Apa yang ditulis untuk menjadikan novel itu tak skema?

Murshid Merican. Pemuda yang tinggal di Kuala Lumpur. Bekerja sebagai arkitek di Brickfields. Selain teruja dengan bidang yang diceburinya, Murshid seorang yang peka dengan sekelilingnya. Murshid seorang pemerhati. Dari ayam yang tergantung di restoran sampailah baka anjing bosnya. Pemerhatian Murshid tidak habis di situ, Murshid merasakan ada sesuatu tak kena dengan apa yang sedang berlangsung di depan matanya. Ada sesuatu yang perlu diubah. Sama ada rekaan bangunan, mahupun pemikiran pekerja sektor seni bina.

Pemandu teksi yang suka ‘ketuk’ penumpang warga asing, kesetiakawanan pemandu teksi yang tak prinsipal, polis pemalas yang pemalas, orang Cina suka minum teh, flat pinggir bandar dipenuhi imigran, peniaga Petaling Street suka pau orang, bapok-bapok yang suka menyakat orang – Sebenarnya kau cuma perlu merayau sehari semalam di kotaraya untuk tahu benda ni. Berapa lama Murshid dah duduk KL agaknya?
Tabiat (buruk) aku, bila membaca buku aku tak mahu diberitahu tentang benda yang aku rasa semua orang dah tahu. Pembaca bukan monyet yang kau perlu latih untuk panjat pokok kelapa, walaupun kebanyakan pembaca suka menganggap dirinya begitu. Aku mahu tahu apa yang ramai orang tak tahu. Aku mahu tahu pasal bapok yang jual burger depan 7E Jalan Thambypillai, setiap kali ada pelanggan, ada bapok lain take over. Aku mahu tahu kenapa Uncle yang suka gantung bendera di basikalnya minat Liverpool? Kenapa bukan Manchester, Chelsea, Arsenal? Kalau kau tak pernah nampak Uncle ni, kau tak sampai lagi Brickfields.

Udang di sebalik mee maggie

Kalau buku adalah (sebahagian daripada) kehidupan, tidak ada salahnya jika ada bahagian membosankan. 7-8 muka surat yang bertujuan untuk menguji kesabaran pembaca, membuat pembaca mengantuk, terseksa, penderaan mental untuk memastikan si pembaca layak mendapat hikmah yang tersembunyi di sebalik ratusan muka surat lain. Bukankah kebanyakan benda-benda merepek yang mengelilingi kita siang malam sebenarnya datang dari kebosanan? Membaca bab-bab awal Amerika, aku tekap tapak tangan di dada ala Sieg Heil, memohon diberi kesabaran dan kekuatan untuk menyelak muka surat seterusnya. Sabar, ada udang di sebalik mee maggie Ridhwan Saidi!

Aku tak tahu apa Wikipedia cakap pasal “stream of collective conciousness”. Daripada terma, aku faham sebagai setiap satu dari kita mewakili kumpulan tertentu dari aspek conscience. Contohnya, kalau aku rasa maggie kari lebih sedap daripada maggie ayam, aku percaya bukan aku sendiri yang fikir begitu. Ada orang lain di luar sana yang fikir benda sama. Tapi betul ke novel ni guna stream of collective conciusness seperti yang dikatakan Ridhwan dalam blognya? Apa kaitan penggunaan ‘aku’ dan ‘saya’ dengan collective consciense? Apakah sebab Ridhwan mewakili tiga conscience yang sama (aku, saya, Murshid)?

Daripada apa yang aku faham, perkataan collective jika dibuang lebih tepat untuk mengkategorikan novel ini, kalau kau jenis yang berminat dengan jargon-jargon teknikal macam ini. Stream of conciousness – mod naratif lirikal yang berpusar dalam semesta akal satu-satu watak. Aku maksudkan nama-nama seperti Doestoevsky, Hamsun, Henry Miller. Orang-orang ini adalah master dalam soal membebel isi kepala sendiri. Tapi menulis gaya begini bukan kerja mudah, setiap kali kau bersuara, akan ada suara-suara lain yang kau dengar. Stream of conciuosness adalah ibarat si penulis melakukan autopsi ke atas dirinya sendiri. Ridhwan bukan koroner yang jujur, malangnya.

“Inspirasi saya untuk penggunaan aku-saya itu datang dari surat Salleh ben Joned kepada Redza Piyadasa perihal ‘seni kencing’. Mulanya saya sangkakan apa yang saya buat ini sudah dibuat, tetapi bila saya check balik, rupanya dalam surat itu penggunaan kata ganti nama pertama itu bertukar antara aku dan saya dalam baris ayat yang berbeza. Apa yang saya lakukan lebih ekstrem di mana ia berlaku dalam satu ayat, dan patut lah pelik semacam ha ha ha.”

Aku tak tahu perlu ketawa atau menangis ketika Ridhwan ketawakan dirinya sendiri. Apa yang pelik bagi aku adalah apabila Ridhwan terlupa bahawa teks surat yang dibacanya itu sebenarnya adalah terjemahan. Surat Salleh kepada Redza Piyadasa yang diterjemahkan dari buku As I Please. Si penterjemah bukan ahli bahasa atau seseorang yang cerdik bermain bahasa-bahasa canggih. Si penterjemah ini tidak dapat memikirkan struktur ayat yang lebih baik untuk menggambarkan atitude penulisan Salleh. Dengan membezakan penggunaan ‘aku’ dan ‘saya’, si penterjemah fikir pembaca akan dapat gambaran anti-keseriusan yang antara lain cuba disampaikan dalam surat itu. Macam mana aku tahu si penterjemah fikir begini? Aku tahulah.
Lupakan aku, lupakan saya. Kita anggap ini eksperimen dari Ridhwan untuk menguji berapa skizo pembaca boleh jadi. Kembali kepada Amerika. Amerika adalah monolog Ridhwan. Monolog yang berbunyi seperti Ustazah Robayah. “Semua orang akan meninggalkan dunia yang fana”. Orang tua Alzheimer pun aku fikir tahu dia akan mati. Apa point bagitahu benda yang semua orang dah tahu? Perkataan ‘kota kotor’ untuk setiap ‘Kuala Lumpur’ berhamburan di helaian muka surat seakan-akan baru semalam Kuala Lumpur menjadi kotor. Metafora atau literal, aku fikir semua orang tahu ‘kotor’ apa yang dimaksudkan. Pengulangan sebegini, sekali lagi, buat aku fikir buku ini ditulis untuk monyet, babun, atau spesies lain yang tinggal di Sepilok.

Minum dulu, membebel lepas gelas ketujuh.

Aku masih ragu kalau watak Murshid bukan seorang pengawas sekolah, ketua kelas, atau setidaknya pengawas pusat sumber. Pengawas pusat sumber, seperti yang semua orang sedia maklum, adalah lelaki bertali leher hijau dengan rambut sikat tepi yang tak ada kerja lain selain meletakkan jari hantu di mulutnya, suruh orang lain jangan buat bising. Daripada terus menuliskan saja pengalamannya (pengalaman sebenar atau pengalaman imaginasi), Ridhwan memilih menyibukkan diri mencari hujah untuk mengesahkan setiap tindak-tanduk Murshid. Ini sesuatu yang aku fikir akan membuat Bertolt Brecht kecil hati. Lagi malang, bebelan ini tak ubah seperti mendengar ceramah perdana. Logik atau tak logik, kelihatan cerdik atau kelihatan bodoh, disiplin-disiplin sebegini berbekas kuat pada setiap pandangan yang cuba disampaikan.

Ridhwan, maksud aku Murshid, tak suka bir, dia suka wain. Atau setidaknya, Murshid fikir dia suka wain. Murshid datang dengan hujah Omar Khayam tentang halal-haram minum wain. Aku turut dicelikkan dengan istilah hedonisme baik dan hedonisme buruk, sosialisme sebagai jalan keluar kapitalisme, dan hitam-putih lain dalam membincangkan siapa yang harus pindah keluar – masyarakat bebal atau orang genius seperti Murshid. Murshid tak pernah terfikir macam mana masyarakat bebal ini boleh wujud sampai sekarang tanpa pedoman daripada orang genius sepertinya. Apa yang aku nampak, Murshid masih duduk di bawah tempurung yang cuma wujud dua benda: Baik-Jahat. Tidakkah si penulis terfikir, sebagai seorang yang menggambarkan dirinya hendak melanggar disiplin penulisan, dia masih gagal melepasi disiplin pemikirannya?

Ironinya, hal ini yang cuba disampaikan oleh Salleh dalam suratnya yang dikatakan turut mengilhami novel ini. Sikap dua hala: terima mentah-mentah, atau tolak mentah-mentah. Semasa membaca, aku seperti sedang duduk mencangkung mendengar seorang retorik politikus yang berucap di pentas. Ridhwan sentiasa membayangkan dirinya berada di atas pembaca. Sikap merendahkan pemikiran pembaca ini tidak pula ditutup dengan hujah yang jelas – setakat pembacaan aku.

Kenapa aku tak berminat cerita pasal Kafka ke, watak Dahlia yang suka membebel lepas ‘main’ ke, atau aspek-aspek deep lain yang dikaitkan dengan buku Amerika yang disambut oleh ulasan-ulasan lemau seperti sesuatu yang sensasional? Pertama, Kafka tak lebih dari seekor binatang yang menyusahkan. Kedua, adegan seks separuh masak ini boleh menyebabkan mood monopause kepada pembaca. Bahasa mudahnya, ‘potong stim’. Baru saja si pembaca membayangkan tandas dan bersyukur dikurniakan tangan, kemudian tiba-tiba si Dahlia sibuk bercakap pasal ‘sastra’. Wahai perempuan, engkau sendiri adalah karya sastra. Kafka pasti setuju dengan aku.

Selepas ‘main’ alangkah moleknya Murshid dan Dahlia ni masuk bilik air mandi sama-sama sambil menyanyi lagu Mulan Jamilah. Murshid tolong sabunkan badan Dahlia sambil Dahlia menari di bawah pancuran air. Dahlia menggeliat setiap kali sabun melalui bulu pubisnya. Sambil mencubit Murshid, Dahlia berkata “Nakalnya kau”. Kecuali Ridhwan lebih berminat untuk menyampaikan moral-moral lain seperti memberitahu pembaca bahawa mereka sedang berada di jalan yang benar, iaitu membaca novel sastra yang bercerita pasal buku sastra.

Aku tidak bercadang untuk membayangkan bahawa akhirnya ada sesuatu yang aku hargai dalam novel Amerika kerana aku belum habis baca. Tidak bercadang. Aku dah mabuk dengan dialog-dialog perbualan Yusuf Haslam yang berlebihan yang kononnya diparodikan dalam novel ini. Kalau betul wujud unsur parodi, aku percaya keseluruhan novel ini adalah parodi. Parodi tentang penulis yang duduk di bawah sepanduk ‘indipenden’, ‘tak skema’, ‘anti-DBP’, dan entah apa lagi jargon pengkelasan merepek. Perkataan-perkataan canggih kau-tahu-apa, dan perkataan lain seperti ‘kebejatan’, ‘kebobrokan’, tak berbaloi habiskan masa baca buku yang kau tak suka. Sekadar mengungkapkan sesuatu dalam ‘gaya sastra tertentu’, tak ada masalah, kalau kau cuba bermain-main. Tapi budak-budak cerdik warung Diskopi tahu, manusia sudah lama bosan dengan permainan ini.

Amerika adalah kumpulan 70,000 perkataan. Tak lebih. Ridhwan cuma mahu 5 bintang di Goodreads. Dan aku rasa pembaca negara kita bukan terdiri daripada mereka yang cerewet dan kedekut. Mereka sangat pemurah untuk kagum dengan benda ‘pelik-pelik’, ‘misteri’, hal-hal yang tidak memerlukan mereka berfikir. Memandangkan Ridhwan seorang yang menggunakan ‘fikirasa’ Salleh, aku suka petik dalam satu esei Salleh (buku Nothing Is Sacred): “So, scribblers and bullshitters of Malaysia, unite! In one homogoneous voice, be canggih and cincai all the way to the year 2020. You have nothing to lose but your brains”.

Wahyudi Yunus, seorang penulis yang berkerja di Brickfields.
Tulisan ini diambil dari Jalantelawi.com