Oleh: Hafiz Zainuddin
Ia bukanlah sebuah medium maklumat semberono yang memuntahkan segala
caci maki dan fitnah. Jauh sekali untuk melagakan antara kaum dan agama.
Sifatnya murni, menjadi sebuah medium perantara yang bebas, agar
rakyat Malaysia dapat membuat penilaian dan pemerhatian yang tidak
canggung terhadap Malaysia dan pemain-pemain politiknya.
Ditubuhkan pada 31 Ogos 2005, MerdekaReview genap berusia 8 tahun
pada 31 Ogos nanti di mana ia akan menamatkan seluruh operasinya.
Kita akan kehilangan sebuah media bebas yang berintegriti dan mulai
hari ini, 2 Ogos 2012, secara rasmi laman web Merdeka Review berbahasa
Malaysia menamatkan operasi mereka. Tidak lain, penamatan operasi ini
atas sebaba mengalami masalah kewangan dan dana untuk membiayai operasi.
MerdekaReview bukalah sebuah media milik mana-mana parti politik.
Mereka juga tidak dibiayai oleh orang politik tertentu yang
berkepentingan. Pernah dituduh dimiliki MCA, dan pernah juga dicop
sebagai lidah DAP. Walhal, MerdekaReview bukanlah di antara
kedua-duanya. Mereka berada di tengah, melaporkan berita, memuatkan
rencana-rencana berkualiti untuk tatapan kita seluruh warga Malaysia.
Justeru, kes penamatan operasi MerdekaReview bukanlah yang pertama
kali kita pernah dengar. Dalam proses pematangan demokrasi dan politik
Malaysia, medium maklumat online merupakan antara medium terbaik, murah
dan pantas memberi laporan. Penamatan operasi Merdekareview adalah
sesuatu yang amat mendukacitakan.
Media bebas dan berintegriti
Kehadiran media yang melabelkan diri sebagai ‘bebas’ sering
menimbulkan persepsi negatif sebahagian masyarakat. “Bebas tu bebaslah,
tapi pro mana?” Soalan begini biasa saja muncul dan dialami sendiri oleh
saya.
Beginilah kita di Malaysia. Budaya media, pergaulan dan pemahaman
kita sering terjerumus dalam lembah hitam putih. Kita distrukturkan
dalam kotak tertentu sehinggakan pola fikiran dan pemahaman kita sendiri
tertambat.
Selain dari persoalan ‘bebas’, seperkara lagi yang penting adalah
apakah maklumat yang diberikan tersebut benar, tepat dan berintegriti?
Jadi, sama ada ia medium bebas yang tidak berproksikan mana-mana
pertubuhan atau parti politik, kebenaran laporan dan fakta itu sangat
penting. Lainlah kalau ada pihak yang menghalalkan sendiri ‘putarbelit’
seperti Utusan dan cybertroopers UMNO-BN.
Sokongan dan dokongan ke atas media bebas
Secara peribadi, MerdekaReview telah banyak memberi peluang dan
tunjuk ajar kepada saya sendiri sebelum melangkah lebih jauh sebagai
wartawan di Roketkini.com. Ingin saya merakamkan jutaan terima kasih dan
penghargaan atas tunjuk ajar yang diberikan oleh saudara Lim Hong Siang
selaku Editor MerdekaReview Bahasa Malaysia yang tidak jemu memberi
tunjuk ajar dan panduan ke atas tulisan-tulisan saya.
Kita mengharapkan, agar semangat dan khidmat yang telah diberikan
bukan sahaja oleh MerdekaReview tetapi juga media bebas dan berintegriti
yang lain agar mendapat sokongan dan terus berkembang mencorak
pemikiran masyarakat yang matang.
Media bebas seperti MerdekaReview harus diberi galakan dan sokongan
oleh semua lapisan masyarakat termasuklah kalangan masyarakat sivik dan
NGO. Bukan demi kepentingan politik tertentu tetapi agar ia mampu
membuahkan sebuah manifestasi matang rakyat dalam menilai kearah
Malaysia yang lebih bersih, adil dan progresif.
Selamat tinggal dan tabik buat MerdekaReview. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment