BILA orang buat buku, aku pun rasa macam nak buat buku. Tapi istilah buku ni aku sendiri tak berapa nak faham. Ada beza sebenarnya antara buku yang boleh dijulang jadi karya agung, dan ada benda yang nampak macam senaskhah himpunan kertas hasil tulisan zaman-berzaman yang dihempuk bersekali dan digelar buku.
Kategori kedua ini buat aku pun rasa macam nak ada buku macam tu. Membukukan tulisan ni bukannya susah mana. Cari balik tulisan-tulisan lama di blog, diari, kertas keras di belakang buku jawapan karangan BM zaman sekolah, susun-susun, kerat, tampal, ikat, jadilah buku.
Ada sesetengah dari kalangan buku yang macam ini nilainya tinggi bagi mata yang reti menilai. Dan ada pula spesis manusia perasan hebat yang meletakkan buku yang semacam ini sekadar gumpalan kertas budak-budak baru nak meningkat dewasa dan bereksperimen dengan diri yang dirasanya seorang penulis.
Zaman sekarang ni ramai anak muda yang cuba memilih jalan menjadi penulis. Kalau agak-agak macam menghampiri kegagalan, mulalah murung bersedih dan kemudian tulis puisi-puisi cinta. Bermula dari puisi, pantun, diari, blog dan akhirnya kemurungan dan kemarahan menghasilkan rencana-rencana politik membahas isu semasa.
Ini kerja anak muda zaman sekarang yang sentiasa mencari-cari jalan untuk meluahkan isi hati. Kepala otak begini diimami hati yang sarat dengan luka bernanah yang tak pernah sembuh walaupun sebuluh ribu kali mencari cinta-cinta yang lain untuk dijadikan baldi buat tadah curahan rasa kecewa dengan cinta, wang, keluarga dan kehidupan secara amnya.
Benda-benda yang ditulis hasil emosi yang begini sebenarnya punya nilai tinggi. Bukan semua orang mampu terjemahkan rasa hati dan buah fikiran menjadi baris-baris kata-kata yang menangkap sanubari dan imaginasi pembaca. Bukan semua anak muda penggiat seni tepi jalan atau yang naik turun tangga kuliah penulisan kreatif boleh menuliskan perasaan dan bunyi-bunyian degup jantung penuh keresahan.
Kau, aku, kita semua sentiasa mencari jalan untuk meluahkan keresahan. Semua orang sentiasa berusaha mencari dan menekan butang ‘Escape’ untuk lari dan mengelak dari berdepan dengan masalah-masalah yang menghurung setiap saat bagaikan bayang-bayang di tengah hari rembang. Semua orang punya resah dan gelisah, namun tak semua berjaya menceritakan resahnya buat tatapan khalayak.
Pun begitu, ramai juga yang terus mencuba. Dari sekontot tulisan di Twitter dan sepanjang-panjang novel dua tiga jilid, manusia akan terus mencuba untuk memperdengarkan resahnya kepada yang sudi peduli. Mereka yang tidak peduli boleh pergi mati. Macamlah mereka itu tidak ada resah yang mahu dikongsi.
Berkarya adalah jalan keluar bagi kebanyakan umat manusia. Tidak kira melalui tulisan, lagu, tarian, lukisan, apa jua cara yang ada akan digunakan manusia untuk meletakkan kepala otaknya dalam keadaan yang tidak meresahkan, dan dadanya lapang dari sebarang kerisauan.
Ini yang dilakukan dua kawan saya. Seorang namanya Hafiz Zainuddin dan seorang lagi Zhafir Zakaria.
Dua anak muda ini punya pengikut dan khalayak tersendiri. Hafiz sedang meningkat nama dengan buku terbarunya yang diberi nama Lesong manakala Zhafir turut ‘tumpang toi’ di meja jualan Hafiz di KL Alternative Bookfest dengan naskhah yang diberi nama Merendang. Aku sumpah tak faham apa kena-mengena tajuk-tajuk itu dengan isi kandungan naskhah masing-masing, tapi suka hati dialah, buku dia.
Hafiz dan Zhafir kedua-duanya bekas wartawan, meski tidak punya latihan khas dalam bidang tersebut. Keduanya hadir dalam bidang kewartawanan sebagai penulis. Dan mereka hanya tahu menulis. Menulis adalah kerja yang menjadi penyambung nadi dan sebab utama kepada setiap denyutan jantung ramai manusia.
Dua budak muda ini kini punya buku dengan nama masing-masing. Keduanya kini beroleh untung dengan menjual karya dan menjaja cerita tulisan masing-masing dengan bersenjatakan bahasa.
Senjata bahasa ini tajam sekali. Bukan pena yang tajam, tetapi hasil yang ditulis itu yang boleh menyisakan luka pedih di hati orang yang berkait kena. Pena memang tajam, cuba tikam belakang kepala siapa-siapa yang kau benci. Tapi itu kesannya sekejap saja. Tulisan yang lahir dari pena-pena ini meninggalkan luka yang lebih dalam dan berdarah bernanah untuk jangka masa yang lebih panjang.
Luka dan nanah yang tidak dapat dilihat mata itu lah kecederaan maha abadi yang tidak dapat ditanggung tubuh manusia biasa; kecuali kalau dia pula menulis dan meluahkan kesakitannya itu untuk tatapan manusia malang lain.
Lesong dan Merendang adalah tamparan kepada aku si manusia yang belum berani untuk menjaja kata dalam naskhah kompilasi yang kemudiannya diletakkan harga. Seperti juga ramai orang lain yang menulis dan punya impian menjaja tulisan supaya kaya dan ternama; aku juga ada hasrat untuk menjadi penulis berbuku.
Tapi kalau sendiri punya kerja pun tak boleh diletak harga, masakan mampu aku jual karya dengan tukaran wang ringgit.
Zaman kian hampir ke saat penulis yang melakar kata demi mempengaruhi dan menggugat fikiran orang ramai supaya kritis terhadap keadaan sekeliling terpaksa menjual kemahirannya demi sepinggan nasi panas, telur dadar dan sup kosong bernilai tiga ringgit sekali makan. Ini zaman GST tanpa kadar tetap. Zaman cukai dikenakan supaya politisi kekal sehat dan buncit. Zaman melawan dengan kata-kata, naskhah di tangan dan hati yang membara.
No comments:
Post a Comment