22 April 2014

Kusta dan Sungai Buloh: Sejarah yang dilupakan

Oleh: Hafiz Zainuddin

Dia tidak ke mana-mana. Dia tidak boleh ke mana-mana. Dia di situ hingga akhir usia di sebuah kawasan terpencil, diasingkan malah dibuang masyarakat akibat stigma dan salah faham. Di situ rumahnya, di situ juga nisan dipacak. Dia, bersama teman-teman senasib yang lain; mereka tidak memiliki apa-apa selain hubungan persahabatan yang kekal hingga ke akhir hayat. Itulah satu-satunya harta mereka, harta yang tidak mampu ditukar ganti dengan wang ringgit.


Buku Pertemuan di Pusara

Begitulah lazimnya kisah seorang penghidap kusta di sebuah daerah sunyi, mengharap kasih manusia dan menanggung rindu tak terperi.

Saya melangkah ke daerah ini dengan penuh tanda tanya dan bingung. Nyata betapa jahilnya saya mengenai tempat ini sejak sekian lama hidup di bumi Malaysia. Terasa betapa saya tidak bertanggungjawab dan tidak peduli pada sekelompok masyarakat yang telah lama terpinggir.

Saya berasa amat sedih kerana tidak melakukan sesuatu sebelum ini. Walhal, kusta bukan perkara baharu pernah saya dengar. Saya mendengar perkataan itu sejak kecil. Saya hanya tahu bahawa kusta ini penyakit ‘makan orang’. Orang yang menghidap kusta perlu dijauhi kerana berjangkit kononnya. Tidak kurang juga ada saranan dalam agama supaya menjauhkan diri dari penyakit kusta. 

Dengan pemahaman demikian, saya senang hati menyamakan kusta seperti penyakit-penyakit berbahaya yang lain tanpa saya ketahui bahawa di sini, di Sungai Buloh, sekumpulan insan penghidap kusta terasing dan, paling menyanyat hati, dipisahkan dari anak-anak darah daging sendiri. Kini, usia menghambat mereka tatkala kasih belum bertaut kembali.

Lembah Harapan: Penempatan kusta Sungai Buloh


Sungai Buloh. Di sini ada sebuah kawasan khas dibuka bagi menempatkan pesakit-pesakit kusta sejak 16 Ogos 1930 oleh kerajaan British. Tanah seluas 200 hektar ini diberi gelar Lembah Harapan (Valley of Hope). Ia merupakan pemukiman kedua pesakit kusta terbesar di dunia. Kini, sekitar 200 penghuni sahaja yang masih menetap, berbanding 2000 pesakit yang pernah direkodkan pernah menjadi warga Lembah Harapan ini.

Enakmen Kusta 1926 yang diluluskan Inggeris mengkehendaki sesiapa yang menghidapi kusta diasingkan. Mereka juga dilarang menggunakan pengangkutan awam, menginap di hotel atau pun menggunakan kemudahan awam. Ia bertujuan mengelak penyakit itu dari menular lebih-lebih lagi kerana keterbatasan kemudahan rawatan dan ketiadaan vaksin yang sempurna.

Sebelum pesakit kusta dimukimkan ke Lembah Harapan, mereka ditempatkan di beberapa kawasan berasingan di seluruh negara, antaranya di Setapak, Kuala Lumpur (dibuka pada 1893); Pulau Ketam, Klang; Pulau Serimbun, Melaka (1860); Pulau Jerejak, Pulau Pinang (1871); Pulau Pangkor Laut, Perak (1903); Tumpat, Kelantan; Tampoi, Johor Bharu (1927); Rajah Charles Brooke Memorial Hospital, Sarawak (1925); dan di Sungai Buloh. Mereka hidup dalam keadaan yang serba kekurangan, daif dan sengsara.

Sebaik Lembah Harapan dibuka dengan rasmi pada 16 Ogos 1930 oleh Dr Gordon Alexander Ryrie, Penguasa Perubatan pertama di Tanah Melayu, semua penempatan kusta di negeri dan kawasan terbabit ditutup manakala pesakit kusta sedia ada dipindahkan seluruhnya ke Lembah Harapan.

Seperkara yang unik, penghuni Lembah Harapan membentuk komuniti majmuk yang saling lengkap melengkapi dan wajar menjadi suri tauladan buat warga Malaysia. Mereka terdiri dari masyarakat Cina, Melayu, India, Serani, Siam dan sebagainya. Kini, banyak di kalangan mereka telah pun meninggal dunia dan sebahagian yang sembuh telah keluar membina hidup masing-masing.

Pada hari ini, yang masih kekal di Lembah Harapan ialah beberapa chalet kecil kediaman bekas pesakit kusta yang semakin hari semakin usang bersama deretan gerai menjual bunga-buangaan, kompleks kesihatan, wad bagi pesakit dan bekas pesakit kusta yang masih mendapatkan rawatan.-Roketkini.com

20 April 2014

Belasungkawa Harimau Jelutong!

Gambar ehsan Roketkini.com
Dia. Sosok yang tak jenuh melawan kegilaan dan haloba, yang lantang mempertahankan perlembagaan negara, kuat pendirian teguh perjuangan. Selamat jalan. Perjuanganmu akan terus bersahut!

11 April 2014

Lesong, Merendang dan hajat yang belum sampai Oleh Izmil Amri

Reviu buku Lesong dalam Roketkini.com

BILA orang buat buku, aku pun rasa macam nak buat buku. Tapi istilah buku ni aku sendiri tak berapa nak faham. Ada beza sebenarnya antara buku yang boleh dijulang jadi karya agung, dan ada benda yang nampak macam senaskhah himpunan kertas hasil tulisan zaman-berzaman yang dihempuk bersekali dan digelar buku.
Kategori kedua ini buat aku pun rasa macam nak ada buku macam tu. Membukukan tulisan ni bukannya susah mana. Cari balik tulisan-tulisan lama di blog, diari, kertas keras di belakang buku jawapan karangan BM zaman sekolah, susun-susun, kerat, tampal, ikat, jadilah buku.
Ada sesetengah dari kalangan buku yang macam ini nilainya tinggi bagi mata yang reti menilai. Dan ada pula spesis manusia perasan hebat yang meletakkan buku yang semacam ini sekadar gumpalan kertas budak-budak baru nak meningkat dewasa dan bereksperimen dengan diri yang dirasanya seorang penulis.

Zaman sekarang ni ramai anak muda yang cuba memilih jalan menjadi penulis. Kalau agak-agak macam menghampiri kegagalan, mulalah murung bersedih dan kemudian tulis puisi-puisi cinta. Bermula dari puisi, pantun, diari, blog dan akhirnya kemurungan dan kemarahan menghasilkan rencana-rencana politik membahas isu semasa.
Ini kerja anak muda zaman sekarang yang sentiasa mencari-cari jalan untuk meluahkan isi hati. Kepala otak begini diimami hati yang sarat dengan luka bernanah yang tak pernah sembuh walaupun sebuluh ribu kali mencari cinta-cinta yang lain untuk dijadikan baldi buat tadah curahan rasa kecewa dengan cinta, wang, keluarga dan kehidupan secara amnya.
Benda-benda yang ditulis hasil emosi yang begini sebenarnya punya nilai tinggi. Bukan semua orang mampu terjemahkan rasa hati dan buah fikiran menjadi baris-baris kata-kata yang menangkap sanubari dan imaginasi pembaca. Bukan semua anak muda penggiat seni tepi jalan atau yang naik turun tangga kuliah penulisan kreatif boleh menuliskan perasaan dan bunyi-bunyian degup jantung penuh keresahan.
Kau, aku, kita semua sentiasa mencari jalan untuk meluahkan keresahan. Semua orang sentiasa berusaha mencari dan menekan butang ‘Escape’ untuk lari dan mengelak dari berdepan dengan masalah-masalah yang menghurung setiap saat bagaikan bayang-bayang di tengah hari rembang. Semua orang punya resah dan gelisah, namun tak semua berjaya menceritakan resahnya buat tatapan khalayak.
Pun begitu, ramai juga yang terus mencuba. Dari sekontot tulisan di Twitter dan sepanjang-panjang novel dua tiga jilid, manusia akan terus mencuba untuk memperdengarkan resahnya kepada yang sudi peduli. Mereka yang tidak peduli boleh pergi mati. Macamlah mereka itu tidak ada resah yang mahu dikongsi.
Berkarya adalah jalan keluar bagi kebanyakan umat manusia. Tidak kira melalui tulisan, lagu, tarian, lukisan, apa jua cara yang ada akan digunakan manusia untuk meletakkan kepala otaknya dalam keadaan yang tidak meresahkan, dan dadanya lapang dari sebarang kerisauan.
Ini yang dilakukan dua kawan saya. Seorang namanya Hafiz Zainuddin dan seorang lagi Zhafir Zakaria.
Dua anak muda ini punya pengikut dan khalayak tersendiri. Hafiz sedang meningkat nama dengan buku terbarunya yang diberi nama Lesong manakala Zhafir turut ‘tumpang toi’ di meja jualan Hafiz di KL Alternative Bookfest dengan naskhah yang diberi nama Merendang. Aku sumpah tak faham apa kena-mengena tajuk-tajuk itu dengan isi kandungan naskhah masing-masing, tapi suka hati dialah, buku dia.
Hafiz dan Zhafir kedua-duanya bekas wartawan, meski tidak punya latihan khas dalam bidang tersebut. Keduanya hadir dalam bidang kewartawanan sebagai penulis. Dan mereka hanya tahu menulis. Menulis adalah kerja yang menjadi penyambung nadi dan sebab utama kepada setiap denyutan jantung ramai manusia.
Dua budak muda ini kini punya buku dengan nama masing-masing. Keduanya kini beroleh untung dengan menjual karya dan menjaja cerita tulisan masing-masing dengan bersenjatakan bahasa.
Senjata bahasa ini tajam sekali. Bukan pena yang tajam, tetapi hasil yang ditulis itu yang boleh menyisakan luka pedih di hati orang yang berkait kena. Pena memang tajam, cuba tikam belakang kepala siapa-siapa yang kau benci. Tapi itu kesannya sekejap saja. Tulisan yang lahir dari pena-pena ini meninggalkan luka yang lebih dalam dan berdarah bernanah untuk jangka masa yang lebih panjang.
Luka dan nanah yang tidak dapat dilihat mata itu lah kecederaan maha abadi yang tidak dapat ditanggung tubuh manusia biasa; kecuali kalau dia pula menulis dan meluahkan kesakitannya itu untuk tatapan manusia malang lain.
Lesong dan Merendang adalah tamparan kepada aku si manusia yang belum berani untuk menjaja kata dalam naskhah kompilasi yang kemudiannya diletakkan harga. Seperti juga ramai orang lain yang menulis dan punya impian menjaja tulisan supaya kaya dan ternama; aku juga ada hasrat untuk menjadi penulis berbuku.
Tapi kalau sendiri punya kerja pun tak boleh diletak harga, masakan mampu aku jual karya dengan tukaran wang ringgit.
Zaman kian hampir ke saat penulis yang melakar kata demi mempengaruhi dan menggugat fikiran orang ramai supaya kritis terhadap keadaan sekeliling terpaksa menjual kemahirannya demi sepinggan nasi panas, telur dadar dan sup kosong bernilai tiga ringgit sekali makan. Ini zaman GST tanpa kadar tetap. Zaman cukai dikenakan supaya politisi kekal sehat dan buncit. Zaman melawan dengan kata-kata, naskhah di tangan dan hati yang membara.