Oleh: Hafiz Zainuddin
Tiga malam terakhir di Kuala Lumpur, makin pudar roh Ramadan tenggelam dengan laungan “Murah-Murah-Murah” peniaga yang menyapa takdir rezeki dan menyambut Syawal yang bakal datang.
Sesak, meriah, asap, sedap dan bising. Inilah malam-malam terakhir Ramadan di Kuala Lumpur menyaksikan keghairahan warga kota membuat persiapan menjelang hari raya. Inilah juga peluang keluar malam buat mereka yang tidak gemar keluar malam, bukan kaki joli, bukan kaki shopping, bukan kaki mengeteh. Inilah masanya kita rajin-rajinkan menapak dan melihat sebahagian Kuala Lumpur sudah menjadi seperti Jakarta.
Di Jalan Raja Laut seperti ada ‘demonstrasi’. Penuh, Meriah…. Asalkan ada wang bak kata orang. Saya sudah awal seminggu lagi membeli baju Melayu baru. Maklumlah, sudah beberapa tahun tidak ada yang baru dalam hidup saya.
Khabarnya seperti tahun-tahun yang lalu, siang sehingga pagi di Kuala Lumpur akan jadi lebih sesak dari hari-hari normal. Barangan akan turun lebih murah sebab peniaga menjual untuk balik modal sahaja. Mereka pun mau balik berhari raya.
Bayar zakat
Malam ini malam adalah malam terakhir Ramadan. Sekarang, saya sudah pun berada di utara, kampung halaman saya. Sementara saya berada di sekitar jalan Chow Kit semalam, sempatlah saya singgah ke Pejabat PAS membayar zakat fitrah naik ke tingkat satu.
Sebelum ini pun saya bayar kepada PAS cawangan kampung saya juga. Ini bukanlah bererti saya tak percaya kepada majlis agama Islam. Saya cuma tak mahu wang zakat fitrah saya ditabur buat biaya itu dan ini yang tak ada kena-mengena dengan tujuan zakat itu sendiri seperti kes biaya menteri yang jadi kecoh awal tahun ini. Ish. Tak mahulah saya.
Bagi saya, kalau beri zakat bersama PAS, nampak arah tuju dan infak wang kita. Ahli DAP yang muslim macam saya ni pun bayar zakat juga, begitu juga dengan yang lainnya. Bukanlah menunjuk-nunjuk tapi berasa hati bila ada mulut sedap-sedap tuduh saya kafir harbi. Saya anak Malaysia, saya orang Melayu, beraqidah Islam, mentauhidkan Tuhan dan menjadi ahli DAP. Mana salahnya? Kalau salah, buktikan dan adililah.
Imbau kembali 1 Ramadhan
Hari pertama Ramadhan, sudah tentu ghairah makannya tinggi. Tetapi saya mengambil keputusan mengajak seorang teman berbuka di Masjid Jamek Kuala Lumpur sahaja. Kami tiba disana sekitar jam 6.30 petang. Masa masih terlalu awal untuk berbuka tetapi jemaah sudah mula memenuhi hadapan tikar bersama bubur lambuk dan air mineral yang diedar lebih awal. Bila saja ‘kaunter’ air manis dibuka, maka beramai-ramailah beratur. Orang yang ‘berduit’ seperti kami eloklah berbuka sahaja di masjid. Lebih afdhal dari berbuka di KFC atau Chicken Rice Shop.
Berbuka di Masjid Jamek Kuala Lumpur merupakan pengalaman manusiawi yang sangat berharga dan terkesan dalam hati saya sebagai seorang rakyat Malaysia, dan juga sebagai seorang muslim. Jauh berbeza dengan berbuka di surau kampung saya atau masjid negeri Shah Alam.
Wilayah gelap Kuala Lumpur
Keindahan malam di KLCC dan keriuhan kelab-kelab malam sekitar Jalan Sultan Ismail, Telawi dan kerdipan lampu Dataran Merdeka tidak akan membawa anda menemukan seribu satu duka dan cerita pada wajah-wajah yang saya tatap di Masjid Jamek.
Kuala Lumpur dan dimana-mana pun wilayah gelapnya yang tersisih. Pasti menemukan wajah-wajah kemiskinan dan gelandangan dimana-mana sahaja. Lihat sahaja di Jalan Pasar, Jalan Pudu, dan sekitarnya. Ada sahaja mereka dicelah-celah kota ini. Kalau ada yang bertanya mengenai Kuala Lumpur, saya akan suruh mereka ke situ terlebih dahulu sebelum mereka naik ke Menara KL dan memuji keindahan kota ini berlebih-lebihan.
Ramadan kali ini bukan sahaja menyaksikan kesesakan kereta yang seolah-olah infiniti, masih ramai rakyat Malaysia yang ‘sesak’ berjuang demi sesuap nasi dan kehidupan seperti Dania, seperti Rita, pelacur murah sekitar Jalan Pudu.
Inilah buat pertama kalinya saya berbuka puasa dengan ramai kelompok masyarakat warga kita sendiri. Ada yang kelihatan biasa-biasa sahaja, yang gelandangan, yang melarat, yang menghisap dadah, yang gila, yang busuk dan yang comot, adapun, sebahagian yang lain terdiri dari warga asing yang kelihatan seperti pelajar dan pekerja sekitar Jalan masjid India. Kami diberi sebungkus nasi dan kurma, kami makan dan menunaikan Maghrib bersama. Indahnya 1 Ramadhan di Masjid jamek.
Semangat insaniah dan roh kemenangan
Saya terharu dengan AJK masjid yang tetap memberikan ruang bagi mereka yang non-muslim, yang bertatu untuk duduk dan makan, berbuka puasa bersama kami yang lain. Jika saya mampu berteriak kepada dunia “inilah Islam yang terbuka dan berlapang dada dengan setiap insan!”. Memang benarlah ungkapan ‘Islam datang membawa rahmat kepada seluruh alam’.
Barangkali beginilah agaknya sedikit gambaran pada zaman kosmopolitan Islam Andalusia atau Baghdad suatu waktu dulu yang menjadi kota dunia. Inilah indahnya semangat insan, semangat Islam, yang tidak tersingkap oleh segelintir yang konon pejuang Islam, pengawal agama, pembuat hukum dan pejuang Melayu dalam UMNO yang duduk bersenang-senang sambil menyalak itu dan ini.
Bagi yang berseluar pendek, mereka disuruh memakai kain pelikat yang disediakan, atau setidak-tidaknya, AJK masjid tetap mengagihkan sebahagian dari bungkusan nasi dan kurma bagi non-muslim yang berbaris, menunggu di luar ruang masjid. Syabas kepada seluruh AJK masjid Jamek yang prihatin. Anda telah menunjukan imej Islam yang sebenar tanpa menggunakan wang rakyat berjuta-juta dan bertempik dengan ‘Janji ditepati’.
Dari 1 Ramadan di Masjid Jamek Kuala Lumpur hinggalah malam-malam akhir di Jalan TAR. Kini kita telah sampai kita ke penghujung bulan mulia ini. Ramadan mengajar saya untuk lebih memahami, menjiwai dan melihat sendiri wajah-wajah kemiskinan, wajah mereka yang keliru, bingung dihimpit laungan angkuh pemimpin negara dan tersepit dicelah-celah bangunan yang makin mencanak naik.
Roh ramadan takkan pernah sia-sia. Sepertimana wajah-wajah itu yang berharap agar masa depan mereka, anak-anak mereka sekurang-kurangnya tidak tersisih dan terbela. Malaysia harus kita selamatkan segera.
Moga amal baik kita semua diterima tuhan. Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilitri. Maaf zahir dan batin. – telah diterbitkan di Roketkini.com