20 April 2010

CATATAN BEBAS PENULIS PINGGIRAN

Oleh HAFIZ HAMZAH
jelirda@gmail.com

KETIKA Kuala Lumpur sedang hanyut ditelan gelap malam-malam hangatnya, masih ada orang yang mahu bangkit dan membayangkan bermacam-macam perkara dan tidak memilih tidur.

Tentu sekali, dalam keadaan yang langsung tidak kondusif, tiada kemegahan material dan kekosongan jiwa melampau, kata-kata yang melayang di depan akal pasti saja menjadi hal yang sangat dialu-alukan. Kemudian ditangkap dan dicoretkan ke atas lembar kertas untuk diri sendiri.

Waktu ini, ada sekelompok penulis bebas yang bergerak sendiri. Dengan sumber yang terhad, menerbitkan sendiri jurnal-jurnal pinggiran sebagai ubat kepada bangkangan mereka terhadap bahan-bahan bacaan menjemukan yang berlonggok di kedai-kedai buku, terutama sekali penerbitan berbahasa Melayu.

Dalam tempoh kurang setahun, mereka sudah menerbitkan empat judul cetakan independen; GudangGaram, Fragranfrantik, GudangGaram2 dan Distorsi. Pakej bagi semua catatan ini amat minimal. Dicetak di atas kertas A4 yang dilipat dua dan semuanya adalah salinan fotostat hitam putih.

Namun begitu, di sebalik semua kekurangan yang bagi sesetengah orang menjengkelkan, ada beberapa perkara yang terkandung di dalamnya yang akan membuatkan pembacanya tersenyum.

Dalam satu acara seni skala kecil, saya menemukan judul pertama yang mereka terbitkan, GudangGaram. Walaupun sering terganggu dengan penampilan fizikalnya, perhatian kita tetap akan terpaut pada beberapa perkara yang menghiasi ruang dalamannya. Tidak semuanya kuat, tetapi ada beberapa yang akan menambat hati.

Kekecewaan dan harapan

Berbekalkan naskhah itu, saya perlahan-lahan cuba memahami pendirian mereka. Setidak-tidaknya dalam lingkaran penulisan dan sastera. Mereka bercerita tentang kekecewaan yang di hujungnya masih hadir sebuah harapan.

Cerpen-cerpen dan prosa yang terkandung misalnya, dengan lenggok yang kering dan kadang kala basah, tetap mahu berterus-terang tanpa segan silu. Hal ini tentu sekali tidak akan disenangi ramai orang, terutama bagi penganut faham bahasa dan sastera konservatif dan tradisional.

Kemudian, dalam judul Fragranfrantik, kita akan bertemu dengan kesenangan. Teks dengan selang-seli ilustrasi menghias lembar muka suratnya dari beberapa aspek dirasakan mungkin terbitan terbaik mereka setakat ini.

Apa yang terkandung di dalamnya secara zahir mungkin catatan-catatan sambil lewa. Tetapi jika dilihat betul-betul dengan tenang, ia banyak sekali mengundang permenungan dan cerminan yang tidak akan diperoleh di tempat-tempat lain. Apatah lagi daripada novel popular, misalnya.

Bagaimanapun, dua terbitan yang menyusul selepas itu kelihatan sedikit longgar berbanding naskhah sebelumnya. Mereka seperti sudah mula membuka lingkaran untuk meresap tulisan-tulisan daripada teman-teman lain yang mempunyai warna dan latar yang mungkin berbeza. Mungkin juga ia diterbitkan dalam keadaan tergopoh-gapah sehingga hilang estetika 'rabak' yang menghuni dua judul awal itu.


SELAIN Fragranfrantik yang disifatkan sebagai naskhah terbaik, tiga judul ini turut dihasilkan dalam tempoh kurang setahun.


Iltizam menulis

Saya teringatkan kesungguhan seorang daripada mereka. Di sebuah rumah di Jalan Terasek waktu itu, dia bersendiri. Tak berduit, hanya ada sepotong nyawa untuk meneruskan hidup. Di kamar, beberapa buah buku bersepah di atas lantai. Tentu sahaja daripada tajuk-tajuk yang menggema semangat muda dan penulisan yang melanggar norma-norma biasa pemahaman kita tentang bahasa.

Di satu sudut, sebuah mesin taip tersadai. "Tak boleh pakai, katrij dah habis dakwat," katanya. Sementara laci plastik berhampiran mesin taip itu tersimpan bergulung-gulung kertas terpakai yang telah siap dihuni oleh ayat-ayat penulisnya.

Jadi, saya faham kenapa dakwatnya sudah habis. Kerana orang ini betul-betul menggantung diri kepada segala sumber yang ada untuk mengumpul dan menumpahkan tenaganya kepada satu perkara ini yang diyakininya, menemukan kebahagiaan dengan menulis.

Lantas waktu itu saya terbayangkan Jack Kerouac, penulis era Beat Generation ketika menyiapkan novel On The Road. Beliau menghimpun semua tulisan dalam satu skrol panjang yang siap ditaip.

Orang itu, Amaluddin Zhafir, punya iltizam untuk menjadi penulis. Pastinya daripada kelompok tersebut, dia bukanlah yang pertama atau terakhir.

Ada lagi beberapa penulis muda, yang jika bersungguh-sungguh merentang arus dan komited boleh saja muncul di permukaan dan merimaskan kalangan penulis kebanyakan yang tidak berani. Dia juga seorang daripada finalis yang dicalonkan untuk Anugerah Bakat Muda Selangor 2010 bagi kategori sajak.

Diam-diam kita akan hanyut ketika sekali-sekala memasuki dunia minimal seperti yang dipotretkan oleh kelompok Fragran ini.

Memang usaha, tulisan atau apa sahaja tentang mereka masih belum boleh diangkat melambung tinggi. Namun, jika ada segelintir daripada mereka benar-benar mahu menghambakan diri kepada kata-kata, harapan yang tinggi kini sudah tergalas di bahu.

Harapnya, mereka tidak hanya main-main tanpa arah tujuan dan apabila sampai di pertengahan jalan, tidak tahu lagi apa yang hendak dibuat.

Empat jurnal independen ini berhak mendapat ruang dan peluang untuk menemui seberapa ramai khalayak pembacanya. Untuk menghubungi kelompok ini bagi sebarang pertanyaan, e-mel mereka di fragranfrantik@gmail.com.

(Sumber: sila klik sini)

No comments:

Post a Comment