09 July 2013

Antara bahasa kebangsaan, ibunda dan bahasa cinta, anda di mana?

Oleh Hafiz Zainuddin
ZAMAN kegemilangan kesultanan Melayu Melaka abad ke-16 menyaksikan Bahasa Melayu menjadi lingua franca di nusantara. Bahasa Melayu diguna pakai pedagang secara meluas sehingga ianya disifatkan seorang ilmuan Belanda, Francois Valentijn sebagai satu bahasa yang sama taraf dengan bahasa Perancis dan bahasa Latin di Eropah.

Fakta menjadi saksi, Bahasa Melayu berkembang tanpa adanya sekolah ‘aliran kebangsaan’. Istilah bahasa kebangsaan juga tidak wujud di zaman itu. Pada 1548, sekolah pertama di Melaka ialah kolej mubaligh St. Paul yang diasas oleh St. Francis Xavier bagi penganut Kristian Katolik dan masyarakat tempatan yang mahu mendalami ajaran itu.

Selain dari itu, satu hal yang tidak mampu disangkal ialah perkahwinan campur yang menyatukan orang Cina, Melayu, Portugis dan India sehingga melahirkan keturunan campur seperti masyarakat Baba Nyonya, Serani, ‘mamak’ bukan berlaku akibat perpaduan yang dipupuk sekolah aliran kebangsaan tetapi kerana bahasa cinta. Bahasa cinta ini lebih agung daripada segala bahasa yang terpakai di dunia. Ia rentas alam jagat, melangkaui segala benua, tidak di batas suku dan puak.

Mungkin akibat terpenjara dalam kerangka fahaman Mahathirisme, kurang menonton filem P Ramlee dan tidak berpijak pada realiti, Malaysia pasca Pak Lah menyaksikan kebangkitan gerombolan puak radikal yang mendakwa sebagai pejuang bangsa,  bahasa, perpaduan, agama dan sebagainya. Mereka adalah puak yang gagal melihat perpaduan Malaysia daripada kaca mata cinta.

Perjuangan puak radikal bahasa: sampah!

“Sistem  pengasingan  melalui  pelbagai  aliran  terbukti  dan  ternyata gagal malah membahayakan perpaduan masyarakat majmuk dan keselamatan negara.”- Gabungan NGO Islam-Melayu

Kenyataan di atas adalah komen daif puak yang mengaku sebagai pejuang bangsa dan agama. Mereka yakin, perpaduan rakyat pelbagai kaum di Malaysia hanya mampu dicapai dengan penggunaan bahasa. Yakni penyatuan pelbagai aliran sekolah menjadi sekolah aliran kebangsaan. Benar, mereka lupa pada sejarah kegemilangan bangsa, tamadun dunia dan agama.

Jujur bagi saya, lalakan untuk mencapai perpaduan masyarakat Malaysia yang plural dengan method mewujudkan hanya satu sekolah kebangsaan adalah sampah. Lebih memalukan, lalakan dangkal itu dilaungkan oleh golongan kelas pertengahan dan atasan Melayu yang belajar di Oxford mahu pun lulusan perubatan dari Al-Azhar Mesir.

Sejarah sebagai bukti, bahasa bukan segalanya…

Secara umum, Indonesia menjadi saksi perluasan penggunaan bahasa kebangsaan melangkaui batas puak dan kaum, agama mahu pun daerah. Hasil penghijrahan orang Cina, Arab, India, Punjabi, Belanda dan sebagainya ke tanah Jawa ini; sebahagian besar generasi pasca Sukarno dan pasca orba (order baru) hampir langsung melupakan bahasa ibunda. Jauh sekali untuk menuturnya sebagai perantaraan. Selain pakaian tradisi, tanglung, seni bina, dan warna kulit, yang masih cuma kekal ialah makanan.

Ini semua hasil Instruksi Presiden (Inpres) 1960 oleh Presiden Sukarno dengan tujuan asal untuk mengekang pengaruh fahaman komunisme dari China ketika itu. Pencabulan hak asasi ini secara langsung memperkasakan bahasa Indonesia ke seluruh wilayahnya ke tahap tertinggi sehingga hampir seluruh jagat keilmuannya menggunakan bahasa kebangsaan, bahasa Indonesia.

Idea inilah yang sering digunakan pejuang radikal bahasa dan bangsa sebagai hujah di Malaysia. “Kalau Indonesia boleh, mengapa tidak di Malaysia?”

Perpaduan melalui bahasa hanya ilusi

Isu pokok dalam tulisan ini ialah bagaimana mencapai perpaduan dan integrasi bangsa Malaysia.

Persoalannya ialah adakah dengan mewujudkan sekolah satu aliran akan membuahkan kesatuan bangsa Malaysia seperti yang diimpikan?

Jawapannya sudah pasti tidak. Walaupun Indonesia meraikan bahasa kebangsaan mereka hampir sempurna di segenap sudut, Indonesia tetap mengalami perpecahan. Perpecahan itu pula bukan sekadar wujudnya jurang kelas masyarakat miskin-kaya semata-mata, malah bumi itu dilumuri darah.

Aceh bermandi darah bukan sebab bahasa, tetapi sebab kuasa. Apa yang berlaku ialah Gerakan Aceh Merdeka (GAM) sebelum tsunami sehari selepas Natal 26 Disember 2001 mahu agar wilayah itu dibebaskan. Perkara yang sama juga berlaku di Timor Leste (sebelum ini Timor Timur) yang terletak berhampiran utara Australia dan setelah bumi yang kaya dengan sumber asli itu puas bermandi darah, mereka akhirnya ‘bebas’.

Kita juga menyaksikan pertelingkahan antara puak radikal Islam dan tentera kerajaan Thailand menyebabkan komuniti minoriti Muslim di Patani, Selatan Thai menderita. Biar pun Thailand memusatkan aliran pendidikannya, wilayah itu terus bergegar dengan letupan bom dan tembakan. Jadi, di mana letaknya perpaduan, penyatuan, integrasi dan keharmonian masyarakat di sana biarpun fasih berbahasa Thai?

China pula mengalami revolusi budaya yang perit. Kebangkitan komunisme  melalui Revolusi Kebudayaan pimpinan Mao Zedong pada 1966 bukan disebabkan bahasa tetapi akibat pertentangan kelas masyarakat miskin-kaya, konon demi ‘membebaskan negara China daripada batas kelas masyarakat’. Golongan berhaluan kiri yang menganut fahaman Mao bertembung dengan golongan berhaluan kanan menggunakan bahasa yang sama!

Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada negara Timur Tengah seperti Tunisia, Libya, Iraq, Syiria, Mesir; perpecahan, keruntuhan dan kebagkitan rakyat bukan atas sebab sentimen bahasa tetapi disebabkan kegilaan pemerintah mengaut harta dan meminggirkan sebahagian besar masyarakat terus miskin dalam keadaan ekonomi negara yang tidak cemerlang.

Lain pula halnya dengan Singapura. negara kecil itu  tidak pula berhadapan dengan masalah apabila memberi keutamaan kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya meminggirkan bahasa ibunda majoriti masyarakat Cina negara itu. Oleh yang demikian, masyarakat Malaysia harus belajar daripada sejarah dunia, bukan hanya belajar sejarah dalam silibus SPM semata-mata yang mengakibatkan kita terus dibohongi hidup-hidup.

Apa perlu ada pada Malaysia

Justeru, tonggak terpenting dalam memupuk perpaduan dan kerukunan Malaysia dengan kewujudan masyarakat yang plural bukanlah bahasa atau sekolah satu aliran. Slogan 1Malaysia juga tidak akan memberi apa-apa justifikasi selagi dasar penindasan dan diskriminasi kaum terus menjadi amalan kerajaan.
Konsep pecah dan perintah perlu dihapuskan, dasar perekonomian dan kebajikan, sistem pendidikan negara, silibus persekolahan perlu dikaji semula dan bebas daripada sebarang campurtangan sentimen dan politik.

Malaysia perlu berdiri pada hakikat sebenar di mana kepelbagaian bahasa, agama dan budaya wajib diraikan. Selagi kerajaan gagal membentuk sebuah dasar yang ‘Malaysia’, selagi itu impian bangsa Malaysia tidak akan tercapai malah perpaduan di Malaysia hanya akan terlihat pada rojak dan mee hailam semata-mata.

Kerajaan juga harus belajar daripada para dai’e dan mubaligh dalam penyebaran agama. Islam tidak mampu berkembang tanpa mengalami asimilasi budaya dan bahasa. Kitab agama diterjemah dalam pelbagai bentuk bahasa dalam menyampaikan mesej yang satu.

Sedarlah, laungan satu bahasa, sekolah atu aliran, hanya semata-mata demi survival kelompok politik berasaskan kaum seperti UMNO, MIC dan MCA. Pertelingkahan masyarakat akibat hal ini cuma akan menguntungkan mereka. Sejarah dan dunia membuktikan bahawa  perpaduan manusia, kaum dan negara dibentuk melalui jalan jiwa iaitu bahasa cinta. Maka, bercintalah daripada sekarang!-Roketkini.com

08 July 2013

Teater “SELAK:SERAK”, dedikasi buat mangsa kematian dalam tahanan

Sebuah teater yang didedikasikan kepada mangsa kematian dalam tahanan pihak berkuasa berjudul “SELAK:SERAK” akan dipentaskan untuk tontotan umum ini di PJ Live Arts, Jaya One, Petaling Jaya, mulai 11 hingga 14 Julai ini.

Teater “SELAK:SERAK” produksi Rumah Anak Teater (RAT) adalah arahan Ayam Fared, seorang penulis dan artis yang memenangi anugerah Pengarah Terbaik dalam BOH Cameronian Arts Awards 2012.

Menurut Pengarah Urusan RAT, Faisal Mustaffa, pementasan teater itu dibuat pada Julai bersempena memperingati ‘bulan kematian’ bagi mendiang Teoh Beng Hock dan R Gunaegaran.

“Kami mahu memberi kesan kepada masyarakat supaya sedar mengenai keganasan pihak berkuasa terutamanya polis terhadap mangsa dalam tahanan mereka,” katanya.

Menurut beliau, budaya penderaan dan keganasan oleh pihak berkuasa perlu dibanteras kerana tidak mustahil kes sebegini akan berulang.

“Tidak mustahil ia juga boleh berlaku kepada kita, kepada keluarga kita. Kita tidak boleh menganggap pihak polis atau pihak berkuasa lain kebal daripada dikenakan hukuman,” tegas beliau.

Bagi Pengarah Teater, Ayam Fared, isu ini bukan semata-mata mengetengahkan atau sekadar memperingati kematian Beng Hock.

“Kematian Beng Hock bukan sekadar isu yang membabitkan keluarga atau temannya. Kematian beliau membabitkan kita sebagai rakyat Malaysia. Ini adalah isu serius membabitkan keganasan pihak berkuasa.

“Di Malaysia, banyak kes yang berlaku, tapi tidak selesai,” ujar beliau.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Menurut beliau, Pemuda Sosialis DAP menyokong penuh segala usaha menganjurkan teater ini demi meningkatkan kesedaran masyarakat betapa pentingnya peri kemanusiaan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Kematian dalam tahanan pihak berkuasa adalah isu serius. Apa yang kita dapat tahu melalui pendedahan di Parlimen, dari 235 tahanan yang mati, hanya dua kes yang didapati bersalah.

“Kita amat berharap, pementasan teater ini dapat bantu mendidik masyarakat bahawa mereka mempunyai hak. Pihak penyiasat tidak punya apa-apa kuasa untuk menghukum selagi tidak dijatuhkan kesalah oleh mahkamah,” ujarnya.

Menurut wakil Suara Rakyat Malaysia (SUARAM),Thevarajan, inisiatif RAT patut dipuji dan diperluaskan.

“Pada tahun lalu, sembilan kematian dalam tahanan polis dicatatkan dan tahun ini saja meningkat kepada 10 orang. Nampaknya, perkara itu tidak pernah berhenti dan ia mewajarkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC),” katanya.

Bagi Koordinator NGO Malaysia for Beng Hock, Ng Yap Hwa, teater ini mewakili semua kes kematian dalam tahanan pihak berkuasa yang berlaku di Malaysia.

“Kes Beng Hock meningkatkan kesedaran masyarakat. Ia mempunyai elemen politik sama seperti yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa reformasi.

“Adalah amat penting bagi NGO atau mana-mana pihak memperjuangkan mereka yang dizalimi pihak berkuasa,” katanya.

Pementasan “SELAK:SERAK” yang berdurasi 60 minit ini bakal menampilkan dua kolaborator dan pelakon Lorna Hoong, seorang graduan tari Akademi Seni budaya dan Warisan Malaysia (ASWARA) yang giat dalam pelbagai pementasan, lakonan dan penerbitan digandingkan bersama kolaborator Khairil Ridzuan K’N yang merupakan seorang graduan lakonan dari ASWARA dan giat dalam dunia lakonan filem seperti Hati Malaya 1957, Songlap, Jalan Pintas dan Gadoh.

Pementasan “SELAK: SERAK” akan dimulakan jam 8.30 malam pada 11 hingga 13 Julai manakala jam 3.00 petang pada 13 dan 14 Julai ini.

Tiket boleh didapati terus di PJ Live Art, Jaya One Petaling jaya atau secara online di www.tix.my berharga RM50, RM30 dan RM25 bagi pelajar dan OKU. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-79600439 atau 017-2289849. –Roketkini.com 

16 June 2013

“Kampung Seni” Padang Jawa jadi ikon usaha murni anak muda

Oleh Hafiz Zainuddin
“PADA mulanya masyarakat kampung agak janggal dengan cadangan saya…” – Aisyah Baharuddin, Artis

TEMBOK kelabu yang kusam, comot dan berdebu sudah hilang. Dinding pagar yang warnanya luntur, sudah pun berubah wajah. Pemandangan menyakitkan mata dengan lambakan tempelan poster ubat kuat, urut batin, pinjaman wang yang terpamer sepanjang tembok jejantas dan laluan jalan atas sudah ghaib. Semuanya digantikan dengan karya lukisan mural dan grafiti oleh artis, anak-anak muda dan kanak-kanak sekitar yang peduli pada lingkungan mereka.

Dua kampung yang menjadi titik temu sempadan bandaraya Shah Alam dan Klang telah menjadi saksi bangkitnya sebuah gerakan seni untuk masyarakat. Kampung Padang Jawa dan Kampung Karuppiah (kejiranan Padang Jawa) melakar sejarahnya tersendiri.

Anak muda peduli pada lingkungan

Gerakan seni ini dipelopori oleh sebuah komuniti seni yang dinamakan T.I.G.A bermaksud Tindakan Gerak Asuh. Ia diasaskan oleh Aisyah Baharuddin, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus daripada UiTM bersama dua lagi teman iaitu Mohamad Idham Ismail, graduan Unisel yang menamatkan pengajian dalam jurusan Senireka Grafik dan Farhana Mohd Tajali juga graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus UiTM.

Aisyah merupakan tunjang utama T.I.G.A  berpengalaman luas dalam bidang seni lukis, mural, seni persembahan dan hampir 15 tahun menceburkan diri sepenuh masa dalam aktiviti seni malah beliau acap kali menyertai pameran lukisan yang diadakan di seluruh negara.

Hingga setakat ini, komuniti T.I.G.A yang beroperasi di Pusat Sekitar Seni, Kampung Karuppiah berjaya memimpin kanak-kanak dan remaja kejiranan ini untuk turut serta meraikan kepelbagaian seni dan menambah kemahiran mereka dalam bidang seni lukis. Hujung minggu bagi anak-anak ini tidak lagi menjadi satu hujung minggu yang membosankan dengan tayangan Sponge Bob yang diulang-ulang.

“Kampung seni pertama di Selangor”

Siapa sangka, kejiranan Padang Jawa mencatat sejarah pada 23 Mac 2013 lalu apabila sebahagian besar dinding tembok dan pagar rumah laluan utama dilakar dengan pelbagai bentuk lukisan mural dan grafiti berwarna-warni membawa mesej sivik mengangkat tema alam sekitar dalam Festival Seni Jalanan Padang Jawa atau lebih dikenali sebagai Padang Jawa Street Art Festival 2013 (PJSAF).

Tema alam sekitar dengan mempromosikan aktiviti kitar semula dan menjaga kebersihan amat bersesuaian dengan implementasi dasar hijau Kerajaan Negeri Selangor mahu pun Kerajaan Persekutuan. Atas usaha gigih komuniti ini, kini kejiranan Padang Jawa sudah digelar orang sebagai “Kampung Seni”.

Menurut Pengarah PJSAF, Aisyah Baharuddin, festival sebegini merupakan julung-julung kali diadakan dalam kejiranannya itu dan beliau tidak menolak kemungkinan ianya adalah yang pertama kali dianjurkan di Selangor.

“Idea untuk menjalankan festival ini timbul apabila melihat kepada persekitaran kampung dan berasa ‘sakit’ dengan pemandangan tembok yang banyak ditampal dengan ‘iklan haram’.

“Saya fikir, dengan kemahiran yang ada bersama teman yang lain, mungkin kami boleh lakukan sesuatu untuk kampung dan masyarakat di sini,” ujar Aishah ketika ditemui baru-baru ini.

Ditanya mengenai sumber kewangan dan peralatan, pengasas T.I.G.A itu berkata mereka mendapat tajaan dari syarikat swasta, Nippon Paint (M) Sdn Bhd dan kerajaan melalui Dana Belia 1Malaysia.

PJSAF turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Jawa, Balai Seni Visual Negara (BSVN), Komuniti Buku Jalanan, Media Legal dari Jakarta, gabungan artis tempatan seperti Escape, Medea Project, dan beberapa individu artis yang lain.

Langit petang yang suram dengan hiruk-pikuk kenderaan pulang dari kerja di tempat lain tidak lagi sama dengan kejiranan Padang Jawa. Di balik deruan enjin kenderaan, waktu petang di sini menjanjikan pemandangan yang berbeza.

Atas usaha gigih T.I.G.A yang mendapat kerjasama baik penduduk kampung, JKKK dan kelab belia sekitar, kini, kejiranan Padang Jawa bertukar wajah dan boleh diangkat sebagai sebuah destinasi pelancongan. Sebuah ‘perkampungan seni’ buat pertama kalinya dalam sejarah negeri Selangor.

Mengukuh perpaduan kaum melalui aktiviti melukis

Kedudukan kawasan kampung yang terletak di antara dua bandar ini menjadikan ianya satu kawasan campuran pelbagai kaum dengan penempatan komuniti Melayu, India dan Cina.

Bagi Aisyah, selain mendidik masyarakat mengenai peri-pentingnya menjaga kebersihan dan persekitaran, PJSAF yang berlangsung selama tujuh hari itu telah merapatkan lagi hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di sini.

“Kami menerima sokongan penduduk kampung dan ketika festival ini berlangsung, kami dapat lihat bagaimana masyarakat sekitar terutama remaja dan kanak-kanak berlainan kaum dapat berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama-sama.

“Biasanya, aktiviti majmuk sebegini cuma dapat dilakukan di sekolah atau padang bola sahaja,” ujar Aisyah.

Beliau berpendapat, usaha untuk memasyarakatkan seni ini harus terus mendapat sokongan penduduk, masyarakat sivik atau kerajaan dalam menjamin satu kerangka untuk mendidik masyarakat melalui seni sekaligus merapatkan jurang perbezaan antara kaum.

Meluaskan aktiviti komuniti untuk masyarakat

Walaupun PJSAF telah berlalu, T.I.G.A masih giat meneruskan aktiviti kesenian mereka dengan memperbanyakkan lagi lukisan mural dan grafiti dengan pembabitan remaja dan anak-anak muda setempat.

“Selain melukis, kita juga membuat kelas membaca secara percuma untuk kanak-kanak yang dijalankan di pusat komuniti kami di sini (Pusat Sekitar Seni) hampir setiap hujung minggu,” jelas Aisyah.

Katanya, T.I.G.A turut merancang memperluaskan lagi aktiviti mereka seperti penganjuran bengkel percuma seperti bengkel penulisan, lukisan, asas fotografi dan sebagainya.

“Pusat Sekitar Seni ini mempunyai ruang yang selesa dan cukup untuk menjalankan aktiviti dalaman dan kita berharap masyarakat kampung terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak mendapat manfaat,” kata beliau.

Bagi seluruh penduduk di Shah Alam mahu pun di seluruh negara, usaha komuniti ini dalam memasyarakatkan seni perlu menjadi perhatian dan diberi sokongan samada dalam bentuk peralatan atau kewangan.

Di akhir perbualan kami, Aisyah menegaskan bahawa hasil karya seni tidak hanya eksklusif di galeri yang jauh daripada masyarakat. Seni juga harus memasyarakat dan dimasyarakatkan.

“Seni perlu memberi sumbangan dalam membentuk sebuah persekitaran kejiranan yang ideal dan kukuh,” katanya.

T.I.G.A boleh dicapai dalam talian di tindakangerakasuh@gmail.com atau melalui www.facebook.com/streetartfest2013pdgjawa atau terus hubungi 013-6613243 (Aisyah Baharuddin)-Roketkini.com