Oleh: Hafiz Zainuddin
Buku ini saya terima di sebuah gerai nasi lemak tersohor tepi Lebuhraya Persekutuan. Gerai ini jugalah tempat seorang teman saya makan setiap hari sebab murah, tambahan pula, nasi lemak itu lazat tak terkata.
Rasanya, tidak ada sebab jatuh haram kalau saya samakan kelazatan buku ini dengan keenakan nasi lemak yang dijual itu. Merapat Renggang jauh sekali serupa dengan buku-buku lain yang bertimbun di pasaran memandangkan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia pasca pengumuman GST semakin parah agaknya.
Jurnal yang dilancarkan Obscura baru-baru ini merupakan naskah hebat gandingan karya 21 penulis lama dan baru, tempatan dan terjemahan antarabangsa membicarakan hal-hal seputar filem, puisi, cerpen, teater, tari, dan aktivisme sesuai dengan konsep “..Sebuah ingatan terhadap budaya…” kata penerbit, penulis Hafiz Hamzah.
Dalam pada itu beliau juga berpandangan bahawa banyak hal melibatkan penulisan seni dan budaya masih terpinggir, apalagi dengan perkembangan sastera negara yang lembab dan tertambat dengan aturan institusi yang membosankan.
Walaupun jurnal ini jauh untuk memuatkan diskusi sosialisme atau pasaran bebas yang menjadi trend anak-anak muda masa kini; Merapat Renggang tetap sebuah bacaan serius. Anehnya, ia tidak segan menghibur dan merasuk; seperti kisah Barry yang terkena penyakit AIDS dari Brikfields bikinan Jimadie Shah Othman.
Sebagai korban ruang secara terbuka, ia menjadi alas perbahasan segar kesenian mencakupi tiga elemen paling fundemental iaitu seni, sastera dan budaya.
Sama ada jurnal ini rangkulan faham ekspresivism, simbolism, romantism, mistism, klasik atau apapun, ini adalah lembaran terbaik melihat bahasa kebangsaan disantuni semula pada tempat asal.
Kalam Al-Mustaqeem M Radhi sahaja sudah mampu membuatkan orang terkincit; “Kalau mahu menjadi pemuisi yang sekadar menyalin alam, baiklah jadi tukang gambar sahaja”.
Justeru, suka saya memetik buku yang saya simpan lama dalam kotak dirumah berjudul Riak dan Gelombang Sastera Melayu tulisan Ramli Isin (kini bergelar Doktor) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1987 yang sudah pun mengakui bahawa sastera Melayu moden ‘memang belum apa-apa dalam pelbagai aspek, samada aspek luaran atau dalaman’.
Kali pertama membelek buku ini, saya jadi seram. Mungkin sebab saya sendiri lebih banyak membaca buku agama dan politik domestik hingga rasa keterasingan membuak-buak. Lihat sahajalah kritik filem tulisan Izmil Amri yang tidak berat lidah tergamak mengutuk (dalam memuji) filem Bunohan arahan Dain Said yang mampu menimbulkan kemarahan orang-orang Kelantan!
Biar pun dimuatkan dengan terjemahan karya asing seperti Franz Kafka, Ernest Hemingway, Homer dan Mark Twain; tidak juga terkurang karya-karya berkualiti penulis tempatan serantau seperti Jimadie Shah Othman, Ibrahim Yaakob, Goenawan Mohamad, WS Rendra dan ramai lagi.
Dalam kongsi rasa Hafiz Hamzah pula, beliau sempat merakam ragam dan celoteh Main Puteri, sebuah hiburan rakyat yang sudah pupus. Semua itu dapat dilihat dari tulisan dan foto yang dimuatkan. Hiburan rakyat yang telah diharamkan kerajaan Kelantan itu awal mengambil pemerintahan negeri sekitar tahun 1990-an terus menguak pelbagai persoalan kepada saya akan survival tradisi ini untuk seratus tahun lagi atau setidak-tidaknya sepenggal pilihanraya lagi. Apabila sesebuah tradisi dan budaya terpaksa bergulat dengan kuasa dan agama, apa dan bagaimana pula peranan masyarakat?
Saya tidak mahu berlebih-lebih memuji dan menjulang tinggi terbitan kedua Obscura ini selepas buku 99 Kelopak Pantun yang mengkhayalkan. Merapat Renggang adalah suatu anugerah kepada lapangan sastera moden yang wajar disyukuri. Setidak-tidaknya ia menunjukkan kesungguhan penerbitan yang jujur dan lazat. Selazat nasi lemak di gerai tepi lebuhraya itu.
“…Dan aku tunjukkan engkau sesuatu yang lain mungkin
Dari bayangmu yang mengekori di kala pagi
Atau yang melambai-lambaimu pulang di kala petang…”
-Tanah Tandus, T.S Eliot, terjemahan Al Mustaqeem M Radhi
Dari bayangmu yang mengekori di kala pagi
Atau yang melambai-lambaimu pulang di kala petang…”
-Tanah Tandus, T.S Eliot, terjemahan Al Mustaqeem M Radhi