Menjejakkan kaki ke negeri di Bawah Bayu Sabah selama lima hari cukup
untuk merakamkan 1001 kenangan dan pengalaman yang tidak pasti
terlupakan. Siri jelajah pendengaran awam yang dianjurkan DAP Sabah
memberi gambaran lebih dekat akan kesulitan dan dilemma yang dihadapi
rata-rata rakyat negeri ini.
Tahun 1994 merupakan tahun yang diungkit-ungkit lagi oleh sebahagian
besar rakyat. Tumbangnya kerajaan oposisi PBS ketika itu di tangan
UMNO-BN dengan cara yang tidak demokratik adalah episod ngeri perluasan
pengaruh UMNO di Sabah yang menangguk di air keruh dan menjadi api dalam
sekam terhadap keamanan, perpaduan dan keunikan sosio-budaya, politik
dan agama di Sabah yang selama ini indah tak terkocak.
Bicara Kampus RTM dedah ketidak seimbangan pembangunan
Siaran langsung rancangan Bicara Kampus pada 10 September 2012 lalu
jam 10 dengan tajuk “Integrasi Nasional” telah memberi gambaran dan
tamparan apabila seorang wakil pelajar dari Universiti Malaysia Sarawak
(Unimas) saudari Fitrianoviani Hj Khalid yang menimbulkan tanda tanya
apabila kenyataannya memberi gambaran bahawa pembangunan di Sarawak
(Malaysia Timur) jauh lebih ketinggalan dari Semenanjung.
Malah, ‘perbincangan’ Bicara Kampus bersama ahli panel dan audien
pada malam tersebut digegarkan dengan persoalan ‘mana perginya
peruntukan belanjawan’ yang dibelanjakan kerajaan. Dalam soal jawab
telefon turut menampilkan seorang pemanggil yang mempersoalkan 18 dan 20
syarat dan janji kerajaan BN yang masih tidak dipenuhi seawal
penggabungan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia.
“Semenanjung rompak kami…”
Rombongan kami ke Sabah bukan sekadar menikmati keindahan alam
semulajadi. Jauh sekali sekadar rombongan untuk membeli belah. Agenda
utama DAP kali ini adalah untuk mendengar rintih adu rakyat yang
terpinggir.
Kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Kevin membawa kami dari
lapangan terbang Kota Kinabalu ke hotel penginapan. “Itu nampak tak,
gunung Kinabalu”, kata Kevin kepada saya dan Zeon. Disebelahnya adalah
Peter, fasih berbahasa Melayu dengan loghat Sabah. Tiba sahaja di hotel
sekitar jam 5.30 petang, kami berehat seketika sementara menunggu masa
untuk sesi pendengaran awam malam nanti.
Ternyata, sentimen rakyat Sabah masih kuat terhadap Semenanjung.
“Semenanjung menindas kami. UMNO rompak hak kami,” luah seorang
responden kepada saya ketika berbual dengan beliau yang mahu dikenali
sebagai Martin sahaja. Seorang Kadazan yang sudah pun mencecah usia
emas.
Masakan tidak, kalau dahulu negeri ini pernah lebih kaya dan lebih
hebat dari Singapura, kini Sabah dibawah kerajaan BN selama 49 tahun
terus menelusuri jalan berliku dengan kemelut kemiskinan, peningkatan
harga barang, kebanjiran pendatang asing tanpa izin dan masalah lokal
yang seolah-olah tak terselesaikan.
Kota Kinabalu yang dilihat tenteram dan aman, malah segar udaranya
tidak mampu lagi menutupi pekik suara rakyat marhaen yang teraniaya dan
tertindas sejak sekian lamanya.
Masalah ketiadaan bekalan air dan elektrik sejah puluhan tahun lamanya bukan sesuatu yang asing bagi rakyat negeri ini.
Pasti. Persoalan utama yang berlegar di kepala setiap kita ialah,
kenapa Sabah yang kaya dengan sumber asli termasuk gas dan petroleum ini
telah ditabal sebagai negeri termiskin sedangkan tidak sedikit Ketua
Menteri dan pimpinan UMNO negeri menjadi ‘jutawan’ malah ‘billionaire’?
#Artikel ini telah disiarkan di
Roketkini.com
No comments:
Post a Comment