12 February 2011

Sidi Bouzid dan hujan petang di Kuala Lumpur


Oleh: Hafiz Zainuddin
 
Suatu hari di sekitar stesen bas Pasar Seni Kuala Lumpur. Saya sedang berjalan-jalan dengan seorang teman.  Penat berjalan, lalu saya membeli sebungkus air tebu dan duduk berehat sebentar di hentian bas berdekatan.  Hari ini hari Sabtu.  Esok adalah hari cuti bagi kebanyakan pekerja.  Jadi, hari ini ramai orang keluar bersiar-siar, bertemu teman dan sahabat.

Sambil saya menikmati petang yang sibuk itu, tiba-tiba saya melihat beberapa penjaja stokin berlari-lari.  Ketika ini, dua gerai menjual air dan keropok lekor berjaya ditahan beberapa orang penguatkuasa DBKL.  Mereka kelihatan berbincang.  Penjaja air itu kelihatan murung, cuma sesekali kelihatan senyum berhadapan penguatkuasa itu.  Saya cuma melihat, kemudian bangun dan pergi menuju ke Central Market.  Saya tidak tahu apakah nasib penjaja air tersebut.  Mungkinkah dia disaman, disita atau cuma diberi amaran.

Ini adalah fenomena biasa di Kuala Lumpur.  Biarpun disaman - disita beberapa kali.  Siapa peduli?  Lebih-lebih lagi jika gerai-gerai tolak itu disewakan kepada orang-orang Indonesia.  "Ya pak...bisa aja....boleh..." Penjaja mana yang akan bakar diri.  Ini Kuala Lumpurlah...

Kuala Lumpur jauh bezanya dari Sidi Bouzid.  Jauh dari sudut pembangunan dan infrastruktur.  Jauh dari sudut pemikiran dan budaya.  Apapun bezanya, berapapun jaraknya; Kuala Lumpur dan Sidi Bouzid tetap dihuni oleh manusia-manusia yang punya hati dan perasaan.  Manusia yang punya cita-cita dan wawasan.  Manusia yang punya keluarga, teman-teman dan kehidupan.  Manusia-manusia ini bisa gembira, ketawa, dan menangis.  Inilah kita; manusia. Insan yang takkan terpisah dengan tembok geografi maupun faham agama dan politik.  Semua kita adalah manusia-manusia bebas!

Kalaulah gerai Bouazizi tidak disita dan beliau tidak dikasari.  Maka beliau tidak akan membakar dirinya Disember lalu dan masih hidup sehingga sekarang; meniti hari-hari yang penuh liku seperti hari-hari biasa yang lain.  Kekal dengan keadaan hidupnya yang dihimpit kemiskinan justeru menyara ibu dan adik-adiknya yang lain.

Bouazizi adalah seorang terpelajar dari sebuah universiti tempatan.  Bukti sebahagian dari proses kehidupan- peningkatan ilmu dan kefahaman.  Sijil itu cuma kertas yang dicetak.  Beliau menjual sayur dan buah apabila permohonannya menjadi tentera dan jawatan lain ditolak.

Sampailah Bouazizi dikhianati negaranya sendiri; debu-debu suci Sahara di Tunisia telah lama menjadi sebuah tanah yang korup.  Beliau adalah seperti kita, punya cita-cita dan semangat.  Rakyat biasa yang bergelut dengan kehidupan.  Sidi Bouzid bukanlah syurga.  Sebuah tempat; mungkin neraka - bandar yang menderita akibat penggangguran yang tinggi dan kadar korupsi pihak berkuasa yang telah mencapai klimaks.  Berbanggalah ibunya Bouazizi.  Anaknya syahid dalam mempertahankan hak dan maruah!

Kematian Bouazizi adalah manifestasi keangkuhan pihak berkuasa.  Kematian Bouazizi pada 4 Januari 2011 adalah sejarah buat Sidi Bouzid dan Tunisia.  Kematian Bouazizi adalah sejarah buat dunia.  Di sinilah sekali lagi-revolusi bermula.

Saya tidak pasti apakah revolusi yang tercetus di Tunisia ini bakal menjadi "Kepingan domino pertama" seperti tulisan Anwar Ibrahim (gambar kanan) yang diterbitkan di laman The Wall Street Journal pada 26 Januari lalu?  Tetapi sehingga saat ini; kita diperlihat dengan kebangkitan rakyat di beberapa negara Arab yang lain iaitu Mesir, Yaman dan Jordan.

Setakat artikel ini ditulis.  Bekas Presiden Tunisia Zine El Abidine Ben Ali telah terbang ke Jeddah dan selamat dilindungi keluarga monarki Saudi, isterinya Leila lari ke Dubai manakala anak-anak mereka menyelamatkan diri ke England.  Bayangkan, setelah 23 tahun memerintah, kerajaan Tunisia pimpinannya tumbang tidak sampai 24 jam!  Rakyat di Mesir pula sedang berada dijalan-jalan raya memegang sepanduk dan melaungkan slogan-slogan anti Hosni Mubarak.  Presiden Mubarak seorang lagi "diktator" yang diramal bakal terbang ke Saudi.

Kebangkitan ini dinamakan revolusi.  Kebangkitan rakyat yang telah lama tertindas menentang kerajaan mereka sendiri.  Apakah ertinya sesebuah negara kaya tetapi rakyatnya miskin disebabkan pemimpin yang korup?
Bangun melawan kerajaan yang zalim adalah patriotik.  Rakyat di Tunisia, Mesir, Yaman dan Jordan telah membuktikan mereka patriotik.  Manakala patriotisma acuan kita cukuplah dengan mengibarkan Jalur Gemilang semasa hari kebangsaan memenuhi setiap ruang bangunan, kenderaan, dan tiang-tiang lampu di jalan-jalan.  Dilihat gagah dan perkasa.

Kematian Bouazizi memperlihatkan betapa kemiskinan itu mencengkam.  Kekayaan cuma dibolot oleh keluarga Zine El Abidine Ben Ali dan kroni mereka.  Pembaziran adalah suatu perkara biasa. Kebebasan bersuara rakyat disekat.  Korupsi berleluasa sehingga ke akar umbi.

Lalu persoalan timbul, apakah Tunisia selepas revolusi akan digantikan dengan pemerintah yang baik?  Apakah rakyat di benua arab akan berjaya membebaskan diri mereka dari belenggu pemerintahan kuku besi?  "Transformasi" jalanan ini dilihat akan terus berlaku di dunia Arab.  Kita ketepikan dulu soal "esok bagaimana".  Yang penting; kebangkitan rakyat ini adalah sebuah manifestasi.  Sebuah "akibat" - sebuah tanda kemarahan dan kebencian rakyat terhadap pemerintah yang zalim.

Bouazizi telah menjadi ikon revolusi.  Pencetus kebangkitan Tunisia dan dunia yang dahagakan kebebasan.  Sekarang, Tunisia bersedia untuk membangun sebagai sebuah negara demokrasi yang asli dan sekular.  Para penjaja buah dan bunga takkan lagi khuatir; mereka takkan lagi dikasari.  Sidi Bouzid akan terus dikenang, tersemat dalam catatan sejarah.  Dan petang itu, Kuala Lumpur dibasahi hujan...

Artikel ini telah diterbit di Merdekareview

No comments:

Post a Comment