31 January 2011

Ujrah : helah PTPTN yang paling licik!!

Diambil dari blog Me and Only Me

1- Setelah meneliti dokumen PTPTN dalam sistem Ujrah, saya mempunyai beberapa perspektif seperti yang akan dibentangkan.

2- Perubahan sistem 3% kepada 1% yang dinamakan sistem Ujrahsebenarnya mempunyai helah tertentu yang harus diketahuï sebelum diisi.

3- Baki yang dikira bukan baki semasa, tetapi adalah baki pada tahun tertentu, dalam kes ini Jun 2008.

4- Perjanjian yang adil sebenarnya hendaklah menggunakan jumlah asal pinjaman seperti yang terdapat dalam perjanjian asal.

5- Menggunakan baki pada tarikh yang berlainan sebenarnya menimbulkan keraguan, contohnya apabila peminjam telah meminjam pada tahun Jun 2000 hingga Mei 2003 (selama 3 tahun).

6- Dalam kes ini, peminjam telah dikenakan kos sebanyak 3% dari tahun 2003 hingga 2008.

7- Justeru, jika pinjaman asal bernilai RM 24000, dengan dicampur dengan kos di atas (3 % x 5 tahun) akan bernilai RM 24000 + RM 3600.

8- Dengan anggapan peminjam belum lagi membayar sebarang jumlah sehingga tarikh tersebut, jumlah yang dinilai dalam perjanjian ini sebenarnya bernilai RM 27600.

9- Melaluï sistem Ujrah, peminjam akan dikenakan 1% daripada jumlah (RM 27600) ini bernilai RM 276, selama 126 bulan iaitu 10.5 tahun.

10- Justeru, peminjam akan dikenakan tambahan sebanyak RM 276 x 10.5 iaitu RM 2898.

11- Maka jumlah sebenar yang dikehendaki dibayar oleh peminjam adalah RM 27600 + RM 2898 iaitu RM 30498.

12- Maka peminjam akan membayar RM 30498 setelah meminjam sebanyak RM 24000.

13- Ini melibatkan pertambahan jumlah sebanyak RM 6498 daripada jumlah asal pinjaman, atau 27.075% daripada jumlah asal.

14- Sebenarnya, setelah dikira, sistem ini adalah satu helah bagi PTPTN mendapatkan kembali bayaran balik dengan cara potongan gaji.

15- Setelah menandatangani perjanjian sistem Ujrah ini, peminjam akan membayar secara potongan gaji tanpa boleh mengelak daripada membayar pinjaman ini.

16- Ini bermakna, keuntungan adalah kepada PTPTN, yang mengambil 27.075% daripada pinjaman asal, DAN pembayaran on-time melaluï potongan gaji.

17- Saya melihat ini sebenarnya adalah helah untuk memaksa peminjam membayar melaluï potongan gaji, dan bukan sebagai satu “ihsan” untuk mengurangkan beban peminjam.

18- Saya melihat ini adalah helah bagi memastikan peminjam yang selama ini hanya membayar RM 50 sebulan, yang entah bila akan habis membayar pinjamannya, akan membayar RM 200+ sebulan mulaï tarikh sistem Ujrah diluluskan.

19- Lebih menguntungkan pihak PTPTN, ia akan berlaku secaraclean atas topeng Syari`ah.

ألا ترون يا من وافق لهذا أنه ربا مبينا وغشا مخفيا؟

WaLlahu a`lam.

25 January 2011

"Kuala Lumpur, Aku Okay"

"Kuala Lumpur, Aku Okay" adalah satu kolektif daripada orang-orang biasa yang tiba-tiba mendapat idea untuk menghasilkan sebuah filem berdasarkan perspektif mereka sendiri dalam melihat cinta. Lalu bergerak perlahan-lahan pada malam itu mereka merakamkan kisah cinta yang tidak selalunya kita fahami.

17 January 2011

Kuta Blues pt 1

Kenderaan yang dipandu Pak Darmika meluncur perlahan dalam trafik petang Denpasar. Langit tampak gemilang dengan butir cahaya yang semakin keemasan. Cahaya petang ini terik menyebabkan aku berpeluh. Suasana Denpasar tampak sibuk. Kereta, motorsikal ada dimana-mana. Semuanya mengurusi hal masing-masing.

Kiri dan kanan jalan dihiasi dengan Penjor yang indah-indah. Hari Galungan baru tiga minggu sudah. Dari lapangnterbang Ngurahrai aku cuma diam. Sesekali bertanyakan sesuatu pada Pak Darmika.

"Orang Bali suka bersepeda aja.. disini sentiasa macet..". Kata Pak Darmika.
"Oh..iya..di Kuala Lumpur juga begini..." tambah aku.
"Macet di kuala lumpur ga apa-apa...bensinnya murahkan?". seloroh Pak Darmika.
Aku tertawa. "Kalau orang kaya emang tetap murah... tapi macam saya orang dibawah tetap terasa mahalnya..".
"Kalau mas orang bawah kok masih boleh wisata mahal-mahal begini..?"
"Wisata bajet pak, gak mahal." jawab aku.

Kami berdua ketawa dalam 'Kijang' itu.

10 January 2011

Ulasan Buku: Mengusir Matahari

Telah satu dekad berlalu tetapi ianya masih segar. Relevan sehingga saat anda membacanya sekarang. Ianya ditulis semasa pentadbiran Presiden BJ Habibie sebagai reaksi terhadap gelombang reformasi di Indonesia menumbangkan kekuasaan Orde Baru Soeharto. Malah gelombang reformasi di Indonesia sedikit sebanyak mempengaruhi reformasi politik di Malaysia apatah lagi zaman itu merupakan zaman kritikal bagi ekonomi dunia. Reformasi ini telah membuka mata kesemua kita. Segalanya telah berlangsung dengan hebat dan bersemangat.


Buku ini. Soalnya adalah; ia masih relevan sehingga kini malah kisah-kisah yang diceritakan itu adalah manifestasi dari realiti yang berlaku dan telahpun berlaku setiap hari. Seolah-olah anda dibawa berada di zaman Raja Sulaiman moden. Ya, sekarang ini! Ia menggungkap persoalan demokrasi, pencerahan politik, salah guna kuasa, kekayaan yang terhimpun, kedayusan sistem, kemelaratan rakyat dan kesombongan pemimpin yang sehingga saat ini masih berlaku didepan mata kita seperti yang telah digambarkan dalam 'Sajak-sajak Seekor Kucing'.


Himpunan kisah-kisah ini dirangkulkan bersama dan diberi nama Mengusir Matahari oleh penulisnya Kuntowijoyo. Sebuah fabel-fabel politik terbitan Pustaka Hidayah tahun 1999 (Tahun 2010 Penerbit Tiara Wacana). Ia adalah cerminan alam manusia ke alam haiwan. Malah makhluk jin juga sesekali di ajak berlakon di pentas ini. Buku ini bukan cuba untuk memanusiakan haiwan ataupun sebaliknya tetapi saling bertemu dipersimpangan jalan kemudian bertelingkah?! Manusia telah masuk ke alam haiwan dan haiwan telah masuk ke alam manusia. Maing-masing berkonfrontasi antara satu sama lain, bersaing, untuk menang, jadi kaya.dan berkuasa.


Ia antara lain memaparkan kisah sedih masyarakat kambing. Kisahnya lebih kurang begini; Semakin negeri-negeri kambing menghadapi masalah pentadbiran, kesihatan dan serangan dari negeri serigala, mereka bersetuju melantik gajah sebagai raja untuk memerintah. Pemerintahan raja gajah tidak seperti yang diharapkan. Semakin lama, semakin negeri kambing ini jadi kacau bilau. Masyarakat kambing tak mampu untuk melawan rajanya si gajah. Mereka jadi buntu, berputus asa kemudian berpindah ke negeri lain. Negeri kambing jadi kosong dan rajanya sang gajah memerintah sehingga ke penghujung usia.


Mengusir Matahari penuh dengan humor. Padat dengan mesej-mesej tersirat maupun tersurat. Kesemua 89 karya yang ditulis oleh Kuntowijoyo dihidangkan kepada pembaca dengan baik dan penuh sinikal. Penulisannya tidak kekiri maupun kekanan. Tetapi antara keduanya saling berlumba. Masing-masing adalah benar. Mungkin?! Buku ini sarat dengan saranan-saranan 'moral' baik untuk pemimpin maupun untuk yang dipimpin. Kebanyakan kisah yang diceritakan merupakan kisah benar yang berlaku semasa dan pasca reformasi di Indonesia. Sejarah ini bukan ditokok tambah tetapi diberi nafas baru agar lebih menghiburkan dan sesuai untuk tontonan umum barangkali.


Dalam kisah 'Demokrasi Gajah, Demokrasi Kuda dan Demokrasi Anjing' anda dihidangkan dengan sebuah kisah seorang ayah yang mengajar anaknya mengenai demokrasi. “Ayah...apa erti demokrasi?”. Lalu jawab ayahnya “itu tontonan untuk 17 tahun keatas tahu!”. Mereka ke sarkas dan melihat gajah membuat pertunjukan dengan dipalu seorang pelatih. Kata bapa kepada anak, inilah demokrasi gajah. Kemudian selepas itu si ayah membawa anaknya ke markas Polis berkuda. Kuda itu dikendalikan dengan sangat baik. Polis itu mengatakan bahawa kuda adalah seperti manusia, kalau baik kepadanya, dia akan baik kepada kita. Ayah berkata inilah demokrasi kuda. Hari berikutnya si ayah membawa anaknya keluar bersiar-siar dan bertemu dengan seorang tua pemilik anjing yang sedang bersiar-siar. “Anjing itu milikmu..?” Si ayah menegur orang tua trsebut. Orang tua itu berkata bahawa secara rasminya memang miliknya tetapi hakikatnya, dia yang dimiliki oleh anjing peliharaannya. Ini kerana, kalau tak dibawa keluar bersiar-siar, mereka akan memberontak, kencing di sofa dan membuat bising. Kata ayah; Anjing menjadi bos. Sewenang-wenang mahu menang sendiri. “Fasis! Diktator! Komunis!” kata anak. Dalam humor sinikal ini anda dibawa jauh untuk berfikir mengenai memiliki demokrasi atau demokrasi untuk pilihan!


Himpunan kisah-kisah ini berkisar langsung dengan zaman pemerintahan Soeharto dan kebangkitan mahasiswa serta rakyat mereformasikan Indonesia. Dari sekecil-kecil isu ke sebesar-besar perkara. Ia meliputi ruang dan melangkau zaman. Keutamaan diberi kepada sistem dan pengatur sistem. Terlalu banyak kisah-kisah 'dongeng' dalam Mengusir Matahari yang boleh dijadikan kayu ukur kepada isu setempat dan pemahaman masyarakat terhadap sesuatu pembaharuan.

Kuntowijoyo telah menyimpulkan dengan mudah bahawa kalau di alam
haiwan punya predator natural., di alam manusia punya predator struktural! Jadi sebelum terlambat. Jadilah apa-apapun. Besi berani umpamanya!


Dalam tajuk 'Manusia versus Buaya' akan membawa anda untuk menjunjung hak buaya. Dalam ertikata lain, buaya juga berhak memakan kambing ternakan manusia sebab manusia telah mencabul hak-hak buaya yang mengganggu habitat mereka. Disini, menghormati hak ini juga disebut 'demokrasi'. Maka berkumpullah orang kampung dan pawang setelah semakin banyak ternakan kambing dimakan. Pawang telah membuat perjanjian dengan pihak buaya tetapi malangnya ia telah dilanggar oleh pihak buaya itu sendiri lalu orang kampung bermesyuarat agar senapang dibekalkan tetapi pihak berkuasa tidak membenarkannya. “Ini urusan polis” lalu orang kampung mengajukan hal ini kepada pihak polis. Pihak polis perkata, ini urusan tentera. Maka yang berlaku saling meletakkan tanggungjawab kepada orang lain. Buaya ini urusan polis atau tentera atau urusan demokrasi? Dimana kita?


Struktur penceritaan oleh Kuntowijoyo tidak serius malah santai. Kata-katanya disulam dengan falsafah. Ia mengajarkan mengenai hak dan demokrasi. Jika kita meletakkan buku ini sebagai bibit-bibit pencerahan; bagi saya ia bukan sekadar pencerahan tetapi 'seni pencerahan'. Pandangan Kuntowijoyo selari dengan usia dan zamannya. Kritis terhadap sistem, budaya dan masyarakat. Ia memaparkan kisah suka duka manusia bergelut dengan politik. Kisah 'Kancil Mabuk' umpamanya merupakan manifestasi keberadaan kita. Realiti untuk kita berfikir secara dalam tapi santailah!


Kuntowijoyo di dalam Mengusir Matahari telah berjaya meniupkan sebuah semangat “Ayuh berubah...! Jangan jadi bodoh...!” dan pembaca pasti terhipnotis dengan gaya bahasa humor sinikalnya. Aduh sampai begitu!? Kuntowijoyo telah menyimpulkan dengan mudah bahawa kalau di alam haiwan punya predator natural., di alam manusia punya predator struktural! Jadi sebelum terlambat. Jadilah apa-apapun. Besi berani umpamanya!-end

Ulasan ini telah disiarkan dalam JalanTelawi.com

05 January 2011

orasi

lantang dia melaungkan orasinya.
seperti bapak-bapak terdahulu yang pernah mendidik asuhnya.
soalnya adalah mengenai keadilan sosial! pluralisasi budaya agama..
demokrasi..kebebasan..liberalisme.. enlightment!
negara ini harus begini-begini..!
begini begini..lagi begini ..itu iya..! begitu..! katanya.
harus dan benar. noktah! jangan soal lagi! ini benar semuanya!
dia mendapat tepukan gemuruh audien.
ya. audien-audien yang telah maupun memang 'beeing enlightened'..
yang berada dalam sebuah ruang kecil.
disebuah tempat.
disebuah negeri yang besar.
esok. tetap lantang orasinya.
kerana dia tahu.
terlalu banyak yang masih perlu dibebelkan.
bebel dan terus bebel.
sehingga segala tembok pemisah ini.
luluh berkecai.
dengan tangan-tangan yang berani.

01 January 2011

Jemputan ke JUALAN BUKU GERAK BUDAYA

Kepada teman & pelanggan yang dihormati,

GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd menjemput anda ke

JUALAN BUKU TAHUN BARU 2011

Tarikh: 7 Januari (Jumaat) hingga 9 Januari (Ahad) 2011

Masa: 10:00 pagi - 7:00 malam

Tempat: No.11, Lorong 11/4E, 46200 Petaling Jaya, Selangor. Tel: 03-7957 8342/43

Web: http://bookshop.gbgerakbudaya.com/

Kami berdekatan dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), berdepan dengan Restoran Grand City dan Restoran Sri Paandi (PJ). Hubungi: SK 019-352 3864 atau Chong 016-379 7231.

Kami Menawarkan buku-buku terbitan dalam dan luar negara yang BERKUALITI TINGGI, PROVOKATIF, KONTROVERSI dan ILMIAH

Sila datang beramai-ramai dan nikmati POTONGAN HARGA 30% - 100% bagi buku-buku terpilih dari bidang dan isu Kesusasteraan dan Kesenian, Isu-isu Semasa, Pembangunan, Ekonomi, Alam Sekitar, Globalisasi, Orang-orang asal/asli, Kaum pekerja, Biografi memperingati pejuang & pemimpin Negara, Sejarah, Politik dan Hubungan Antarabangsa, Kebudayaan dan Agama, Pengajian Sains Sosial, Pengajian Gender dan Wanita, dan banyak lagi, dari dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina dan Negara-negara lain

Anda boleh kunjungi Facebook event page kami.

Sila baca lampiran risalah untuk maklumat lanjut.

Anda boleh tolong sebarkan notis ini kepada rakan-rakan.

Terima kasih.

~~~~~~~~~~~~~~~~
GB Gerakbudaya/SIRD
11 Lorong 11/4E
46200 Petaling Jaya
Selangor, Malaysia
T: +60 (0)3 7957 8343
F: +60 (0)3 7954 9202
W:
www.gerakbudaya.com & http://bookshop.gerakbudaya.com