14 March 2011

Merealisasikan Malaysia sebagai sebuah Negara Bangsa


Oleh: hafiz Zainuddin

Dari sebuah sudut, kita akui Malaysia merupakan sebuah negara yang bebas.  Maksud saya bukan bebas berdemonstrasi.  Sering, demonstrasi jalanan seboleh-bolehnya dikekang habis-habisan oleh kerajaan.  Yang saya maksudkan bebas ini ialah setiap kaum di Malaysia bebas mengamalkan ajaran agama dan budaya masing-masing.  Berhimpun di hari Thaipusam, berarak beramai-ramai semasa Maulidurrasul, bebas melaungkan Azan, perarakan pesta Tanglung, membaling limau ke dalam sungai, bermain alat musik di kuil-kuil, membakar colok di tempat terbuka dan sebagainya.

Ya.  Kebebasan berbudaya dan beragama di Malaysia telah dikecapi sebelum merdeka lagi.  Cuma masyarakat Melayu sahaja yang sedikit kurang kebebasan.  Saya teringat sebuah pernyataan dari lecture yang dibuat oleh Hishamuddin Rais (gambar kanan) dalam stand up comedy beliau sempena pelancaran Bersih 2.0.  Bunyinya begini ".......The Chinese can change religion every three days.  The 'Melayu' cannot change religion at all...".  Ia kemudian disambut dengan gelak ketawa dan tepukan audien.  Dalam lecture tersebut, beliau cuba menggambarkan situasi semasa yang dihadapi oleh kaum Tionghua dan Melayu di Malaysia.

Baiklah, kita ke Singapura.  Suatu ketika dahulu, selepas Singapura mencapai kemerdekaan (dari Malaya), urusan kebudayaan dan keagamaan disekat.  Sekolah-sekolah beraliran Cina dan Tamil dibubar untuk mengurangkan semangat "kecinaan dan keindiaan".  Atas iltizam dan visi Lee Kuan Yew, Singapura telah berjaya menjadi sebuah negara-bangsa.  Walaupun pada awalnya wujud sedikit kekangan kebebasan berbudaya dan beragama, Singapura kini terus bergerak ke hadapan.  Lee Kuan Yew telah berjaya menyatukan kebudayaan Singapura.  Lee Kuan Yew dilihat berjaya mengasimilasikan masyarakat Singapura.  Kita boleh meletakkan Singapura sebagai contoh negara-bangsa yang maju dan berjaya.  Kita boleh berbangga kerana Singapura adalah jiran kita yang kuat memberi saingannya.

Kekangan pembentukan Negara Bangsa
Berbalik kepada Malaysia.  Persoalan yang ingin saya lontarkan; apakah kebebasan berbudaya dan beragama di Malaysia lebih separuh abad ini menjadikan kita saling faham memahami antara satu sama lain?  Apakah kebebasan berbudaya dan beragama di Malaysia sekarang ini mampu menjadi titik tolak kepada cita-cita pembinaan negara bangsa Malaysia?

Adakah kepelbagaian budaya ini sebagai kekangan pembentukan negara bangsa?  Adakah kita sebagai rakyat Malaysia bersetuju memenuhi impian dan gagasan negara bangsa Malaysia?  Paling penting, apakah makna negara bangsa ini buat kita?  Semua persoalan yang di lontarkan ini bakal mengundang senyum sinis sesetengah pihak.  Mungkin ada yang berpendapat penyatuan ini "Tidak mungkin berlaku sama-sekali".

Apakah maksud negara bangsa?  Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, negara bangsa didefinisikan sebagai negara yang berdaulat yang didiami oleh satu bangsa.  Rata-rata kita mungkin bersetuju dengan saya.  Pembinaan sebuah negara bangsa di Malaysia adalah sebuah jalan jauh berliku yang memerlukan keikhlasan semua pihak.

Mari kita lihat beberapa faktor cabaran di sebalik pembinaan negara bangsa di Malaysia.  Pertamanya adalah disebabkan faktor kemajmukan kaum.  Masing-masing mempunya identiti dan kebanyakannya menetap bersama komuniti masing-masing.  Keduanya ialah agama, setiap kaum di Malaysia boleh dikatakan mewakili agama tertentu.  Melayu dengan Islam, Cina dengan Buddha, India dengan Hindu, Iban - Kadazan dengan Kristian dan sebagainya.

Tidak seperti di Indonesia, warga berketurunan Jawa terasimilasikan dengan baik.  Mereka boleh terdiri dari beberapa agama contohnya Jawa Hindu, Jawa Islam, Jawa Kristian dan Jawa Buddha.  Ketiganya, disebabkan faktor ekonomi.  Secara umumnya di Malaysia, kaum Tionghua dilihat mendominasi ekonomi manakala pada masa yang sama, Dasar Ekonomi Baru yang digunakan untuk membantu kaum Bumiputera dilihat gagal mencapai sasaran.  Apabila wujud jurang ekonomi yang nyata, akan wujud tanggapan negatif yang bakal mengundang rasa tidak puas hati di kalangan kaum.

Selain itu kewujudan parti-parti politik berasas kaum dan suku yang menjadi duri dalam daging kepada pembentukan negara-bangsa.  Parti-parti politik berasaskan kaum ini tidak lain tidak bukan sebagai penerus legasi penjajah British dengan konsep devide and rule (pecah dan perintah) mereka.
Sebelum kita melihat dengan lebih jauh.  Saya ingin bertanya kepada anda.  Sekiranya anda berketurunan Tionghua, apa pandangan anda terhadap orang Melayu, India dan masyarakat Dayak?  Sekiranya anda berketurunan Melayu, apa pandangan anda terhadap orang Tionghua, India dan masyarakat Dayak?  Dan begitulah soalan-soalan seterusnya.  Apa pandangan anda?  Pasti akan wujud pelbagai pandangan dan tanggapan yang berbeza berdasarkan pengalaman dan pergaulan masing-masing.

Saya mungkin boleh bersetuju dengan blogger A. Kadir Jasin (dan tolong jangan labelkan saya rasis) dalam tulisan beliau di Malaysia Today yang berkata "...Sebaliknya mempertahankan hak bangsa-bangsa lain di bumi yang sama adalah 'hak'.  Natijahnya, orang Melayu mempertahankan haknya dia dianggap rasis, tetapi apabila orang bukan Melayu melakukan yang sama ia dikatakan hak mereka..."  Mungkin ada kebenarannya apa yang dikatakan oleh beliau.

Persoalan hak bukan sesuatu yang baru.  Persoalan hak adalah persoalan yang sensitif.  Tetapi; apabila bercakap mengenai "hak", Malaysia dan masyarakat Melayu, ada sessuatu yang saya ingin kongsikan.  Apa yang dihadapi oleh "Melayu" sebenarnya adalah pertembungan tamadun.  Ini bererti, tamadun Melayu di nusantara bertembung dengan tamadun yang suatu ketika dulu sebagai tamadun yang agung, kuat dan gemilang iaitu Tamadun China dan Tamadun India.  Pembinaan tamadun ini melalui pelbagai proses kematangan sejak ribuan tahun dahulu dan mengecapi kemajuan tersendiri.
Sejarah kebudayaan dan kemajuan tamadun dari China dan India ini jauh lebih lama dari tamadun Melayu dan nusantara amnya.  Malah ketamadunan Melayu dilihat banyak bergantung kepada kedatangan Islam sekitar kurun ke 11 hingga 13 dahulu dengan penemuan batu bersurat di Terengganu.

Kemasukan kaum Tionghua dan India membawa cara kerja dan budaya yang berbeza.  Budaya cara kerja inilah merupakan sebahagian daripada batu loncatan untuk mengecapi kejayaan selain faktor penjajahan.  Budaya kerja ini (dilihat dari masyarakat Tionghua) mampu memberi saingan dan meletakkan sesebuah kaum itu ke tahap tertentu dalam sesebuah negara.  Buku "Rahsia Bisnes Orang Cina" tulisan Ann Wan Seng contohnya; mendedahkan rahsia bagaimana budaya kerja dan perniagaan masyarakat Tionghua diuruskan dan menguasai pasaran.

Saya telah bawa anda membincangkan perkara ini panjang lebar.  Walau bagaimanapun hal ini wajar.  Ia penting supaya kita mampu melihat bagaimana kebebasan berbudaya dan beragama-perjuangan hak-pertembungan tamadun ini saling berkait rapat dan memandu kita untuk mewujudkan negara bangsa.

Apa pentingnya merealisasikan cita-cita negara bangsa untuk Malaysia?

Tanpa usaha serius kerajaan dan rakyat Malaysia merealisasikan cita-cita negara bangsa ini, ia dikhuatiri bakal mengundang masalah besar kepada negara.  Persaingan tidak sihat antara kaum akan sentiasa berlaku.  Sekiranya tidak dibendung, ia akan menjadi lebih berbahaya ibarat bom jangka yang bila-bila masa sahaja boleh meletup.  Anak-anak kita akan sentiasa dihantui dengan prasangka-prasangka negatif dan berbaur kebencian.  Saya ingi bertanya, adakah ini sihat untuk Malaysia?

Merealisasikan cita-cita negara bangsa bertujuan demi survival Malaysia untuk masa yang panjang.  Keluar dari belenggu perkauman sempit yang telah lama diprogramkan.  Isu perkauman cuma akan membawa masalah besar untuk kita dan generasi akan datang.  Persoalan hak berbudaya-beragama-berekonomi tidak timbul jika wujud usaha keras mengintegrasikan masyarakat.  Bukan tidak wujud usaha ini seperti gagasan 1Malaysia, masalah terbesarnya adalah pemacu gagasan 1Malaysia itu sendiri bersifat rasis dan konservatif!

Kewajaran Asimilasi?

Saya berani berkata bahawa masyarakat majmuk di Malaysia gagal diintegrasikan.  Kita gagal berasimilasi!  Asimilasi di Malaysia cuma berlaku pada makanan.  Saya tidak melihat bahawa Instruksi Presiden Republik Indonesia nombor 14 tahun 1967 yang antaralain menghad kebebasan berbudaya dan beragama masyarakat Tionghua di Indonesia sebagai perkara yang wajar.  Malah arahan ini adalah bertujuan untuk menghapuskan pengaruh komunis dari China.

Akan tetapi, "Inpres" ini berjaya mewujudkan sebuah negara bangsa Indonesia.  Apakah arahan mahupun peruntukan undang-undang seperti "Inpres" ini wajar dilaksanakan Malaysia.  Tidak.  Samasekali tidak dan tidak mungkin berlaku.  Sejarah telah meletakkan kita (Malaysia dan Indonesia) berada dalam situasi yang berbeza.  Proses mengintergrasikan kaum harus dibuat mengikut acuan kita.  Acuan Malaysia.  Saya secara peribadi percaya Malaysia akan menjadi sebuah negara bangsa.  Lalu satu lagi persoalan timbul.  Adakah proses integrasi atau asimilasi ini akan memberi jaminan hak samarata dan adil untuk semua kaum di Malaysia kelak?

Kisah "pembebasan" di Memorial Lincoln

Saya ingin membawa sebuah contoh yang baik untuk persoalan ini.  Saya ingin bercerita lagi.  Di sebuah hari yang gemilang tahun 1963, terhimpun lautan manusia yang besar.  Mereka berjalan, berarak dan menyanyi beramai-ramai dengan penuh semangat dan harapan.  Mereka memegang sepanduk dan menyatakan sokongan.  Mereka kelihatan gagah-berani untuk berubah.  Yang tua bergandingan dengan yang muda manakala anak-anak kecil dipimpin tangan.  Mereka terdiri dari lelaki-lelaki dan wanita-wanita di kalangan masyarakat kulit hitam dan kulit putih.

Memorial Lincoln telah menjadi saksi terhimpunnya kira-kira 250,000 rakyat.  Inilah tarikh keramat titik tolak kepada sebuah pembebasan.  Membebaskan diri dan negara dari "perhambaan".  Himpunan raksasa ini adalah tuntutan demi hak asasi manusia, maruah dan kesamarataan.  Martin Luther King adalah wira Amerika!  Pada hari ini bergembiralah seluruh negara!  Ungkapan Martin Luther "I have a dream..." telah menjadi kenyataan.

I have a dream that one day this nation will rise up and live out the true meaning of its creed: "We hold these truths to be self-evident, that all men are created equal......I have a dream that one day on the red hills of Georgia, the sons of former slaves and the sons of former slave owners will be able to sit down together at the table of brotherhood.- Martin Luther King

Sekitar empat dekad selepas perhimpunan tahun 1963 itu, perjuangan untuk mendapatkan hak kesamarataan dan menentang diskriminasi kaum telah mencapai kemuncak.  Kemenangan Barack Obama (gambar kiri) sebagai Presiden Amerika Syarikat telah membuka mata dunia bagaimana masyarakat minoriti kulit hitam dari Afrika ini telah mampu untuk memenangi kerusi Presiden Amerika Syarikat.  Ia sesuatu yang tidak pernah tersangkakan oleh siapapun sebelum ini apatah lagi etnik "kulit hitam" cuma mewakili kurang 13% dari populasi Amerika.  Ini sebuah natijah.  Tembok perkauman terus melebur dalam meritokrasi dan semangat insani.  Ia mendahului zaman.  Sekarang, setiap individu di Amerika bebas mengejar impian dan mencapai kejayaan.  Samaada mereka dari etnik Indian-Afrika-Yahudi-Cina-India-Arab-Kaukasia-Eropah dan sebagainya; masing-masing punya hak samarata!

Kita telah pun ketahui, perhambaan kulit hitam di Amerika suatu ketika dahulu telah membuka kepada perjuangan kumpulan minoriti kulit hitam menuntut kebebasan.  Budaya dan sejarah Amerika terlalu jauh jika dibandingkan dengan budaya dan kaum di Asia tenggara khususnya di nusantara.  Sejarah telah membentuk kita untuk bereaksi; Bagaimana penjajahan telah memainkan peranan dalam membentuk minda dan budaya politik tanah air.  Saya menceritakan sejarah tahun 1963 di Amerika ini untuk memperingati detik itu dan membuka minda kita rakyat Malaysia agar dijadikan perbandingan dan kayu ukur.

Kebebasan berbudaya-beragama-berekonomi dan bersosial yang wujud di Malaysia hari ini harus dipandu ke arah proses pengintegrasian dan asimilasi untuk merealisasikan cita-cita negara bangsa.  Justeru, pada masa yang sama, kerajaan harus memainkan peranan terbesar dalam mencari jalan penyelesaian keatas setiap permasalahan yang berlaku.  Segalanya harus diubah.  Good governance harus menjadi tunjang dalam pentadbiran.  Dasar-dasar kerajaan yang dilihat gagal harus diperbaharui.  Para koruptor harus diadili-pemulihan ekonomi dilihat sangat penting sebelum memulakan langkah pertama pembinaan negara bangsa.

Artikel ini telah diterbitkan di Merdekareview