28 December 2010

Kotak-kotak Demokrasi: N.Faizal Ghazali

Penulis: N.Faizal Ghazali
Penerbit: Esastera Enterprise
Foto depan : Muhammad Hasful Zainuddin

Tadi senja aku telah aku telah sisipkan sejumlah 50% wang untuk proses percetakan Himpunan puisi: Kotak-Kotak Demokrasi. Ya aku sekadar bercita-cita sekali gus beronani dengan harapan untuk merealisasikannya. Sudah ramai yang mengirimkan tanya, bila terbitnya? bila terbitnya? kalian tunggulah, masa dan kemampuan sedikit melewatkan. Aku tahu ia tidak se-gah karya Pablo Naruda atau sehebat tulisan Bapak Sapardi dan aku tak pernah mengangankan pecah panggung dengan nilai berjuta-juta seperti filem dua alam. Cukup sekadar sokongan teman-teman lewat cemuhan, perlian dan ketawa kah kah kah! atau mah mah mah! cukuplah aku puas dengan itu. Sekurang-kurang aku mereaksikan kepuasan untuk diri sendiri. Untuk aku hargai dan memanjakan harapan di sebalik tubuh yang masih kecil lagi keldil dan langkah yang masih samar untuk mengejar kefahaman dunia.

Sesungguhnya, terima kasih yang paling suci pun tak terbalas buat mereka yang bersusah-payah mengitu-inikan, demi sebuah Kotak-Kotak Demokrasi. Buat eSastera Enterprise ( Prof. Irwan dan Puan Ilya ) dan seluruh warga eSastera.com yang selalu menyokong dan ada juga yang menindas.

khusus yang teristimewa buat ayah dan ibu serta keluarga yang memahami kehendakku dan tak pernah menghalang karenahku. Sesungguhnya entri melankolik ini tak memadai untukkuhulurkan penghargaan dan kesyukuran.

Kepada Cinta Suria, terima kasih yang paling mahal kerana tak pernah puas menyanjung cita-citaku, baik dari segi moral mahupun material. Harus aku bagaimana lagi untuk merealisasikan taksub diri lewat sajak-sajak yang tak pernah jemu kau baca dan mengerti setiap baris rindu yang kita calitkan sebagai tanda pengharapan yang
paling dalam dilubuk hati. Ini adalah hadiah kecil buatmu.

Kepada teman-teman, ini (Kotak-Kotak Demokrasi ) adalah nota-nota permulaan dan tak akan berpenghujung selagi kita masih kenal dan saling punya rasa kepercayaandan perkongsian khabar-khabar suka dan dukalara.

Kepada seorang Azlan Shah (Aku tak kenal pun), aku belum layak untuk mengaku sebagai seorang sasterawan dan ini adalah bukti aku sebagai lelaki yang tidak sehebat mesin-mesin kejuruteraan yang kau selalu hadap atau mungkin kau bersetubuhi dengan angka matematik yang kau banggakan. Lalu ciptalah sebuah mesin dengan pelajaran teknologi yang kau perolehi, misalnya mesin untuk kempiskan perut dalam masa 5 minit, pasti ramai orang tak berupa gorilla perutnya. Oh ya, aku tak berlagak, sekadar memberitahu Kotak-Kotak Demokrasi yang kau tungu-tunggu dalam proses percetakan. Maaf jika aku sinis. Sekian.-N.Faizal Ghazali

DAPATKAN KOTAK-KOTAK DEMOKRASI DISINI

22 December 2010

Cinta Kasim

Hari ini hari ahad. Pagi ini mendung gelap. Mendung lagi sampai tengahari. Angin bertiup perlahan-lahan membelai pokok-pokok kemudian hujan mula turun. "Cinta telah mati...tadi". Kasim yang sedang bersedih lalu duduk disebuah bangku kayu hadapan rumahnya. Dia termenung dan kemudian. Dia menjerit sekuat hatinya. (Menjerit dalam hati) dan air matanya mengalir kuat. Dihadapan rumahnya. Hujan masih turun lebat. Di rambutnya kelihatan titis-titis halus seperti embun-embun pagi yang segar. "Cinta telah mati..." katanya lagi.

20 December 2010

TERIMA KASIH TAK TERHINGGA!

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih diatas penerimaan sejumlah wang RM500 daripada mereka yang menyumbangkan kepada saya. Saya tidak tahu siapa ataupun dimaklumkan mengenai perkara ini. Tiba-tiba sahaja RM500 ada di dalam akaun saya. Siapapun anda yang menyumbang; saya sekali lagi merakamkan jutaan terima kasih! Wang yang anda sumbangkan itu saya gunakan untuk menampung perbelanjaan harian saya.

12 December 2010

Aku, Akhi dan Antum I

Pengalaman tamrin bersama jemaah islam kampus;
Enjin bot berbunyi perlahan. Bot sekecil ini cukuplah untuk menyara Pak Usin sekeluarga. Dia meneroka kawasan ni lama dah. Hutan banat dah jadi kampung. Adalah sekitar sembilan keluarga setakat ini. Mereka menampung keluarga buat kerja-kerja laut. Macam Wan Itam, dia cuma ambik upah menoreh di kebun Haji Saad seberang sana. Umurnya sudah masuk 55 anak masih kecil; isterinya kak Faridah buka gerai makan kecil-kecilan, biasa yang singgah ke kedainya orang luar yang nak memancing. Ada yang datang dari Ipoh, Taiping, Kuala Kangsar dan paling jauh dari Muar. Dek kerana sekarang ni bukan musim; kadang-kadang buka kadang-kadang tutup gerai kak Faridah. Aku, Amri, Rizam, Talib dan akhi Owais berada dalam bot tersebut. Talib tak sampai setengah jalan dah mabuk. dia cuma berbaring dibawah terik matahari. cuma bertutupkan muka dengan kain pelikat. Pak Usin dibelakang mengemudi, sayup kecil anak matanya melihat hujung sana. Memang gelap kulit pak husin, yalah, dari pagi sampai kepetang di laut. Makan, minum, solat dan rehat semuanya dilaut. Laut adalah tempatnya. "kalaulah ditakdir pakcik mati, selain rumah, pakcik pilih laut...laut ni hidup pakcik... kami macam pasangan kekasih..." ujar pak Usin kepada aku masa makan tengahari tadi di gerai kak Faridah.

09 December 2010

Kembali semula!

Tak cukup duit lagi Rm700 jadi dia tak dapat datang semula ke semenanjung.
Dia bersedih duit tak ada.
mungkin nanti terus ke sulawesi tolong pamannya jadi PA.
dan berkahwin disana dan mendapat anak cucu di sana..
ya. di sulawesi selatan tempat leluhurnya.
seluruh harinya menjadi bebel dan bebal. mungkin...
aku juga sedih tak dapat membantu saat saat kritikal macam ni. aku juga miskin.
nasib macam hujan tiap-tiap hari. Hujan siang malam.
kalau ribut. nelayan tak dapat turun kelaut. kena tunggu hujan sidang.
tengahari kalau mendung. "Hari nak runtuh!" Aku teringat kata-kata arwah nenek.
"hari nak runtuh! hari nak runtuh dah gelap tuh! hari nak runtuh dah weh..!"
cepat angkat kain. tadah baldi." kata nenek lagi.
tiba-tiba;
tuhan telah kirim wang mencukupi kepadanya
tuhan juga menetapkan supaya datang ke semenanjung minggu depan.
dia tersenyum. mungkin melompat-lompat yang jarang sekali dibuatnya!
sesekali rasa bodoh tak apa mas! jadi macam air kok...flexi deh!
aku merindui bebel-bebel dia masa minum kopi..
aku merindui bau-bau cengkih yang kuat melekat dibajunya..
selamat pulang kembali yudi!

05 December 2010

Dikir, aku dan kelantan




"Klate duk mano.." (di Kelantan duduk mana?)
"Kawe asa ipoh gu..." aku (saya asal ipoh)
"Asa peghok??" (asal Perak???)
"Ho.." aku (Ya..)
"Biso demo kecek..." (Pandai awak cakap bahasa kelantan..)
"Hahaha bulihla huduh-huduh.." aku (hahaha bolehla sikit-sikit)


Aku berjaya menguasai dialek Kelantan sehingga 98% bertutur dan menulis semasa aku masuk Uitm dan bercampur dengan kelantanese kemudian join grup dikir barat. Aku akan jadi salah seorang penyanyi dikir selain Milin, Tuk (tukang karut) dan Wer. Tengokla yang pakai baju batik tu. poyo kan? hahaha Masa part 5 aku praktikal 6 bulan di kelantan. Merasa duduk di rumah sewa Adik Mek Kubang Kerian sebelah hospital tu dan kemudian berpindah ke Kampung Jerat Semata Pasir Putih.


Di Kelantan aku banyak belajar mengenai sosial dan budaya masyarakat lokal. Setiap jumaat (cuti) aku dan Zam akan memukat ikan di baruh dan tali air. Petang-petang lepak sauk puyu berhampiran Gertok Siam, malam biasanya Mat Aris akan bawak aku belajar silat tungkat bersama Ripin & gang sampai ke kebun getah pekan Selinsing. Penat bersilat kemudian lepak 'keda playe'. Aku sempat melihat dengan mata kepala sendiri "Main Puteri" yang telah diharamkan oleh kerajaan negeri pada masa tu. Betul-betul rezeki aku. Termasuklah ditipu lelaki gemok yang mengaku umur 30 di Kota Bharu.


Kelantan meninggalkan aku 1001 memori suka duka tangis ketawa, pengalaman yang takkan aku lupa sampai bila-bila Mat Aris, Kak Yah -Pak Hasim & Family, Pok Soh, Gmie, Zam, Pok Jak, Sifoo, Abe Yur, Tok Ngah Tukak dan ramai lagi; mencorak sedikit sebanyak pandanganku terhadap budaya bangsa dan silaturrahmi.

03 December 2010

PEKAN FRINJAN !!!

JEMPUTAN KE PEKAN FRINJAN - HAK ASASI MANUSIA

Pekan Frinjan 16 penutup tahun 2010 membawakan tema HAM: singkatan kepada Hak Asasi Manusia sempena Hari Hak Asasi Manusia yang disambut pada tanggal 10
Disember setiap tahun.

4hb Disember 2010, hari Sabtu
jam 5.00 petang sehingga 12 tengah malam
bertempat di i-City Amphitheater, Seksyen 7 Shah Alam Selangor

SUSUNAN PROGRAM

5.00pm - gerai-gerai anak muda dan NGO dibuka
8.30pm - tayangan filem, persembahan muzik, puisi, teater dan naskhah dimulakan
12.00am - tamat


TENTANG PEKAN FRINJAN

Pekan Frinjan adalah salah satu inisiatif kelompok Frinjan bertujuan untuk membudayakan masyarakat. Ini dilakukan dengan membawa pelbagai aktiviti seni dan kebudayaan terus kepada masyarakat umum, khususnya di laman massa dan jalanan. Dengan mempersembahkan seni dan budaya dalam bentuk “pop”, diharapkan masyarakat akan terus mahu mendekati bahan berteraskan intelektualisme. Ini penting dalam membentuk sebuah negara dan persekitaran bertamadun yang tidak hanya mementingkan pembangunan ekonomi semata-mata.

Frinjan ialah entiti sifar-untung yang dijayakan oleh kelompok bebas. Matlamatnya ialah untuk menganjurkan aktiviti jalanan bersifat semi-komersil dengan suntikan literari, pembudayaan masyarakat dan pengembangan sosial

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

013-299 0192 : Farhan Azahan
010 512 6836 : Zulhabri

02 December 2010

dakap angin malam

Dalam dakap angin malam
dingin menyelimuti kulit-kulit telanjang
embun mula berjatuhan
memenuhi cermin-cermin kenderaan yang kaku
membasahi rumput-rumput liar yang menjalar
disitu
di bawah lampu-lampu kuning yang terangnya samar-samar
jalan-jalan kecil yang ada cuma longgokan sampah dan lipas pasar
"Hei, tunggula..." suara dari seorang lelaki separuh abad
dia memanggil seseorang..
perlahan dia berjalan kearah itu...
mereka berlalu
semakin sayup ditelan kesamaran
didakap angin malam
mereka berpegangan tangan
embun mula berjatuhan
memenuhi cermin-cermin kenderaan yang kaku
membasahi rumput-rumput liar yang menjalar
dan malam
bahagia berlagu

-lara hati di jalan petaling / Disember2009
2am kuala lumpur